Pelakon TV Lelaki Popular ABPBH2009, Remy Ishak akui memang rapat dengan aktres bermata cantik itu
Ada mata yang mula memandang dan ada suara yang terus berbicara mengenai teka-teki hubungan Pelakon TV Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 dengan Maya Karin. Ada yang mengandaikan kemesraan mereka kini sudah sampai ke tahap bercinta.
Paling teruk, aktor tampan kegilaan ramai itu dikatakan menjadi orang ketiga kepada punca keretakan rumah tangga Maya dan suaminya, Steven David Shorthose atau nama Islamnya, Muhammad Ali. Penafian berhubung perihal itu sudah dilakukan Maya dan juga Remy sendiri.
Ironinya, hubungan akrab Remy dan Maya juga bukan lagi rahsia. Kali pertama mereka berganding dalam filem Anak Halal. Seterusnya hujung tahun lalu, sekali lagi mereka bersatu dalam pementasan teater muzikal Natrah. Awal tahun ini, jodoh erat menyatukan mereka dalam filem Cun arahan Osman Ali.
Malah ada yang beranggapan tindakan Remy bernaung di bawah Satu Entertainment sejak awal tahun ini juga didorong hubungan rapatnya dengan Maya yang kebetulan menaungi syarikat pengurusan yang sama. Itu antara sebahagian dalil yang dilihat mengiyakan mengenai ‘sesuatu’ yang terjadi di antara mereka.
“Sebenarnya sudah lama saya mencari syarikat pengurusan yang boleh menjaga haluan kerjaya seni ini. Saya ada bertanyakan Osman Ali termasuk Maya sendiri mengenai hal yang sama. Persoalan yang sama juga saya tanyakan kepada rakan seperjuangan dalam industri seni.
“Akhirnya saya dicadangkan untuk menyertai Satu Entertainment. Selepas diteliti, saya dapati syarikat ini menguruskan kerjaya artis berprofil tinggi di samping terus berkembang sebab itu juga saya tidak teragak-agak bernaung di bawahnya.
“Dengan kerjaya seni yang semakin berkembang, saya rasa sudah tiba masa untuk mencari pengurusan yang boleh memberi kelancaran kepada apa yang dilakukan ini. Orang di luar sana boleh terus bercakap itu dan ini sedangkan saya sendiri empunya badan yang tahu,” katanya yang ditemui Hip di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya 11 April lalu.
Mengenai Maya, jejaka yang sedang melunaskan penggambaran drama epik fantasi berjudul Arjuna terbitan KRU Studios ini tidak berselindung sambil mengakui betapa rapatnya dia dengan pengacara Nona 2010 itu. Bagaimanapun, akui Remy, hubungan yang terjalin itu tidak sampai ke tahap bercinta.
“Tipulah kalau saya cakap tidak kenal dengan dia (Maya). Saya berkawan dengan semua orang yang ikhlas dan jujur. Saya juga tidak akan menjauhkan diri daripada Maya semata-mata hanya kerana dia berdepan dengan masalah pergolakan rumah tangga. Itu bukan sikap saya membuang kawan secara melulu.
“Ikutkan hati, saya tidak mahu terlalu memikirkan gosip yang mengaitkan kami bercinta atau apa saja yang berkaitan. Sebaiknya, saya mahupun dia hanya membiarkan cerita ini berlalu begitu saja. Ia seperti bauan wangi yang sekali ditiup angin akan hilang serta merta.
“Orang nak cakap apa itu terpulanglah kepada mereka. Apa yang pasti, saya masih solo. Soal jodoh dengan sesiapapun selepas ini semuanya di atas kuasa Tuhan. Cukuplah dia memahami kerjaya saya. Artis atau bukan artis itu saya tak kisah,” katanya tulus.
Ditanya lanjut mengenai Maya, Remy mengakui senang berkawan dengan pelakon bermata cantik itu. Katanya lagi, Maya seorang selebriti dan wanita yang bijak serta mampu menyerlahkan karisma yang sangat tersendiri.
“Dia sangat berkeyakinan dan bercita-cita tinggi dalam apa yang dilakukannya. Dia tak tergedik-gedik dan sangat sopan dalam gaya percakapan dan pembawaan dirinya,” ungkap Remy ringkas.
Pertama kali hari lahir diraikan peminat
PERTEMUAN Hip dengan Remy sebenarnya ketika usianya baru menginjak 28 tahun (pada 11 April). Dan secara kebetulan satu majlis meraikan hari lahir dan kejayaannya di ABPBH 2009 sedang diadakan hasil anjuran jawatankuasa pengelola Komuniti Peminat Remy Ishak.
Ia adalah cetusan peminatnya dari halaman peminat popular yang diselia laman sesawang Facebook. Seramai 60 peminat bertuahnya berpeluang mendekati dan beramah mesra dengannya pada hari terbabit. Majlis direalisasikan atas inisiatif Normawati Khairuddin yang juga peminat Remy.
Bertemakan warna merah dan hitam, malangnya Remy hadir dengan baju kemeja berkotak berwarna hitam dan biru yang dipadankan dengan jeans biru. Sambil berseloroh, Remy memohon maaf kerana tidak mengikuti tema yang ditetapkan akibat dirinya yang sangat pelupa.
“Terima kasih kepada peminat yang sudi hadir dan mengelolakan acara ini. Komuniti ini wujud sejak tahun lalu dan kali pertama saya berkumpul bersama mereka ialah ketika sambutan Ramadan di Subang Jaya. Semuanya bermula di laman Facebook.
“Sempat juga saya meluangkan masa biarpun sibuk di lokasi penggambaran. Sebelum ini pun, saya sudah berpesan kepada mereka yang saya tak dapat ikut semua acara yang diaturkan. Mujur mereka memahami dan bertoleransi. Insya-Allah, kalau ada masa memang saya akan ikut acara yang mereka rancang.
“Selepas ini, saya akan curi masa pula untuk pulang ke kampung di Masjid Tanah, Melaka untuk meraikan hari kebesaran saya dengan keluarga. Emak di kampung pun sudah mula membebel dan merungut kerana saya sudah jarang pulang ke kampung. Apa boleh buat, saya sibuk,” katanya sambil tersenyum.
Mengenai harapan di hari lahirnya, Remy yang akan ke lokasi penggambaran filem Nur Kasih hujung Mei depan menjelaskan bahawa perjalanan seninya seperti baru saja bermula. Alhamdulillah selepas sekian lama berusaha, kejayaan yang diidami datang tanpa diduga.
“Secara jujur memang sudah lama saya menanti detik sebegini. Ia seperti mencapai sasaran yang saya harapkan. Dalam bangga, saya masih perlu memperbaiki segala kelemahan yang ada. Harapnya ulang tahun hari lahir tahun ini akan terus membawa kemanisan dan keceriaan dalam hidup saya.
“Saya juga mengharapkan sokongan ini akan terus berterusan. Di sebalik kejayaan seseorang pasti ada yang sumbangan daripada pihak atau individu tertentu yakni peminat, keluarga dan rakan media. Memang saya akui ada kalanya semangat bekerja itu begitu menebal hingga timbul masalah pihak tertentu.
“Saya akui dulu berdepan dengan masalah ‘hilang ingatan’ hingga menyusahkan pihak media yang ingin menemubual. Tapi alhamdulillah dengan adanya Satu Entertainment, saya cuba memuaskan hati semua. Yang jelas, jauh lagi perjalanan kerjaya saya kerana kejayaan yang baru diperoleh seperti satu isyarat permulaan,” katanya.
Oleh Zaidi Mohamad
0 Komen:
Post a Comment