Permohonan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) : www.admission.unikl.edu.my

Wednesday, November 30, 2011

Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menawarkan lebih 2,500 tempat pengajian bagi pengambilan pada sesi pengajian bermula Januari ini. Presiden UniKL, Prof Datuk Dr Abdul Hakim Juri, berkata sebanyak 1,300 tempat bagi program peringkat sarjana muda dan 1,150 lagi untuk program peringkat diploma manakala bakinya pasca siswazah. Katanya, UniKL menawarkan beberapa program sarjana serta ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang teknologi kejuruteraan, teknologi maklumat, pengurusan dan pentadbiran perniagaan (MBA).

Universiti Kuala Lumpur (UniKL)

Beliau berkata, pihaknya juga menawarkan program sarjana bangunan teknologi hijau secara kerjasama dengan Rosenheim University, Jerman.

“Permohonan mengikuti semua program pengajian boleh dilakukan sekarang menerusi laman web www.admission.unikl.edu.my.

“Bagi pelajar Bumiputera, mereka akan dipertimbang untuk mendapat pinjaman pendidikan MARA.

“Pelajar juga boleh memohon pinjaman dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, yayasan negeri dan institusi kewangan,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

UniKL adalah universiti milik penuh MARA yang mendapat pengiktirafan lima bintang dalam Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (SETARA) oleh Kementerian Pengajian Tinggi pada 2009.

Abdul Hakim berkata, taklimat mengenai program pengajian UniKL diadakan di pejabat MARA seluruh negara dan taklimat berikutnya di Pejabat MARA Kota Kinabalu dan Kuching (1 Disember) dan Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur (10 dan 11 Disember).

Beliau berkata, lulusan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap Tiga dan mempunyai satu kredit peringkat SPM boleh memohon meneruskan pengajian diploma UniKL berkaitan. Lulusan diploma atau matrikulasi pula boleh memohon ke program sarjana muda.

Untuk pengambilan Januari ini katanya, UniKL menawarkan 38 program diploma dan 41 ijazah sarjana muda di 10 kampusnya.

Beliau berkata, kebanyakan program di UniKL adalah dalam bidang teknikal seperti teknologi elektronik, pembuatan, mekanikal, makanan, bio-proses, polimer, komunikasi, perkapalan, aviasi, kualiti dan logistik.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI