Sinar FM diletakkan sebagai radio paling digemari dan diminati dengan jumlah pendengar 4.2 juta orang setiap minggu sekali gus meletakkan sebagai stesen radio bahasa Melayu nombor satu negara.
Kajian yang dijalankan Nielsen's Radio Audience Measurement (RAM) Malaysia dari 7 Mac hingga 3 April lalu mendapati, Sinar FM diletakkan sebagai stesen paling ramai pendengar di antara 10 stesen radio berbahasa Melayu yang terdapat di negara ini.
Kajian itu juga mendapati, jumlah pendengar radio setiap minggu di negara ini meningkat kepada 15.6 juta pendengar yang berusia 10 tahun ke atas.
Era FM di tempat kedua selepas mencatatkan 4 juta pendengar diikuti Hot FM (3.5 juta) dan THR (3.4 juta). Turut berada dalam senarai 10 stesen radio yang mencatatkan jumlah pendengar tertinggi ialah Suria FM (2 juta), Muzik FM (1.2 juta), Klasik Nasional (1.1 juta), IKIM FM (852,000), Kelantan FM (727,000) dan Kedah FM (675,000).
Segmen pagi di Sinar FM bermula jam 6 hingga 10 pagi mencatatkan purata 2.4 juta pendengar, manakala sebelah petang (4 petang hingga 8 malam) mencatatkan 2 juta pendengar.
Di Era FM, segmen paginya, mencatatkan dua juta pendengar, manakala di sebelah petang 1.9 juta pendengar seminggu. Segmen pagi di Hot FM (6 hingga 11 pagi) mencatatkan jumlah 2.1 juta pendengar, dan 1.8 juta pendengar bagi segmen petang (3 petang hingga 7 malam).
Sementara itu, THR mencatatkan 2 juta pendengar pada sebelah bagi, dan 2.3 juta pendengar untuk segmen petang. Bagaimanapun, bagi stesen Suria FM pula mencatatkan 799,000 di sebelah pagi dan 1.1 juta pendengar di sebelah petang.
Menurut Pengurus Operasi Suria FM, Subarma Mokhtaruddin, jumlah pendengar di Suria FM telah menunjukkan peningkatan sejak 2008 dengan penampilan penyampai berbakat serta isi kandungan setiap segmen yang berbeza bagi menarik pendengar.
"Suria FM sedang mengorak langkah menjadi stesen radio terbaik dengan menyajikan segmen menarik kepada pendengar selain menampilkan barisan penyampai berbakat.
"Peningkatan ini juga adalah kerjasama erat dan idea yang dikeluarkan oleh penyampai kita sendiri, bahkan sejak kemasukan Shira (Sharifah Shahirah) dalam keluarga Suria FM menunjukkan peningkatan pada stesen radio ini," katanya.
Menyajikan pelbagai segmen iaitu, Breakfirst @ Suria, Maraton Muzik, 50 Minit Muzik, Suria Drive dan Suria Cinta menarik peningkatan 446,000 pendengar berbanding tahun lalu.
Malah, Suria FM kini sedang merencanakan pelbagai program menarik sepanjang tahun ini bertujuan mendekati pendengar termasuk segmen turun padang dan konsert Kemuncak Suria 2011 selepas melihat kejayaan konsert pertama mereka tahun lalu.
Bagi Ketua Pegawai Operasi Suria FM dan Red FM, Azrullah Mohd Nor, pendekatan diambil stesen radio terbabit dengan mengambil kira setiap pandangan daripada pendengar di samping menyuntik kreativiti penyampai setiap kali ke udara.
"Sasaran kita adalah golongan umur pertengahan jadi kita kena tahu gaya hidup dan pandangan golongan terbabit untuk diketengahkan," katanya.
Penampilan Shira bawa tuah
WALAUPUN masih baru, namun kehadiran Shira dianggap sebagai `pembawa tuah' kepada Suria FM sehingga stesen radio ini mencatatkan pertambahan pendengar pada jumlah agak besar.
"Saya tak pernah anggap sebagai faktor yang menaikkan rating Suria FM sebab saya masih bar. Baru saya tahu kerjaya penyampai ini memang susah dan perlu mesra dengan pendengar supaya ada hubungan dan dari situ barulah pendengar nak dengar suara kita," katanya.
Baru empat bulan di stesen terbabit, Shira tidak pernah menganggap rakan-rakan di stesen radio lain sebagai musuh sebaliknya satu persaingan dalam menaikkan rating stesen masingmasing dan tetap berkawan baik dengan mereka.
"Mula dulu memang agak susah sehingga terlepas cakap masa ke udara, tetapi saya banyak belajar daripada rakan yang banyak memberi sokongan kepada saya walaupun kami berlainan stesen radio.
"Setiap hari kena fikir apa yang hendak dipersembahkan kepada pendengar dan kena cari idea yang orang suka supaya interaksi kita dengan pendengar ada komunikasi dua hala," katanya.
Selain sibuk sebagai penyampai, Shira juga sibuk menerima tawaran sebagai pengacara majlis korporat dan program TV namun kurang mengambil tawaran berlakon memandangkan tempoh lakonan yang agak lama.
"Saya masih mempertimbangkan tawaran itu dan kalau jadi saya akan ke Brunei tahun depan untuk sitkom terbabit," jelasnya.
Kedudukan purata jumlah pendengar radio berbahasa Melayu
1. Sinar FM - 4.2 juta
2. Era FM - 4.0 juta
3. Hot FM - 3.5 juta
4. THR - 3.4 juta
5. Suria FM - 2.0 juta
6. Muzik FM - 1.2 juta
7. Klasik Nasional - 1.1 juta
8. Ikim FM - 852,000
9. Kelantan FM - 727,000
10. Kedah FM - 675,000
* Sumber daripada Nielsen Radio Audience Measurement (RAM)
Oleh Muhamad Fairoz Azizan
Sinar FM stesen radio nombor satu
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment