Salih Yaccob kahwin 4 bukan cari publisiti murahan

Monday, June 06, 2011

Walaupun berita perkahwinan keempatnya mengundang rasa tidak puas hati segelintir pihak, namun pelakon, penyanyi, pelawak dan penyampai Sinar FM, Salih Yaccob tidak ambil hati dengan apa yang diperkatakan oleh orang lain.

Bagi Salih, 49, dia sudah menyangka berita perkahwinannya mendapat liputan meluas kerana tidak pernah menyembunyikannya daripada pengetahuan umum.

"Semuanya kerana saya seorang artis dan saya tidak sorok hal perkahwinan saya kepada umum. Jadi, mungkin ada pihak yang kurang selesa sehingga mengatakan saya sebagai seorang yang membangga diri atau sengaja mendabik dada. Selalunya, untuk mana-mana lelaki yang berkahwin dua atau tiga, mereka melakukannya dengan cara sembunyi tetapi tidak bagi saya.

"Saya juga tidak menolak kemungkinan berita tentang perkahwinan keempat saya ini mendapat liputan meluas kerana saya sendiri tidak menyembunyikannya daripada pengetahuan umum," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Beliau berlepas ke Beijing, China dengan empat isterinya bersama tujuh daripada 11 anak sempena percutian bersama 40 peminat yang dianjurkan Asmadi Group Travel & Tours Sdn. Bhd.

Sepanjang minggu lalu, berita perkahwinan keempat Salih bersama Samihah Sheikh Amy, 25, atau lebih dikenali sebagai Emi pada 30 Mei lalu mendapat perhatian masyarakat.

Pelakon filem Jejaka Perasan itu sudah memiliki tiga isteri iaitu Norlizah Mamat, 47, Norraha Hamat, 43, dan Norfara Wahida Sulaiman, 33.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI