Menjadi suatu kesilapan besar apabila menganggap Islam itu hanya menjurus persoalan ibadat semata-mata. Sedangkan persoalan akhlak merupakan agenda utama agama itu.
Lebih-lebih lagi syaitan dan iblis telah bersumpah dan berjanji di hadapan Allah agar hukuman terhadap mereka ditunda sehingga hari kiamat bagi membolehkan mereka untuk menyesatkan umat manusia.
Maka ini menyebabkan akhlak manusia akan teruk diancam oleh godaan dan bisikan was-was dari makhluk Allah yang ingkar itu.
Begitu pun ancaman dari makhluk ini sebenarnya tidaklah sehebat dari nafsu yang ada dalam diri manusia.
Felo Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (Infad) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Zulkifli Mohamad Albakri berkata, syaitan dan iblis akan menggoda manusia melakukan maksiat seperti zina tetapi yang mengerakkan seseorang dan memilih pasangan untuk diajak berzina itu adalah dorongan hawa nafsu manusia itu sendiri.
Katanya, sebenarnya syaitan adalah golongan yang lemah berbanding nafsu yang pengaruhnya terhadap manusia adalah lebih kuat.
Sebabnya, syaitan akan hanya menggoda manusia dari empat penjuru iaitu kiri, kanan, depan dan belakang. Tetapi tidak dari atas dan bawah.
"Ini kerana kedudukan Allah yang sangat tinggi karamah dan kemuliaan-Nya dan syaitan pula tidak bersifat tinggi manakala jika individu umat Islam itu bersifat kehambaan, tawaduk, rendah diri syaitan tidak mudah untuk menganggu individu seperti itu.
"Kerana itu kita sering menyebutkan mujahadah an-nafs (perangi nafsu) berbanding mujahadah as-syaitan (perangi syaitan)," jelas beliau.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan syarahan di Wacana Siri Muhadharah ke 10 anjuran Pusat Pengajian Sains Dakwah, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di ILIM, Bangi baru-baru ini.
Wacana kali ini bertajuk 'Gejala Sosial: Sejauh mana Keprihatinan Ummah?'
Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Pengarah ILIM, Paimuzi Yahya berkata, pelbagai gejala sosial yang kian membarah dalam masyarakat kini adalah sesuatu yang sangat mencemaskan dan menakutkan.
Katanya, macam-macam yang berlaku hari ini dan hampir kesemuanya gejala yang sebelum ini tidak terfikir akan berlaku, terutamanya kes membuang bayi yang malangnya secara majoritinya dilakukan oleh kalangan umat Islam kita sendiri.
"Namun zaman untuk kita saling menuding jari mencari kesalahan dan menghukum orang lain sudah berlalu kerana semua itu tidak dapat mengubah apa-apa kerana yang penting sekarang ini adalah apakah sumbangan kita semua bagi membanteras segala macam gejala sosial yang berlaku itu," katanya.
"Sebaik-baik manusia adalah yang memberikan manfaat kepada orang lain terutama dalam sama-sama menangani kerosakan akhlak yang berlaku dalam masyarakatnya sendiri," katanya.
Sementara itu, Dr. Zulkifli mengajak masyarakat memahami sepenuhnya hakikat mengenai maksiat yang jika tidak dibendung akan menjadi satu sifat yang kuat melekat, sukar untuk ditanggal dan lebih teruk lagi, iaitu sifat maksiat itu suka melahirkan maksiat yang lain.
Pada mulanya kata beliau, seseorang akan rasa bersalah apabila melakukan maksiat, rasa berdosa dan rasa hina tetapi apabila tidak diubati dengan taubat nasuha maka jadilah bagai pepatah Melayu ada mengatakan 'alah bisa tegal biasa'.
"Tidak menjadi apa malah terus menjadi sebahagian dari sifat hidup seseorang itu, suka buat maksiat," katanya.
100 sebatan
Maka tidak menghairankan jika dalam kes menggugur dan membuang bayi secara haram terkadang melibatkan perbuatan yang dilakukan berulang kali tanpa mengenal erti serik dan taubat.
Ini berdasarkan tafsiran terhadap ayat dari surah an-Nur ayat 21: Azzaniyyatu (Penzina perempuan) dan Wazzani (Penzina lelaki) yang dimulakan dengan huruf alif dan lam itu tidak sahaja bermakna perkataan khas tetapi juga bagi menunjukkan perbuatan zina itu telah menjadi sebati dan 'kebiasaan' bagi individu lelaki dan perempuan itu.
Penzina perempuan dan penzina lelaki, sebatlah kedua mereka dengan 100 sebatan, dan janganlah rasa belas kasihan kamu terhadap mereka berdua mencegah kamu untuk (menjalankan) agama (hukum) Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan hari kemudian. Dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sebahagian orang-orang yang beriman. (an-Nur: 2)
Kata Dr. Zulkifli, tabiat banyak makan dan tidur adalah antara punca nafsu bermaharajalela dalam diri di samping tidak mempunyai identiti Islam yang sejati dengan membenarkan dirinya dipengaruhi oleh pelbagai budaya yang tidak sihat.
"Namun keruntuhan institusi rumah tangga turut memberi sumbangan terbesar kepada akhlak yang dikuasai oleh nafsu, iaitu sedari dari pemilihan pasangan hidup itu sendiri," tambahnya.
Dr. Zulkifli menaruh harapan agar dikembalikan institusi masjid dan surau kepada peranan yang lebih ampuh dan efektif untuk menangani apa juga permasalahan ummah.
Katanya, sebagai institusi yang penting dalam masyarakat, rumah-rumah ibadat itu perlukan pengisian silibus yang baru dan lebih relevan dengan kehendak dan keperluan kesemua latar belakang masyarakat Islam.
"Ini kerana silibus-silibus masjid yang ada hari ini hanya mesra kepada golongan tua, senja dan renta.
"Ini menyebabkan yang sering mengunjungi masjid yang kita nampak hanya dua golongan sahaja, iaitu sama ada yang paling tua dan yang paling muda, kanak-kanak.
"Mereka yang berada antara golongan tua dan kanak-kanak ini, tidak ada, tidak nampak (mengunjungi masjid).
"Kalau ada pun apabila mereka datang ke masjid, kuliah-kuliah pengajian agama yang berlangsung mengenai dari kitab-kitab lama, maka tidak menjadi daya tarikan kepada golongan muda tersebut," katanya.
Dr. Zulkifli menambah, kawalan perlu terhadap pengaruh-pengaruh media yang turut mencetuskan fenomena kelemahan akal dan lebih memberikan kekuatan kepada nafsu.
"Ini termasuk juga kerap ditayangkan mengenai kisah-kisah hantu pada hari ini, tentu sahaja ia tidak memberikan sebarang faedah terutama yang menontonnya kanak-kanak dan fenomena ini wajar mendapat perhatian semua pihak," katanya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Bimbingan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah, yang dikendalikan oleh Biro Wanita Pertubuhan Jemaah Islah Malaysia (JIM), Rosmawati Zainal turut menarik perhatian pendengar dengan berkongsi pengalaman beliau mengendalikan pusat pemulihan terutamanya kepada kalangan yang terjebak dalam gejala mengandung luar nikah di kalangan umat Islam ini.
Namun yang jelas beliau meminta kepada seluruh umat Islam supaya mengambil sikap 'menjaga tepi kain' sebagai antara jalan penyelesaian gejala sosial malah sikap itu sendiri dibenarkan dan digalakkan dalam Islam.
"Apa sahaja perlakuan sumbang yang berlaku di hadapan mata, mesti ditegur tanpa kita perlu rasa bimbang atau was-was.
"Ramai yang bimbang takut diapa-apakan jika cuba bertindak membetulkan keadaan. Tetapi semua itu tidak akan terjadi selagi kita tidak mencuba dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan," katanya.
Sebagaimana pengalaman beliau menegur seorang pemuda yang meraba-raba paha seorang pelajar perempuan yang masih dalam pakaian seragam sekolah di sebuah medan selera.
Perbuatan yang sangat menjolok mata itu sangat menarik perhatian orang lain sehinggalah Rosmawati datang menegur pemuda tersebut.
Tentu sahaja pasangan tersebut tidak mempunyai status hubungan suami isteri namun dengan nada menyindir tetapi penuh keibuan Rosmawati meminta supaya pasangan itu segera bernikah.
Pola maksiat
"Kalau sudah menikah, kamu nak buat apa, tak jadi masalah. Tetapi itu tentunya bukan tujuan saya tetapi dengan pelaku-pelaku maksiat ini kita memerlukan penggunaan bahasa yang berterus terang sahaja dengan mereka, supaya mereka sedar dan akhirnya malu sendiri," katanya.
Rosmawati menasihat ibu bapa supaya mengawasi sepenuhnya perlakuan anak-anak mereka sebelum mereka menyesal di kemudian hari.
"Bukan sahaja kita mesti tahu ke mana anak-anak itu keluar ke mana pergi tetapi ibu bapa perlu menjejaki anak-anak itu bagi memastikan mereka tidak melencong yang rupa-rupanya membuang masa lepak bercampur lelaki perempuan di kompleks-kompleks beli belah," katanya.
Menurut beliau, terdapat pola maksiat yang teruk di kalangan remaja-remaja perempuan yang hamil ini.
Terpedaya janji manis
"Kalau dahulu mereka terjebak dalam perlakuan seks luar nikah akibat terpedaya dengan kata manis dan janji teman lelaki malah tunang mereka sendiri.
"Tetapi kini mereka boleh mendongak langit, sambil membilang jari kerana memikirkan jumlah lelaki yang telah menjadi pasangan seksnya selama ini. Ini bermakna jenayah seks rambang benar-benar menjadi trend mereka kini," katanya.
Raudhatus Sakinah katanya, bukan bertujuan selama-lamanya menjadi alternatif melindungi remaja Islam yang berzina dan hamil.
Katanya, pada tahun 2020, pihaknya berhasrat mencapai maksiat sifar bagi membolehkan semua cawangan Raudhatus Sakinah di seluruh negara ditutup.
"Kita tidak mahu pusat ini sentiasa diperlukan perkhidmatannya bagi setiap kali berlakunya remaja hamil luar nikah seolah-olah zina dibiarkan berterusan.
"Hasrat murni itu sama sekali tidak akan tercapai jika kita mengambil sikap bagaikan enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing, kita tidak bersama dalam membanteras apa juga gejala maksiat ini," katanya.
Oleh SITI AINIZA KAMSARI
'Ambil tahu' bantu atasi gejala sosial
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment