Ruffedge Mahu bangkit dari kegagalan

Monday, April 26, 2010

Satu ketika dahulu, nama Ruffedge berada di puncak kegemilangan dan menjadi kegilaan peminat.

Terima kasih kepada lagu Tiada Lagi Cinta yang telah membawa kemasyhuran kepada kumpulan yang sudah ditubuhkan lebih sedekad yang lalu.

Kelangsungan daripada lagu tersebut, Ruffedge terus menyambung hayat populariti mereka dengan lagu-lagu seperti Tipah Tertipu, Da' Bomb, Goyang dan Bila Rindu.

Namun, entah di mana silapnya, populariti yang dikecapi mula pudar dan peminat seakan-akan sudah melupakan kumpulan ini.

Mereka bagaikan dipinggirkan dan ramai yang mula mengandaikan kumpulan ini sudah pun menamatkan hayat mereka.

Hakikat sebenarnya, tidak! Mereka masih lagi bernyawa dan jenama Ruffedge sekali-kali tidak akan berkubur.

Ini diakui sendiri oleh salah seorang anggotanya, Azan Addin Abd. Wahab atau lebih popular dengan panggilan Azan yang memberitahu Ruffedge masih lagi aktif.

Tegas Azan, untuk meletakkan batu nisan kepada kumpulannya dalam waktu terdekat ini, ia tidak mungkin akan berlaku.

Jelasnya, apa yang berlaku Ruffedge tetap bersatu biarpun anggota kumpulannya bersilih ganti.

"Kami sedar nama kami tidak sepanas sewaktu kami mula-mula muncul dulu dan kami menerima hakikat itu.

"Sebenarnya, banyak yang telah kami lalui sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan kami tidak malu akui bahawa kami menjadi lupa diri atas kemasyhuran serta kemewahan yang dinikmati.

"Lalu, apabila semuanya ditarik balik oleh Sang Pencipta dalam sekelip mata, ia telah memberi kesedaran kepada kami bahawa apa yang telah kami lakukan sebelum ini banyak silapnya.

"Kini, kami mahu bangkit semula dan memperjuangkan muzik yang telah menjadi darah daging kami sejak sekian lama," luah Azan mewakili teman-temannya yang lain sewaktu sesi fotografi yang berlangsung di studio Utusan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selain Azan, tiga anggota Ruffedge lain yang turut hadir ialah Mohd. Kamaruzaman Zain Abdul Hamid atau Zain; Irwan Iskandar Abidin (Iwan) dan Mior Zulkarnain Mohd. Zamhuri (Nine).

Permainan politik

Tambah Azan lagi, dugaan dan cabaran yang menimpa mereka memang cukup hebat dan ia ditambah lagi dengan pengunduran Cat Farish, Sein dan Amer Munawer yang merupakan anggota kumpulannya.

Namun, dia sedar Allah Maha Berkuasa dan dia ditemukan dengan dua individu yang berbakat besar iaitu Iwan dan Nine yang akhirnya menjadi keluarga Ruffedge.

Dalam masa yang sama juga, Azan yang juga salah seorang pengasas kumpulan Ruffedge ini memberitahu 'kehilangan' mereka dalam industri ada kena-mengena dengan permainan politik syarikat rakaman.

Ceritanya, selepas muncul dengan album Ruffera, mereka sepatutnya melahirkan album baru.

Tetapi, syarikat rakaman mereka ketika itu, EMI bagaikan main tarik-tali dengan mereka sehinggalah peluang itu terus ditutup apabila EMI berkubur.

Tidak menyesali apa yang berlaku, jelas Azan, semuanya dianggap sebagai rencah dan asam garam dalam gelanggang seni yang sememangnya penuh mencabar.

Tahun lalu, Ruffedge muncul dengan empat buah lagu terbaru iaitu Pemuja Dari Jauh, Ke Udara, Jangan Berhenti dan Rintihan Pengemis yang menyaksikan sentuhan berbeza mereka.

Jika dulu, muzik mereka lebih sesuai dan menyentuh muda-mudi sebaya mereka tetapi kini, Ruffedge mahu tampil dengan muzik yang lebih matang seiring dengan usia serta status mereka sebagai seorang suami dan bapa.

Biarpun sudah muncul dengan beberapa buah lagu terbaru, ia masih belum cukup untuk mengukuhkan kedudukan mereka di dalam industri.

Jauh di sudut hati mereka, keinginan untuk merakamkan album masih lagi tebal dan mereka sendiri tidak pernah putus asa untuk mencari peluang.

Mengakui zaman ini penuh mencabar apabila album fizikal semakin disisihkan dan fokus lebih kepada muat turun yang menjadi trend masa kini, Ruffedge enggan cepat menyerah kalah.

Jelas Zain, memang ada beberapa syarikat yang mahu melamar Ruffedge menjadi artis naungan mereka.

Tetapi, sebagai artis berkumpulan yang bertahan lama dalam industri, mereka mahukan sesuatu yang berbeza daripada apa yang pernah diberikan oleh bekas syarikat rakaman mereka.

"Bukan mahu bersikap angkuh tetapi setidak-tidaknya biarlah tawaran itu setimpal dengan bakat serta kesungguhan yang kami perjuangkan menerusi muzik Ruffedge.

"Pun begitu, kami tidak akan berputus asa untuk melahirkan muzik dan lagu terbaru buat peminat yang tidak pernah berhenti menyokong kami," kata Zain yang juga aktif sebagai seorang pelakon.

Sebetulnya, benar juga apa yang diperkatakan Zain itu kerana sehingga kini, tiada sebuah pun kumpulan vokal berharmoni yang mampu kekal di dalam industri.

Rakan seperjuangan mereka, V.E. sudah pun menamatkan perjuangan seni mereka apabila masing-masing kini lebih selesa bergerak solo serta mencuba cabang seni yang lain.

Lantaran itu, apabila nama mereka tersenarai sebagai salah seorang finalis kategori Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Lagu pada Anugerah Industri Muzik Ke-17 (AIM17) pada 2 Mei ini, mereka hanya bersyukur dan menarik nafas lega.

Kelegaan mereka membawa seribu satu makna yang tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata.

Setidak-tidaknya kata mereka, dengan satu pencalonan itu ia diharapkan dapat membuka mata ramai pihak khususnya peminat bahawa mereka tidak pernah berkubur.

Perjuangan mereka masih belum selesai dan banyak lagi yang mahu mereka kecapi sebagai seorang penghibur.

"Kami memang tidak menyangka alunan vokal kami masih lagi mendapat tempat di hati juri yang menghargai bakat kami.

"Ucapan terima kasih juga harus diberikan kepada KRU kerana inisiatif mereka dalam mempromosikan lagu Pemuja Dari Jauh yang akhirnya mendapat pencalonan AIM17.

"Ini adalah perangsang buat kami untuk terus menghasilkan lagu-lagu yang berkualiti demi peminat dan mengubat kekecewaan yang pernah kami alami sebelum ini," jelas Azan dan Zain sewaktu diminta mengulas tentang pencalonan mereka.

Untuk kategori ini, Ruffedge akan ditentang hebat oleh empat calon lain yang tidak sewajarnya dipandang sebelah mata.

Mereka yang dimaksudkan ialah gandingan DJ Fuzz, Malique dan Salam yang mempertaruhkan lagu Cerita Kedai Kopi selain dua kumpulan nasyid popular, Inteam dan Rabbani yang masing-masing dicalonkan menerusi lagu Allahu Rabbi serta Kejora Sinar Zaman.

Dua nama besar industri muzik Nusantara, Datuk Siti Nurhaliza dan Krisdayanti juga tercalon dalam kategori ini menerusi lagu Amarah yang dipetik dari album CTKD.

Nama Ruffedge bukanlah asing di pentas AIM kerana sebelum ini mereka juga pernah dicalonkan pada AIM12 (2005) bagi kategori Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Album dan Album Pop Terbaik menerusi album Defined.

Bahkan, nama mereka juga pernah dijulang di pentas AIM pada tahun 2003 apabila memenangi kategori Artis Harapan yang sekali gus membuatkan nama mereka meniti di bibir peminat.

"Kami harus akui AIM telah menganjakkan karier kami ke peringkat yang lebih tinggi dan ia membuatkan masyarakat menerima muzik kami dengan baik.

"Mahu atau tidak, AIM sebenarnya banyak mengubah hidup artis yang menang mahupun sekadar dicalonkan kerana ia membuktikan hasil kerja keras kita diiktiraf.

"Bohong kalau kami kata tidak mahu menang tetapi apabila melihat nama kami dicalonkan tahun ini, ia sudah membuatkan kami teruja," kata Ruffedge yang akan menjadi salah seorang penyampai anugerah AIM17.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI