Dah lama cerita mengenai juara One In A Million musim kedua (OIAM2), Norayu Damit atau Ayu tidak terpampang di dada-dada akhbar.
'Kehilangan' Ayu selama hampir 10 bulan mengundang pelbagai spekulasi dan khabar-khabar angin yang bertiup kencang membawa perkhabaran yang kurang enak.
Namun, sebagai pihak yang menjadi penghubung dan menyalur maklumat kepada masyarakat, sudah pasti tanggungjawab itu terletak di bahu wartawan yang tidak sewenang-wenangnya menulis berita tanpa sebarang pengesahan yang sahih.
Lalu, apabila mengetahui Ayu merupakan salah seorang artis yang terlibat menjayakan konsert amal Kau Di Hatiku anjuran Adibah Noor Entertainment di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur minggu lalu, ramai wartawan hiburan mengambil peluang itu untuk menemubualnya.
Maklumlah, misteri kehilangan Ayu selama ini masih belum terjawab dan inilah masa terbaik untuk mendapat kepastian dan cerita sebenar daripada tuan punya badan.
Melihat pada persembahan Ayu yang mendendangkan dua buah lagu iaitu Inspirasi Abadi dan Hanya Di Mercu pada malam itu juga, sedikit sebanyak mengubat kerinduan penonton yang hadir.
Wartawan hiburan yang membuat liputan malam itu membuat kesimpulan bahawa apabila Ayu memberikan komitmen dalam persembahan itu, sekali gus dia memang bersedia untuk tampil dan menceritakan misteri di sebalik kehilangannya.
Lalu, apabila Ayu menyampaikan bait-bait terakhir lagu Hanya Di Mercu, sekumpulan wartawan hiburan menuju ke belakang pentas bersiap-sedia mahu menemu ramahnya.
Namun, apa yang mengejutkan, sepantas kilat kelibat Ayu sudah tidak kelihatan.
Entah bagaimana dia mampu menghilangkan diri sekelip mata dari pandangan media.
Enggan berprasangka yang bukan-bukan, sekumpulan media yang berada di situ menyangka, Ayu barangkali ke tandas atau berada dalam bilik menunggu bersama-sama artis undangan lain.
Hampir 10 minit menunggu dan mencari, bayang Ayu langsung tidak kelihatan.
Bahkan, tiada seorang pun pegawai atau wakil pengurusan The8Unit yang mengendalikan kerjaya seni Ayu pada ketika itu.
Namun tanda tanya wartawan hiburan terjawab apabila dua wartawan dari program Fuhhh! memberitahu, mereka ternampak Ayu berlari dengan begitu pantas seperti orang 'dikejar hantu'.
Kedua-dua wartawan itu bagaimanapun tidak sempat untuk mendapatkan penjelasan Ayu kerana ketika itu mereka sedang menemubual artis lain.
Apa yang memeranjatkan kedua-dua wartawan penyiaran berkenaan ialah, Ayu dilihat berlari berkaki ayam dengan gaun yang dipakainya ketika membuat persembahan!
Mendengar cerita berkenaan itu, sekumpulan wartawan hiburan lain khususnya dari media cetak hanya tersenyum saja lantas bertanya sesama sendiri, apa motif Ayu melarikan diri dengan cara sedemikian rupa?
Kenapa sampai perlu menanggalkan kasut dan pecut berlari meninggalkan majlis sampaikan tidak sempat mengambil wang persembahan?
Sebetulnya, sebelum acara berkenaan bermula, penulis ada menghubungi wakil pengurusan The8Unit yang membawa Ayu malam itu iaitu Zalekha Mohamad Wakil dengan menyatakan keinginan penulis dan rakan-rakan media menemubual Ayu selepas dia membuat persembahan.
Mendengarkan permintaan saya itu, terus Zalekha memberitahu: "Minta maaflah awak. Ayu belum bersedia bagi kenyataan."
Jawapan yang diberikan Zalekha sekali lagi mencetuskan tanda tanya di kalangan kami yang membuat liputan tempoh hari.
Apakah yang dimaksudkan oleh Zalekha dengan Ayu belum bersedia bagi kenyataan?
Persoalannya, kalau Ayu bersedia membuat persembahan pada malam itu, ia bermakna penyanyi muda berbakat besar itu bersedia untuk berdepan dengan wartawan yang mahu mendapatkan cerita terbaru tentang Ayu.
Tetapi, entahlah apa pula punca yang menyebabkan Ayu seperti cuba melarikan diri daripada wartawan?
Barangkali juga, ada baiknya The8Unit mengendalikan hal mengenai artis mereka dengan bijak dan lebih rasional.
Apa yang dibimbangkan jika keadaan sebegini tidak dikawal, ia hanya akan mengundang persepsi yang kurang baik terhadap industri hiburan.
Jangan hanya kerana nila setitik, rosak susu sebelanga!
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
Kenapa Ayu lari berkaki ayam?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment