Hotel Pantai Puteri, hotel wakaf pertama dilancar

Saturday, November 12, 2011

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, semalam berkenan merasmikan hotel wakaf pertama di negara ini yang dibangunkan dengan harga RM25.6 juta di Pantai Puteri, Tanjung Kling, dekat sini.

Bertaraf tiga bintang dan setinggi tujuh tingkat, Hotel Pantai Puteri yang dimiliki bersama Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) mempunyai kemudahan 87 bilik.

Berucap pada majlis itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata pembinaan hotel berkonsep Islam itu dirancang menjadi model pembangunan wakaf kepada semua Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

“Melaka menerusi MAIM dipilih merintis projek ini daripada empat rangkaian hotel wakaf yang dirancang dibangunkan oleh JAWHAR yang turut meliputi Taiping, Port Dickson dan Kuala Terengganu,” katanya.

Hadir sama Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob; Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Othman Muhamad.

Hotel Pantai Puteri yang dibina di tapak seluas 0.58 hektar pada 15 Januari 2009, antara lain menyediakan dewan serba guna, bilik seminar, pejabat, surau, bilik eksekutif serta bilik mesyuarat.

Terdahulu Seri Paduka turut berkenan merasmikan Masjid Say-yidina Abu Bakar di kampus Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di Durian Tunggal dekat sini yang dibangunkan dengan kos RM15.341 juta dan siap dalam tempoh 24 bulan. Masjid berkenaan mempunyai keluasan lantai 5,404.59 meter dan mampu menampung sehingga 4,000 jemaah.

Yang di-Pertuan Agong kemudian menyertai kira-kira 4,000 jemaah menunaikan solat Jumaat di masjid baru berkenaan.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI