Ramai remaja menceburkan diri dalam muzik indie. Jika dahulu muzik indie terpinggir, kini penerimaan terhadap kumpulan dan produk mereka mula menjadi kegilaan.
Ini banyak didorong oleh kreativiti yang ditonjolkan oleh kumpulan indie dalam mencipta lagu. Mereka menghasilkan karya yang berbeza daripada muzik arus perdana.
Justeru tidak hairanlah jika kumpulan indie mempunyai pengaruh yang kuat dalam kalangan anak muda.
Kini pelbagai kumpulan indie tumbuh bagaikan cendawan, namun peluang untuk menonjolkan diri amat terhad.
Hanya menyebut beberapa nama seperti Hujan, Bunkface, Yuna, Pesawat dan banyak lagi, mereka bukan sahaja mempunyai pengikut yang ramai malah berjaya mengembangkan muzik ini ke peringkat antarabangsa.
Begitu juga bagi remaja yang mengisi ruang Buat Apa kali ini. Mior Luqman Hakim, 22 dan Adib Azfar, 25, sangat meminati muzik indie sejak di bangku sekolah lagi.
Bakat
Buktinya, walaupun masih belajar mereka bersemangat dengan menubuhkan sebuah kugiran post-hardcore. Diberi nama Oh Chentaku, ia terdiri daripada tiga orang ahli.
"Kami bertiga dengan seorang anggota lagi iaitu Naim sebenarnya berjiran di SS7, Kelana Jaya, Selangor. Disebabkan terlalu minat dengan muzik indie, maka kami bergabung menubuhkan kumpulan Oh Chentaku.
"Kebetulan pula, saya memiliki bakat bermain dram, Mior boleh menyanyi dan mencipta lagu, manakala Naim bagus bermain bass," kata Adib ketika ditemui baru-baru ini.
Jelas jejaka yang memiliki ijazah grafik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, muzik Oh Chentaku melibatkan emosi dan sedap didengar. Para pendengar juga mudah memahami lirik yang disampaikan.
Adib yang bermain dram sejak berumur 14 tahun memberitahu, inspirasi menghasilkan muzik hadir melalui imaginasi dan kajian mengenai muzik-muzik indie yang ada di seluruh dunia.
Baru ditubuhkan setahun lalu, mereka bakal menghasilkan lagu berjudul Suitcase, A Scarf And The Departure.
Mior pula mengakui dia sudah menghasilkan beberapa buah lagu. Namun, tidak kesampaian untuk dikongsi dengan pendengar kerana komitmen belajar.
"Mungkin selepas tamat pengajian peringkat sarjana di Universiti Switzerland, kami akan memberi fokus kepada kumpulan Oh Chentaku agar ia lebih dikenali ramai," katanya.
Maklum balas
Apakah antara maklum balas yang diterima? Mior memberitahu, kebanyakannya adalah positif.
"Setakat ini, kumpulan kami pernah membuat persembahan di beberapa buah negara seperti Thailand, Singapura dan Indonesia," kata Mior mengenai Oh Chentaku yang telah membuat 100 persembahan.
Penglibatan mereka dalam industri hiburan tidak dihalang keluarga. Malah, keluarga mereka sanggup menyumbang dalam bentuk wang ringgit.
"Untuk menyiapkan album Oh Chentaku ini sahaja, kami melabur sebanyak RM5,000. Meskipun begitu, kami bersyukur kerana mendapat sokongan dan sumber kewangan daripada ahli keluarga," celah Adib.
Mendengar keseluruhan lagu di dalam album tersebut, pendengar akan mengalami satu kembara muzik yang lebih variasi dan mengusik emosi.
"Matlamat lain kami ialah untuk menyampaikan mesej berguna kepada generasi muda melalui muzik yang disampaikan," kata Mior mengakhiri perbualan.
Kumpulan Muzik Indie Oh Chentaku
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment