Mahu bersama-sama peminat di Borneo bagi meraikan muziknya, penyanyi popular, Aizat bakal mengadakan konsert Borneo Tour di Sarawak dan Sabah pada 16 Julai 2011 hingga 22 Julai 2011 ini.
Memilih lokasi di Stadium Perpaduan, Kuching dan Dewan KDCA, Penampang,Kota Kinabalu sebagai persinggahan untuk bertemu dan menghiburkan peminat, Aizat memberitahu, dia cukup gembira apabila berpeluang merealisasikan impian yang telah lama dipendamkannya.
"Idea untuk mengadakan konsert ini lebih kepada kepada untuk meraikan muzik bersama peminat saya di sana. Dah lama saya mahu ke sana untuk bertemu dengan peminat yang selama ini sentiasa menyokong kerjaya seni saya. Dua lokasi ini dipilih sebagai permulaan dan kalau sukses nanti kita akan ke tempat lain pula," katanya ketika ditemui pada majlis sidang media konsert Borneo Tour yang diadakan di ibukota, semalam.
Merupakan konsert jelajah sulungnya, Aizat mengakui konsert tersebut juga merupakan kesinambungan daripada persembahannya di Auditorium Bentley, Mutiara Damansara pada Januari lalu, namun berbeza dari segi sudut repertoirenya.
"Konsert ini akan berlangsung selama dua jam, yang mana saya akan membuat persembahan live dengan diiringi oleh sembilan pemuzik dan penyanyi latar. Susunan muzik pula akan dikendalikan oleh abang saya sendiri iaitu Anas bersama saya agar persembahan tersebut akan menjadi yang terbaik untuk mereka (peminat)," jelasnya yang turut mengakui mempelajari bahasa Sarawak agar memudahkannya bertutur dengan peminat di sana kelak.
Konsert yang mendapat tajaan salah sebuah syarikat telco itu bakal menyaksikan Aizat mendendangkan lagu-lagu popular seperti Hanya Kau Yang Mampu, Fikirkanlah dan Sungai Lui yang dihimpunkan daripada 2 buah albumnya iaitu Percubaan Pertama serta Urusan Aizat Amdan.
Bukan sahaja Aizat, peminat yang hadir akan turut dihiburkan oleh tiga penyanyi undangan iaitu Alimet, DJ Fuzz serta artis naungan pertama Kasi Gegar Entertainment iaitu Amir Jahari.
0 Komen:
Post a Comment