KEJADIAN dicemuh penonton sewaktu menghadiri acara Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH_) awal bulan ini benar-benar mengejutkan penyanyi ini serta pelbagai pihak yang turut berada di lokasi kejadian. Siapa sangka bekas pemenang anugerah kategori Bintang Paling Popular selama tiga kali berturut-turut, Asmawi Ani atau lebih akrab disapa Mawi boleh dimalukan sebegitu rupa.
Apa sebenarnya yang berlaku sehingga membuatkan penonton tergamak untuk melakukan perkara mengaibkan itu kepada penyanyi popular ini. Adakah ia satu hukuman kepada penyanyi yang pernah popular dengan lagu Aduh! Saliha ini ataupun ia menandakan empayar Mawi yang cukup kukuh sejak empat tahun lalu kini sedang menuju ke zaman kejatuhan.
Biar apapun telahan serta spekulasi yang ditebarkan, Mawi ketika diminta mengulas hal ini berfikiran positif serta tidak menganggap perkara itu sedemikian. Sebaliknya dia mendakwa masih mempunyai peminat yang setia menyokong kerjaya seninya. Buktinya, sewaktu bertemu peminat di kawasan luar bandar khususnya, popularitinya masih bertahan di kalangan mereka.
Pun begitu, menyedari dunia hiburan sebenarnya boleh diumpamakan sebagai roda yang berputar, Mawi mengakui yang dia memang sudah lama bersedia untuk berdepan dengan zaman suramnya. Bukan hendak mendabik dada atau cuba bersikap berpura-pura apabila berkata demikian, tetapi Mawi lebih bersikap realistik dan sedar akan pasang dan surutnya populariti seseorang artis itu.
Hip: Apa perasaan Mawi apabila diboo penonton sewaktu ABPBH tempoh hari?
Mawi: Sebenarnya saya sendiri tertanya-tanya bagaimana boleh jadi sebegitu? Iyalah, tentunya saya tertanya-tanya juga apakah salah saya sehingga menyebabkan penonton bertindak sebegitu. Tapi apabila menyedari yang di dalam dewan itu dipenuhi dengan penyokong penyanyi lain juga jadi saya anggap perkara itu adalah normal. Tak semua orang minat kita dan tak semua orang benci kita. Kalau dulu sewaktu orang melaung dan menjerit nama saya, saya sendiri tertanya-tanya, jadi bila ada yang boo, saya juga memberikan reaksi yang serupa. Ia jelas tindakan di luar kawalan dan saya tidak salahkan penganjur dalam hal ini.
Tapi Mawi rasa tak yang ia bagaikan satu petanda yang populariti Mawi seakan merosot?
Saya tak rasakan sebegitu kerana bila saya terbabit dengan persembahan di luar bandar, sambutan yang saya terima tetap di luar dugaan. Buktinya baru-baru ini sewaktu saya berkunjung di kawasan Felda, mereka masih meminati saya. Bagaimanapun, saya sedar yang populariti seseorang artis itu takkan mampu bertahan lama. Tiba masa ada ramai pelapis yang sedia mengganti. Jadi disebabkan itu saya sudah lama menanam dalam hati supaya sentiasa bersedia menerima zaman kejatuhan saya.
Bagaimana dengan reaksi pihak yang menjadikan Mawi jurucakap produk mereka? Adakah perbuatan itu memberi impak kepada mereka?
Terdapat dua produk yang menjadikan saya jurucakap mereka iaitu Marrybrown dan Silky Men. Setakat ini mereka tidak memberi sebarang komen mereka berhubung insiden itu.
Apakah selepas ini Mawi serik untuk menghadiri mana-mana acara anugerah bimbang insiden yang sama berulang kembali?
Seperti yang saya katakan tadi, saya tak menyalahkan sesiapa apabila insiden seperti ini berlaku. Saya tak mempunyai kuasa untuk memaksa peminat menyukai saya. Saya juga tidak menyalahkan penganjur kerana perkara itu berlaku di luar kawalan mereka. Jika saya diundang, saya tetap akan datang. Cuma saya harap, mereka (penonton) akan lebih ras]sional dalam hal ini. Kita datang atas dasar memenuhi undangan tuan rumah serta memeriahkan acara. Jadi jangan keruhkan keadaan dengan perbuatan seperti itu (menyorak).
Baru-baru ini telemovie terbitan syarikat produksi Mawi berjudul Jiwa Kacau ditayangkan di kaca televisyen. Ada yang mendakwa drama itu dibuat secara tangkap muat. Komen sikit.
Saya nafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengatakan drama ini dibuat secara tangkap muat. Saya pantau pembikinan drama ini dari mula sampai habis. Malah sewaktu sesi penyuntingan, saya tetap turun padang. Begitu juga dengan soal skrip, kami mempunyai lima orang panel yang terbabit untuk memilih skrip mana yang terbaik. Bukan hendak membanggakan diri, tetapi telemovie terbabit turut mendapat pujian Astro. Produksi saya memang tidak pernah berkompromi dengan soal kualiti. Dan disebabkan itulah kami masih diberi peluang untuk bekerjasama dengan Astro pada masa akan datang. Buat masa ini produksi saya masih sibuk dengan pembikinan drama bersiri berjudul Hikmah Seruan Nami yang 80 peratus penggambarannya dijalankan di Pulau Nami, Korea. Dalam drama ini pembabitan saya hanyalah menyanyikan lagu temanya saja yang berjudul Menanti Hikmah, hasil ciptaan komposer Cina, Hudson dan lirik oleh Mata.
Ramai yang melihat Mawi semakin aktif mengacara dan berlakon, bagaimana pula dengan karier nyanyian? Bila album Idola akan dipasarkan?
Saya masih lagi menyanyi tetapi tidaklah seaktif dulu. Tak dinafikan, sejak kebelakangan ini, tawaran untuk membuat persembahan, walaupun ada tapi tidaklah sekencang dulu. Jika dulu saya boleh dapat dalam 10 tawaran sebulan, kini adalah dalam dia, tiga tawaran sebulan. Namun, undangan itu masih ada walaupun tak banyak.Mengenai album Idola, ia memang sudah lama siap dan menunggu masa untuk dipasarkan. Tapi mengikut syarikat rakaman iaitu Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB), pengedaran album itu terpaksa ditangguhkan dulu memandangkan pasaran album yang tidak memberangsangkan ketika ini.Saya tak kecewa dan saya memahami situasi ini.Jadi saya akan terus menunggu.Tapi jika kontrak saya tamat pertengahan tahun depan, barulah saya bercadang untuk memasarkannya sendiri.
Ada yang bertanya sampai bila Mawi mahu terus dikenali dengan imej botak? Tak bimbang peminat jemu dengan penampilan yang sama?
Saya lebih selesa dengan imej botak seperti ini. Saya memang tak boleh simpan rambut panjang. Kalau rambut tumbuh panjang saja, saya akan pening kepala. Jadi biarlah saya kekal dengan imej sebegini, sampai bila-bila.
Oleh Farihad Shalla Mahmud
Mawi fobia selepas kena 'boo'?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment