Senarai Forbes: Obama paling berkuasa di dunia

Friday, November 04, 2011

Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mengungguli senarai orang paling berkuasa di dunia tahun ini menurut majalah Forbes, pengaruh yang semakin meningkat sejak pembunuhan pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden dan diktator Libya, Muammar Gaddafi baru-baru ini.

Obama mengetepikan Presiden China, Hu Jintao dari kedudukan pertama senarai tahunan majalah tersebut.

Barack Obama

Perdana Menteri Rusia, Vladimir Putin yang bertanding jawatan Presiden, kini berada di tempat kedua manakala Hu pula jatuh ke tempat ketiga.

Canselor Jerman, Angela Merkel kekal sebagai wanita paling berkuasa dan berada di tempat keempat senarai tersebut, ketika ekonomi terbesar di Eropah itu terus menggunakan pengaruh mereka dalam Kesatuan Eropah yang bermasalah.

"AS kekal dan tidak dapat dipertikaikan sebagai negara yang paling berkuasa di dunia dengan ekonomi terbesar dan paling inovatif serta mempunyai pasukan tentera yang hebat," kata Forbes.

Sokongan terhadap Obama oleh rakyat AS sendiri kian menurun apabila dia bergelut dengan kadar pengangguran yang terus meningkat dan ekonomi yang tidak stabil tetapi di mata dunia, dia semakin berpengaruh.

Di bawah arahan Obama, Osama berjaya dijejaki di Pakistan dan dibunuh pada bulan Mei lalu selepas 10 tahun berjaya menyembunyikan dirinya.

Campur tangan AS yang turut disertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Libya merupakan antara sebab Gaddafi dapat dijejaki dan dibunuh pada Oktober lalu.

Pengasas bersama Microsoft, Bill Gates pula berada di tempat yang kelima dan merupakan eksekutif korporat pertama yang berada dalam senarai tersebut.

Mark Zuckerberg, 27, yang mengasaskan rangkaian sosial Facebook pula berasa di tempat yang kesembilan daripada 40 orang yang disenaraikan majalah tersebut. - Reuters

0 Komen:

Post a comment

 

ZONFINITI