Kadar pengangguran dunia meningkat

Rabu, November 02, 2011

Kadar pengangguran di seluruh dunia dijangka meningkat dalam tempoh beberapa tahun lagi, sekali gus berdepan risiko lebih banyak demonstrasi diadakan terutamanya di negara-negara Eropah dan Asia Barat.

Dalam Laporan Pekerjaan Sedunia, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) berkata, ekonomi dunia mengalami kemerosotan peluang pekerjaan baru dan dasar-dasar penjimatan yang dilaksanakan di kebanyakan negara hanya memburukkan lagi keadaan.

Pengarah Institut Antarabangsa Kajian Buruh, Raymond Torres berkata, beberapa bulan akan datang merupakan tempoh getir untuk mengelakkan kemerosotan dramatik jumlah pekerjaan serta menghalang pergolakan sosial yang lebih teruk.

Beliau yang merupakan penganalisis penting ILO, turut mendakwa, pelaksanaan dasar fiskal yang ketat menjejaskan peluang pekerjaan yang sedia ada dan memburukkan lagi situasi ekonomi serta memudarkan harapan untuk pulih.

"Jumlah pengangguran tidak akan berkurangan sampai bila-bila walaupun terdapat tanda-tanda ekonomi dunia akan pulih pada tahun lalu selepas krisis kewangan yang melanda tiga tahun sebelum ini," katanya

Laporan tersebut berkata, kadar pengangguran dunia mencecah tahap tertinggi iaitu melebihi 200 juta orang atau 6.2 peratus daripada 3.23 bilion penduduk dunia yang berpotensi untuk bekerja.

Menurut Torres, berdasarkan situasi pada 2007, sekurang-kurangnya 80 juta pekerjaan perlu diwujudkan dalam tempoh dua tahun lagi khususnya di kebanyakan negara-negara membangun.

Namun mengikut trend pertumbuhan semasa di beberapa negara membangun, hanya separuh daripada jumlah tersebut mungkin akan berjaya mempunyai pekerjaan. - REUTERS

0 Komen:

Catat Ulasan

 

ZONFINITI