Ayat Cinta Internet : Gadis tertipu RM50ribu

Tuesday, November 22, 2011

Percaya kepada ayat cinta seorang lelaki yang hanya dikenali melalui sebuah laman sembang sosial menyebabkan seorang gadis kerugian kira-kira RM50,000 selepas membuat 35 transaksi dengan memasukkan wang ke dalam akaun dalam kejadian di Jalan Pudu, di sini.

Lelaki 'penipu' itu dipercayai menggunakan khidmat bomoh apabila mangsa yang berusia 24 tahun tanpa sedar memasukkan wang ke dalam akaun yang diberikan walaupun tidak pernah berjumpa dan hanya mengenali melalui Internet.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Pooja, 24, berkata angkara percayakan lelaki itu dia turut hilang pekerjaan di sebuah syarikat terkemuka selepas terleka dengan ayat cinta lelaki itu.

Katanya, dia mengenali lelaki itu pada Mei lalu melalui laman sembang sosial kerana terpikat dengan kebaikan yang ditunjukkan apabila kerap menghubunginya melalui telefon.

"Selepas kenal selama dua bulan iaitu 20 Julai lalu, lelaki itu menghubungi saya dan mendakwa ditangkap oleh pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan harta serta akaunnya dibekukan.

"Dalam keadaan sedih lelaki itu meminta bantuan dengan mengarahkan saya memasukkan wang sebanyak RM500 ke dalam akaun kawannya di sebuah bank di Jalan Pudu bagi menjaminnya keluar dari penjara," katanya di sini, semalam.

Menurutnya, lelaki itu kerap menghubungi dan mengiktirafnya sebagai teman wanita serta berjanji akan mengikat hubungan mereka tetapi dengan syarat dia perlu membantu memberi wang.

Katanya, seperti di'bomoh', dia terus memasukkan wang ke dalam akaun lelaki itu sejak 20 Mei hingga 8 November dan mengalami kerugian hampir RM50,000 hasil wang gaji dan pinjaman daripada keluarga serta rakan.

"Akibat percayakan lelaki itu saya hilang pekerjaan dan dimarahi keluarga selain mengalami tekanan hidup," katanya.

Pooja berkata, keluarganya pernah menghubungi lelaki itu melalui telefon dan menyuruhnya datang ke rumah untuk bertemu, namun lelaki itu tidak muncul walaupun berjanji untuk berjumpa.

Katanya, dia membuat laporan polis kelmarin, di Balai Polis Pudu selepas usahanya menghubungi lelaki itu gagal dan percaya diri sudah dibomoh kerana mengikut segala kehendak lelaki itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI