Siasatan kes teman lelaki Halimaton babitkan kes rogol: Polis

Wednesday, April 14, 2010

Polis sudah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes rogol membabitkan teman lelaki pelajar pintar, Halimaton Abdul Rashid, 15, dan menyerahkannya kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya, hari ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Syed Ismail Syed Azizan, berkata siasatan ke atas remaja berusia 19 tahun itu dilakukan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan sebat.

Syed Ismail berkata, siasatan ke atas remaja yang bekerja sebagai penyelia restoran di Langkawi itu sudah disiapkan dan dia dibebaskan dengan jaminan polis, hari ini.
"Polis sudah melengkapkan siasatan kes berkenaan dan kertas siasatan dihantar ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk menunggu tindakan lanjut. Kita masih menunggu arahan selanjutnya," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, Sempena Hari Polis ke-203, hari ini.

Ditanya sama ada, keluarga teman lelaki Halimaton juga turut akan disiasat kerana bersubahat menyebabkan kehilangan gadis berkenaan sejak 22 Mac lalu, Syed Ismail berkata, siasatan kes itu tidak ada kaitan dengan keluarga remaja lelaki berkenaan.

"Siasatan kes ini tidak membabitkan ahli keluarga lelaki berkenaan," katanya.

Isnin lalu akhbar ini melaporkan, polis menahan remaja lelaki itu di rumahnya di Langkawi Jumaat lalu bagi membantu siasatan terhadap laporan polis yang dibuat oleh keluarga Halimaton selepas pelajar itu dilaporkan hilang dari rumah kakaknya di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, pada 22 Mac lalu

2010/04/14

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI