Australia haram logo pada kotak rokok

Friday, April 30, 2010

Australia hari ini mengumumkan akan menjadi negara pertama di dunia mengharamkan logo atau jenama pada kotak rokok, sekali gus mencetuskan kemarahan industri tembakau.

Rokok akan dijual dengan corak yang kosong, hanya memaparkan grafik besar kesan merokok, dan undang-undang baru untuk meletakkan jenama dalam saiz yang kecil sedang diusulkan.

Kerajaan turut meningkatkan cukai ke atas rokok dengan mendadak sebanyak 25 peratus bermula tengah malam ini, meningkatkan harga rokok di negara ini sebanyak kira-kira dua dolar Australia (RM5.9) untuk sekotak rokok berisi 30 batang.

"Rokok tidak bagus, ia membunuh orang. Ini merupakan tindakan paling keras ke atas industri tembakau di dunia," kata Perdana Menteri Kevin Rudd.

Menurut Rudd, Australia turut merancang mengenakan kawalan baru ke atas pengiklanan rokok di Internet dan akan membelanjakan sebanyak 27.8 juta dolar Australia (RM82.3 juta) untuk kempen anti-merokok.

"Syarikat-syarikat tembakau gergasi akan membenci apa yang kami lakukan ini, tetapi kerajaan tidak akan memohon maaf kerana ini adalah keputusan yang betul," kata Rudd.

Imperial Tobacco Australia berkata, mereka merancang untuk mencabar tindakan ini atas dasar ia akan menjejaskan keuntungan mereka sambil menyatakan jenama mempunyai nilai komersial.

"Pengharaman ini menyebabkan pengguna tidak dapat membezakan antara jenama kami dengan jenama lain.

"Ia akan memberi kesan kepada nilai perniagaan kami sebagai pengusaha komersial dan kami akan menentangnya bagi melindungi hak harta antarabangsa kami," kata jurucakap syarikat itu kepada ABC radio.

Pengiklanan tembakau adalah diharamkan di Australia dan merokok turut tidak dibenarkan di kebanyakan kawasan awam seperti pejabat dan restoran. - AFP

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI