Belasungkawa Zami Ismail (1944 - 2011)

Monday, June 20, 2011

Suasana tenang ketika kebanyakan warga seni berehat pada hujung minggu dikejutkan dengan berita pelakon dan pelawak terkenal, Zami Ismail menghadap Ilahi.

Pelakon popular dengan watak Pak Uda menerusi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu ini menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur kira-kira jam 10.30 pagi semalam akibat kompilasi jantung dan paru-paru. Arwah berusia 67 tahun dibawa ke tempat kelahirannya di Tapah, Perak untuk pengebumian selepas solat Asar.


Allahyarham dimasukkan ke IJN sejak dua minggu lalu dan tenat malam sabtu apabila terpaksa bergantung dengan bantuan mesin pernafasan.

Sepanjang aktif berlakon, arwah pernah berulang kali mengalami sesak nafas sejak membintangi Pi Mai Pi Mai Tang Tu. Dia dimasukkan ke hospital pada 1997 dan 2007 sehingga koma hampir tiga hari. Bulan lalu, arwah dimasukkan ke Hospital Ampang kerana penyakit asma yang teruk, tetapi dibenarkan pulang selepas kesihatan bertambah baik.

Aktif sebagai anak seni sejak era 1960-an, anak seni kelahiran Tapah, Perak ini pernah membintangi pelbagai drama termasuk 18 filem. Penampilan akhirnya di layar perak menerusi Hantu Kak Limah Balik Rumah arahan Mamat Khalid pada tahun lalu.

Satu lagi filem baru bersama Mamat iaitu Husin, Mon Dan Jin Pakai Toncit menjalani peng�gambaran pada Februari lalu serta filem, Shh... Dia Datang arahan Saiful Apek belum ditayangkan.

Arwah meninggalkan seorang balu, Hanizan Ibrahim, 58, dan sembilan anak, Mohd Hitler, 39, Ahmad Yamashita, 38, Opie Zami, 37, Ismail Fahmi, 36, Khairul Affendi, 30, Aida Nurul Asyikin, 29, Aida Nurul Wahyu, 27, Mohd Firdaus, 24, dan Zahid Albukhman, 21.

Pengarah sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu, Prof Dr Hatta Azad Khan berkata, pemergian arwah satu kehilangan besar pada bidang hiburan tempatan. Dia yang berkenalan dengan arwah sejak aktif menerusi drama pentas di Ipoh, Perak pada penghujung 60-an, cukup mengagumi dan menghormati bakat lakon dalam diri rakannya itu.

“Dia seorang pelakon yang sangat berbakat. Malah, bakatnya dihargai apabila menang Festival Teater Kebangsaan. Saya melihat bakat lakonnya semula jadi sejak zaman muda.

“Ketika dia berlakon bersama saya menerusi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu, dia bersama kumpulan pelakon yang sama-sama berbakat. Sumbangannya terhadap sit�kom itu cukup mengagumkan hingga nama watak Pak Uda dikenali ramai sehingga akhir hayatnya.

“Secara peribadi mengikut pengalaman saya bersamanya, dia seorang pelakon yang mudah bekerjasama, sentiasa ceria dan apabila saya bagi skrip kepadanya dia nampak mudah untuk berlakon.

“Saya percaya karakter itu sudah ada dalam dirinya yang membuatkan lakonannya hidup dan menjadi. Begitu juga dalam Pi Mai Pi Mai Tang Tu, dia serasi dengan rakan pelakon yang lain,” katanya.

Kali terakhir Hatta bertemu dengan arwah ketika tayangan semula, Mat Som sempena program Merakyatkan Filem di Coliseum, Kuala Lumpur, tahun lalu.

Katanya, ketika berlakon Pi Mai Pi Mai Tang Tu, dia ada menunjukkan masalah kesihatan akibat sesak nafas, tetapi keadaan itu tidak kerap berlaku.

“Apa yang saya lihat, semangat dia kuat untuk terus bekerja. Memang itu sikapnya sejak dulu dan tidak putus asa terhadap masalah kesihatan dihadapi,” katanya.

Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez pula berkata, kehilangan arwah membawa berita mengejutkan semua warga seni khususnya mereka yang pernah bekerjasama.

“Sepatutnya, arwah terbabit dalam satu acara persembahan makan malam, Pesta Lawak anjuran Karyawan di Restoran Seri Melayu pada 26 Jun ini.

“Pada mulanya, acara ini dirancang persembahan pada 5 Jun lalu, tetapi ditangguh untuk memberi masa kepada arwah berehat sebelum latihan bermula pada minggu depan.

“Sebelum ini, dia nampak begitu bersemangat dan teruja mahu menjayakan acara ini. Tiga minggu lepas, saya bersama beberapa rakan artis melawatnya di rumah selepas dia keluar hospital, bulan lalu.

“Ketika melawatnya, saya meminta dia banyak berehat dan tidak bimbang kerana acara Pesta Lawak tetap diteruskan apatah lagi dia membawakan watak utama,” katanya yang mendapat berita kematian Zami menerusi Imuda yang berada di Pulau Pinang.

Freddie berkesempatan menziarah arwah buat kali terakhir di IJN berkata, acara Pesta Lawak akan tetap dijalankan sebagai penghormatan mengenang jasanya. Karyawan mengharapkan penjualan meja untuk acara ini mendapat sokongan rakan artis agar hadir beramai-ramai.

“Sebahagian kutipan jualan meja itu nanti akan disumbangkan pada balu arwah. Sepanjang mengenali arwah, dia seorang yang ceria dan aksi jenakanya sering menghiburkan. Bagi saya, dia seorang pelawak disanjung ramai,” katanya.

Oleh Elrafaei Sapi

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI