Janda novelis terkenal, Ahadiat Akashah memberitahu bahawa bekas suaminya itu pernah bersumpah dan menandatangani satu surat perjanjian berkaitan nafkah, sehari sebelum mereka bercerai, 10 tahun lalu.
''Beliau berjanji akan memberi nafkah saraan RM500 terhadap saya, RM300 kepada anak kami, membayar sewa rumah RM600 sebulan, bil perbelanjaan rumah, ansuran kereta dan tidak akan mengabaikan kebajikan anak,'' kata Shahilah Mat Nazir.
Shahilah, 39, yang bekerja sebagai setiausaha di sebuah bank menyatakan demikian ketika pemeriksaan utama oleh peguam syarie yang mewakilinya, Mohammad Amir Nazli Hussin di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini hari ini.
Wanita itu memberi keterangan pada perbicaraan permohonan Ahadiat, 44, bagi mengubah perintah mahkamah sebelum ini yang menetapkan dia perlu membayar RM300 sebulan sebagai nafkah anak mereka, Aishah Akashah, 14.
Dalam permohonan itu, Ahadiat selaku plaintif memohon nafkah terhadap anak tunggal mereka diberikan mengikut kedudukan kewangannya sekarang.
Permohonan itu dibuat Ahadiat selepas mahkamah tersebut pada 18 November tahun lalu memerintahkan dia membayar tunggakan nafkah anak sebanyak RM3,900 sejak Oktober 2007 hingga kini.
Bagaimanapun, Shahilah sebaliknya memohon jumlah nafkah berkenaan dinaikkan kepada RM800 sebulan memandangkan keperluan anaknya telah meningkat seiring dengan usia dan keadaan semasa.
Ibu tunggal itu kemudian turut mengemukakan beberapa dokumen serta gambar yang diambilnya menerusi laman web sosial Facebook bekas suaminya bermula 2009 hingga yang terkini.
Antaranya adalah gambar-gambar aktiviti Ahadiat dalam perlawanan bola sepak futsal, perjumpaan alumni, konvoi motor berkuasa tinggi ke Pantai Timur dan Kumpulan Harley Davidson ke Haadyai.
Ketika ditanya oleh Mohammad Amir berkenaan tujuannya membangkitkan kesemua aktiviti sosial itu, jawab Shahilah, ia adalah untuk menyangkal dakwaan Ahadiat yang menyatakan keadaan kesihatannya kurang baik dan tidak berupaya untuk bekerja.
Turut dikemukakan adalah keratan majalah dekorasi, Anjung Seri keluaran Jun 2008 yang memaparkan seni bina dan hiasan rumah banglo mewah milik Ahadiat.
Ketika wanita itu disoal balas oleh peguam syarie mewakili plaintif, Mostadza Halimi mengenai punca perceraian, Shahilah menyatakan, dia diugut oleh Ahadiat supaya bersetuju menandatangani borang perceraian.
Bagaimanapun, menurut Shahilah, dia tidak mempunyai bukti yang menyatakan dia diugut berbuat demikian.
Ahadiat dan Shahilah berkahwin pada 3 Jun 1995 di Alor Gajah, Melaka dan disahkan bercerai pada 12 April 2000. Ahadiat kemudian berkahwin pula dengan Norhayati pada 13 Ogos 2000 dan memperoleh tiga anak.
Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad bersambung pada 29 Jun dan 13 Julai ini.
Ahadiat Akashah pernah bersumpah tidak abai tanggungjawab
Entri Lain
Permalink: Ahadiat Akashah pernah bersumpah tidak abai tanggungjawab
Categories Isu Semasa
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment