Rossa rancang kahwin 2011?

Wednesday, April 14, 2010

Rossa rancang kahwin 2011?

Penyanyi kecil molek dari Indonesia, Rossa menyangkal dakwaan akan menamatkan zaman solonya tahun hadapan.

Mengakui dirinya kini sedang mengenali seseorang, Rossa menolak keras sebarang spekulasi mengenai hubungannya itu.

“Saya baru mengenalinya. Lama tak lama jugalah. Tapi, kami masih belum bersedia untuk ke arah berkahwin memandangkan kami masih lagi di peringkat permulaan. Masih mencari keserasian dan mengenali lebih lagi hati budi masing-masing.

“Buat masa ini, saya hanya mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada kerjaya dan anak saya. Saya juga akui memang bahagia di saat ini. Untuk sebuah perkahwinan itu, biarlah masa yang menentukannya,” katanya dalam nada sangat gembira.

Katanya lagi, sejak berkenalan dengan jejaka bertuah itu, Ibu kepada Rizky Langit Ramadhan yang berusia 3 tahun ini mengakui meniti hari-hari yang sangat bahagia dengan kehidupan sekarang tambahan dengan kehadiran seseorang yang sungguh bermakna buat dirinya.

Jejaka bertuah itu juga mempunyai ciri-ciri lelaki idamannya dan berdoa akan ada penghujung yang baik di antara mereka berdua.

“Bagi saya, dia seorang yang sangat memahami diri dan kerjaya saya. Selain itu, dia juga menghormati saya dan sangat penyayang. Bukan sahaja dia menerima diri saya seadanya malah dia juga boleh menerima anak saya dan sangat sayangkan anak saya. Saya berdoa agar ia akan berkekalan,” katanya.

Namun, lelaki tersebut bukanlah Pasha vokalis kumpulan Ungu seperti yang dikatakan jauh sekali terlibat dalam bidang seni.

“Dia tu hanya orang biasa yang ada berkecimpung dalam dunia perniagaan. Cukuplah setakat itu sahaja. Doakan sahaja yang baik-baik untuk kami berdua,” katanya.

Bercerita mengenai kerjayanya, Rossa bakal mengadakan konsert solonya yang pertama di Malaysia pada 29 Mei depan. Konsert yang bakal berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil ini telah mendapat tajaan daripada pelbagai pihak termasuk penerbangan Air Asia.

“Saya berterima kasih kepada semua penaja yang membawa saya ke sini. Inilah konsert solo pertama artis Indonesia di sini.

“Jadi saya akan pastikan, ia adalah yang terbaik khas buat semua peminat dan penyokong saya di Malaysia,” katanya.

Rossa akan membawa rombongan 40 pemuzik serta penari dari Jakarta. Bukan tidak yakin dengan kemampuan pemuzik tempatan, tetapi Rossa lebih selesa bersama pemuzik dan penarinya sendiri.

“Saya menghargai semua pemuzik walau dari mana pun, cuma untuk konsert besar seperti ini, pasti memerlukan kos yang lebih tinggi jika saya perlu berulang alik ke sini untuk sesi latihan. Jangan salah faham dengan perkara ini. Saya tahu pemuzik di sini juga hebat-hebat,” katanya.

Bakal mendendangkan 17 buah lagu termasuk lagu popularnya seperti Tegar, Pudar, Wanita Yang Kau Pilih, Atas Nama Cinta dan banyak lagi, konsert solo Melodi Cinta Rossa akan turut diserikan dengan penyanyi undangan iaitu Aizat, kumpulan Ungu dan ST12 dari Indonesia.

“Artis undangan ini adalah kenalan saya. mereka semua adalah yang terbaik. Saya tidak sabar untuk bergandingan dengan Aizat kerana dia punya vokal yang mantap.

“Sejak kali pertama saya melihat persembahannya ketika Konsert Datuk Siti Nurhaliza lalu, saya sudah nekad untuk menjemputnya menyanyi bersama saya. Alhamdulillah pelawan saya diterimanya,” katanya.

Selain itu, terdapat kelainan pada konsert itu nanti di mana Rossa akan tampil dengan kumpulan koir Permata Seni yang dianggotai pemuzik cilik berusia di antara 7 hingga 12 tahun. Permata Seni yang dinaungi isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI