Konsert final Akademi Fantasia 9 berakhir hambar,gangguan sistem bunyi

Tuesday, June 14, 2011

Kemeriahan yang diharapkan nampak pada persembahan terakhir program realiti Akademi Fantasia ke-9 (AF9) hambar apabila sistem bunyi gagal berfungsi dengan baik terutama kepada penonton di rumah.

Malah ada ketika, mereka yang berada di Dataran Putrajaya, Precint 3, lokasi acara itu dijalankan juga menerima nasib yang sama.


Ada ketika suara penyanyi tidak kedengaran dan perkara itu kerap kali berlaku sehingga mengganggu mood penonton.

Bagaimana perkara seperti ini boleh berlaku untuk sebuah program yang sudah hampir sedekad bersiaran secara langsung. Di manakah tahap kematangan pihak produksi terutama jurutera bunyi yang bertanggungjawab mengendalikan sistem itu?

Ketika diajukan persoalan gangguan teknikal yang mencacatkan konsert itu, Penerbit Eksekutif AF9, Irwan Rauf, menjadikan masalah transmisi sebagai punca utama.

"Sebelum ini, iaitu sepanjang kami membuat latihan dan juga raptai, masalah gangguan bunyi tidak pernah terjadi. Mungkin apa yang berlaku terhadap penonton di rumah adalah masalah transmisi.
“Kami memohon maaf di atas apa yang berlaku dan saya memberi jaminan masalah ini tidak akan berlaku untuk program kami yang akan datang," katanya pada sidang media sejurus selepas acara itu berakhir.

Hadir sama, Pengurus Saluran Ria, Azlin Reza Azmi dan barisan finalis AF9 iaitu Hazama, Lena, Fina dan Azri.

Memilih tempat terbuka sebagai persembahan kemuncak AF barangkali adalah keputusan kurang tepat yang pernah dilakukan oleh pihak produksi. Selain membenarkan masalah gangguan teknikal berlaku berulang kali, ia juga tidak menggambarkan sebuah persembahan terakhir AF yang sebenar berbanding jika diadakan di sebuah lokasi tertutup.

Dengan persembahan segelintir bekas peserta AF yang boleh diibaratkan seperti melepaskan batok di tangga, sudah cukup untuk menjadikan acara selingan itu hambar pada pengamatan mata penonton. Cuma persembahan Stacy dan Mila saja yang mampu menyuntik warna kemeriahan dalam acara itu.

Turut dipersoalkan dalam sidang media itu adalah tindakan Azri memijak piano ketika menyampaikan lagu Ku Tak Bisa yang dipopularkan oleh kumpulan Slank. Walaupun bagi sesetengah pihak, itu hanyalah perkara remeh namun bagi pemuzik, perbuatan itu adalah satu penghinaan buat mereka.

Malah, juri undangan malam itu, Datuk Ramli MS turut menegur tindakan peserta berusia 23 tahun itu. Dan sekali lagi apabila perkara itu dibangkitkan, Irwan mengambil langkah memohon maaf seandainya perkara itu menyentuh sensitiviti pemuzik dan apa yang dilakukan itu hanyalah sebagai konsep sebuah persembahan semata-mata.

Persembahan pelajar dan juga kesemua lagu terbaru yang dinyanyikan oleh finalis AF9 memang sedap didengar dan tidak mustahil mampu mendaki carta populariti jika berterusan diputarkan di corong radio.

Dan hakikat yang harus diterima adalah rata-rata yang datang malam itu kebanyakannya hanya mahu menyaksikan kumpulan Search beraksi.

~ Metro

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI