Nama dan populariti Lisa Surihani bukan calang-calang kerana dia digilai kerana keayuan dan penampilannya yang sopan dan sederhana. Lihat saja pada angka pengikutnya di dua laman media sosial popular iaitu Facebook dan Twitter.
Angka pengikut di Facebook yang mencecah 1,523,099 orang dan Twitter (138,286 orang) membuktikan keutuhan Lisa sebagai antara bintang muda yang paling popular.
Bersembang tentang senario itu, anak perempuan tunggal dalam keluarga ini berkata, dia akan berinteraksi dan berkongsi perkembangannya sekerap yang mungkin untuk peminat.
Namun, kesibukan kerja ada kalanya menjadi penghalang untuk si manis ini aktif berinteraksi sekerap yang mungkin.
“Lazimnya, laman Facebook adalah medium untuk saya berkongsi perkembangan kerjaya manakala Twitter pula lebih bersifat peribadi untuk berkongsi pandangan dan kehidupan.
“Saya pun tidak sangka akan diikuti dengan jumlah peminat seramai itu. Apa pun, saya bersyukur kerana ramai yang ingin mengikuti perkembangan kerjaya saya.
“Kesibukan dengan tugasan ada kalanya menghalang saya untuk sentiasa berinteraksi namun saya tetap akan cuba mengemas kini perkembangan sekerap yang mungkin,” ceritanya.
Bagaimanapun, perkembangan berleluasa media sosial ini juga tidak terkecuali daripada anasir-anasir negatif.Risiko menjadi orang popular, Lisa tidak lepas daripada menjadi mangsa pemalsuan identiti di medium itu.
Menyamar
Kongsinya, antara kes terbaru yang dihadapinya apabila ada pihak yang tidak bertanggungjawab menyamar sebagai dirinya dan meminta derma daripada para peminat.
Mujur, pemalsuan itu dapat ditangani di mana Lisa memberikan amaran kepada pihak terbabit agar menutup akaun tersebut supaya tidak terus memperdayakan masyarakat dengan cara yang salah.
“Jujurnya, saya tidak pernah bising atau melenting. Saya faham mungkin kerana minat pada seseorang artis, orang sanggup buat apa saja termasuklah melakukan pemalsuan identiti.
“Namun, susah hendak cakap kerana kita tiada kawalan sepenuhnya tentang profil dan akuan itu sendiri kerana ini adalah dunia Internet.
“Apa yang diharapkan agar peminat tidak mudah terpedaya dengan sebarang bentuk penipuan. Ingin saya tekankan bahawa saya hanya ada akaun Facebook dan Twitter saja atas nama Lisa Surihani dan bukan pada media sosial yang lain,” katanya.
0 Komen:
Post a Comment