"Pengalaman empat tahun macam 10 tahun"

Tuesday, April 27, 2010

PEMBABITANNYA dalam lapangan seni sebagai penyanyi solo baru hendak menjangkau usia empat tahun.

Tetapi, selama tempoh dia membina dan jenamanya sehingga berjaya meletakkan dirinya di puncak kegemilangan, ia bukan laluan yang mudah.

Kontroversi dan cerita kurang enak tentang dirinya pantas bertebaran di segenap maya sehingga pada satu ketika, namanya hampir tersungkur gara-gara kesilapan dirinya sendiri.

Bahkan, personalitinya itu juga sering mengundang tanggapan negatif apabila ada yang melabelkannya sebagai seorang yang bongkak dan gemar membangga diri.

Tidak cukup dengan itu, Ahmad Faizal Mohd. Tahir atau lebih dikenali dengan nama pentasnya, Faizal Tahir juga dikatakan mudah melenting dan tidak boleh menerima sebarang kritikan yang berbaur negatif dilemparkan kepadanya.

Bertemu dengan anak jati Kuala Lumpur ini dalam satu satu fotografi di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini, Mega mengambil peluang untuk menyelami dan merungkai isi hati Faizal.

Wajahnya langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi tidak selesa sebaliknya segala persoalan dijawab dengan tenang dan baik oleh Faizal.

Penyanyi dan komposer berusia 31 tahun ini dengan pantas meningkah cerita negatif tentang dirinya apabila membabitkan tentang kritikan.

Jelas Faizal, dia seorang yang cukup terbuka untuk menerima komen dan kritikan khususnya daripada pihak media kerana itulah yang menjadi tunjang kekuatannya untuk terus berada dalam industri.

Malah, dia juga menafikan dia seorang yang mudah melenting sebaliknya Faizal memberitahu ada kalanya jiwanya mudah tersentuh dan kerana itu dia cepat menjadi emosional.

"Saya juga seperti manusia biasa lain yang mempunyai hati dan perasaan. Apatah lagi, mereka yang berjiwa seni ini naluri mudah tersentuh.

"Tetapi, saya harus akui saya amat memerlukan kritikan yang seimbang kerana saya bimbang jika saya sering mendapat pujian tanpa sebarang kritikan ia boleh membuatkan saya menjadi leka.

"Alhamdulillah, saya memiliki keluarga, isteri, anak-anak, teman rapat dan juga peminat yang sentiasa menyokong serta cepat menyedarkan saya seandainya saya sedikit terpesong dari matlamat asal.

"Saya cukup takut kalau saya menjadi seorang yang lupa diri kerana saya tahu kalau ia menguasai diri saya, tanpa ragu ia pasti akan membawa kerugian besar," luah Faizal yang juga bekas anggota kumpulan nasyid, Mirwana ini penuh jujur.

Anak kepada pasangan Mohd. Tahir Abd. Rahman dan Muzlipah Aishah Pa'wanteh ini juga sedar beberapa insiden yang berlaku dalam hidupnya sebelum ini membuktikan bahawa dia menjadi leka sebentar dengan glamor dan populariti.

"Saya menjadi seronok dan tidak menyangka pula, ia mengundang rasa tidak puas hati kepada masyarakat.

"Mungkin apa yang berlaku, semuanya dalam keadaan saya tidak sedar kerana hanya fikirkan tentang diri saya sahaja tanpa pedulikan tentang orang lain.

"Daripada situ, saya belajar dan cuba memperbaiki kelemahan serta melihat apa yang terbaik perlu saya lakukan demi kebaikan saya," ujar bapa kepada Ahmad Mikaeel Zidane, 5; Siti Raudhah Nur Iman, 3, dan Ahmad Rifa'ie Zidane, setahun ini lagi.

Menjadi seorang artis ternama dan popular seperti Faizal memang beruntung kerana memiliki kelompok peminat yang sentiasa mempertahankan dirinya.

Seorang yang rasional sepertinya, Faizal juga sering kali mengingatkan peminatnya agar jangan terlalu emosional sekiranya ada kritikan yang dilemparkan kepadanya.

Sebaliknya, apa sahaja berita tentang dirinya yang dipaparkan di media massa perlu dilihat secara positif demi kebaikan karier seninya.

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI