Saban tahun, kategori vokal antara yang menjadi tumpuan dan menarik perhatian ramai sementelah calon-calon yang dipertandingkan bukanlah calang-calang.
Manakan tidak, menerusi kategori ini peminat akan dapat melihat lima calon yang tersenarai di mana kesemua mereka mempunyai kredibiliti dan kemampuan vokal masing-masing.
Bukan itu sahaja, sesuatu yang menarik untuk diperkatakan tentang vokal apabila kita akan dapat melihat calon-calon yang bertanding adalah dari kalangan mereka yang senior atau masih mentah dan hijau sebagai seorang penyanyi.
Begitu juga dengan Anugerah Industri Muzik Ke-17 (AIM17) yang sekali lagi memperlihatkan saingan yang cukup sengit menerusi kategori Persembahan Vokal Lelaki Terbaik Di Dalam Lagu.
Lima calon yang tersenarai tahun ini ialah Faizal Tahir yang dicalonkan bagi lagu Bencinta, Hazami (Survivor), Jamal Abdillah (Tak Hilang Cinta Di Dunia), Riz (Kehilangan Kamu) dan Vince Chong (Buah Hati).
Sekadar menyingkap sejarah, dahulunya kategori ini dinilai menerusi album yang dilahirkan oleh seseorang artis itu.
Namun, memandangkan industri muzik tempatan kini tidak mampu lagi bergantung kepada penghasilan album, maka pihak penganjur bersetuju untuk menilainya dari penyampaian lagu sahaja.
Tahun lalu, menyaksikan penyanyi serta komposer muda yang semakin meningkat naik, Aizat memenanginya menerusi karyanya sendiri berjudul Lagu Kita.
Siapakah pula yang akan menjulangnya tahun ini dan daripada senarai di atas, pastinya peminat sendiri berasa sukar untuk meramal siapakah yang akan membawa pulang gelaran idaman ramai ini.
Daripada lima calon tersebut, hanya dua daripada mereka yang pernah mengungguli kategori ini iaitu Faizal dan Jamal.
Barangkali ramai yang terlupa, Jamal merupakan pemenang kategori Vokal Lelaki Terbaik AIM yang pertama pada tahun 1994 dan beliau memenanginya menerusi album 15 Tahun Bersama.
Adakah tahun ini rezeki akan berpihak kepada Jamal sekali lagi selepas pernah dicalonkan beberapa kali sebelum ini?
Kehebatan vokal juara Bintang RTM 1979 ini sememangnya tidak perlu disangkal lagi dan sehingga kini, suara emasnya itu tiada tandingan.
Berbekalkan suara azimatnya itulah, menjadikan Jamal satu dalam sejuta dan membuatkannya bertahan selama tiga dekad sebagai penghibur terbilang.
Calon kegemaran
Sementara itu, Faizal juga merupakan salah seorang calon kegemaran untuk mengungguli kategori ini berdasarkan nyanyiannya yang penuh bertenaga menerusi Bencinta.
Sebelum ini, penyanyi dan komposer berusia 31 tahun ini pernah diiktiraf pada tahun 2008 berdasarkan albumnya, Aku.Muzik.Kamu.
Ketika itu, kemampuan vokal Faizal dinilai berdasarkan keseluruhan album tetapi kali ini penilaian juri berdasarkan lagu sahaja.
Lalu, adakah Bencinta sudah cukup kuat untuk menjulang nama Faizal sekali lagi di pentas AIM?
Kalaulah dia menang pada malam itu, Faizal akan menjadi penyanyi lelaki kelima selepas Amy, Anuar Zain, M. Nasir dan Reshmonu yang pernah memenangi kategori ini sebanyak dua kali.
Penyanyi dan komposer berbakat besar bernama Hazami ini juga berpotensi besar untuk memenangi kategori Vokal Lelaki Terbaik tahun ini.
Pernah dicalonkan sebanyak dua kali sebelum ini, tidak mustahil pertaruhan Hazami menerusi album Inggeris pertamanya mampu membawa tuah buat anak seni serba boleh ini.
Teknik nyanyian dan penghayatan Hazami menerusi lagu Survivor sememangnya cukup bagus dan tidak keterlaluan, ia hampir sempurna.
Harus diingatkan sekali lagi, AIM adalah tentang kualiti dan populariti bukanlah faktor utama yang menyumbang kepada kemenangan seseorang artis itu.
Seandainya Hazami menang pada malam itu, pastinya ia akan meninggalkan momen indah buatnya yang selama ini bagaikan dipandang sepi oleh segelintir pihak.
Apabila nama naib juara Akademi Fantasia musim keenam ini tersenarai sebagai salah seorang calon Vokal Lelaki Terbaik, ramai yang tergamam dan terkejut.
Mungkin kerana ramai tidak menyangka Riz mampu menembusi tembok kebal AIM yang semua sedia maklum begitu sukar membolosinya.
Itulah AIM yang sentiasa penuh dengan kejutan dan siapa sangka, untuk artis baru seperti Riz mampu tercalon sebaris dengan artis senior yang lain.
Mungkin juri melihat keunikan vokal Riz menerusi lagu Kehilangan Kamu lalu sepakat untuk menyenaraikannya dalam kategori ini.
Kalaulah Riz menang, rasanya tidak perlulah untuk dipertikaikan kerana AIM sendiri sudah pernah mencipta sejarah menobatkan mereka yang bukan dari kalangan calon pilihan.
Masih ingat bagaimana Shanon Shah memenangi kategori Vokal Lelaki Terbaik pada tahun 2006 yang telah menimbulkan perdebatan untuk beberapa ketika?
Pertikaian timbul oleh segelintir mereka yang melihat dua calon hebat ketika itu, Hazami dan Jamal yang lebih layak memenanginya daripada Shahon.
Keputusan juri adalah muktamad. Haruskah ia dipertikaikan? Kalau juri rasa artis itu layak diangkat sebagai pemenang, itu adalah keputusan mereka kerana mereka lebih bijak menilai.
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
0 Komen:
Post a Comment