Program Baiti Jannati TNB

Monday, April 19, 2010

Dalam hidup ini, bukan semua kita bernasib baik dikurniakan rezeki yang melimpah ruah serta kehidupan yang selesa. Realitinya, kekayaan atau kesusahan hidup itu adalah ujian Allah kepada hamba-Nya.

Namun, Islam sebagai agama yang fitrah telah meletakkan panduan supaya mereka yang dikurniakan kelebihan rezeki membantu golongan yang memerlukan.

Menyedari hakikat itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperuntukan RM900,000 untuk membaiki 65 rumah di seluruh semenanjung di bawah Program Baiti Jannati sepanjang tiga tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata, projek itu adalah salah satu tanggungjawab sosial korporat TNB selaras saranan kerajaan supaya Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) membantu kerajaan untuk membaiki rumah golongan sasaran.

Menurutnya, usaha TNB membaiki rumah kediaman itu sekali gus dapat membantu golongan sasaran seperti ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan penduduk miskin agar mendapat kediaman yang lebih selesa.

"Di peringkat nasional program seumpama ini dikenali sebagai program Sejahtera yang mana ia telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Maran, Pahang tahun lalu," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Projek Baiti Jannati TNB Peringkat Kebangsaan di Kampung Simpang Sepayang, Kuala Rompin, Pahang, baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Rompin yang juga Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, Kapten (B) Datuk Mohd. Johari Hussain dan Pegawai Daerah Rompin, Datuk Mohamad Roslan Harun.

Che Khalib berkata, di Pahang sahaja terdapat sembilan rumah yang terlibat dalam program Baiti Jannati atau lebih dikenali 'Rumahku Syurgaku'.

"Sebanyak sembilan rumah telah terlibat dengan projek ini di negeri ini iaitu di Pekan sebanyak lima buah, Rompin (dua) dan masing-masing satu di Temerloh dan Kuantan," katanya.

Beliau berkata, beberapa persatuan seperti Pusat Keusahawanan & Pembangunan Insan (PKPI), Kelab Kilat TNB, PELITAWANIS dan kesatuan sekerja turut menyumbang barangan makanan dan alat kelengkapan rumah.

Untuk tujuan itu, katanya, satu Tabung Baiti Jannati ditubuhkan untuk mendapat sumbangan daripada warga kerja TNB dan pelanggannya yang berurusan di 135 Kedai Tenaga di seluruh Semenanjung.

Oleh M. SHAHRINNAHAR ABD. LATIB

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI