Wajah eksotik pelaris kempen jenama antarabangsa
Wajah kacak tidak cukup menggambarkan pesona Baptiste Giabiconi, Sean O’Pry, Jamie Dornan, Lars Burmeister dan Simon Nessman yang dianggap model terhangat dunia ketika ini.
Ciri-ciri eksotik, tubuh tegap berotot dan ketinggian yang melebihi 180 sentimeter menjadi antara pakej lengkap menghangatkan pentas peragaan serta menjadi rebutan gedung fesyen tersohor dunia. Fakta inilah yang membezakan Giabiconi, O’Pry, Dornan, Burmeister dan Nessman hingga diburu jenama fesyen terkemuka dunia yang mahu mendapatkan khidmat mereka setiap kali melancarkan kempen fesyen terbaru.
Baik di Milan, Paris mahupun New York, lima jejaka terhangat ini sering menggayakan jenama fesyen seperti Calvin Klein, Giorgio Armani, Chanel, Fendi, Dior, Dolce and Gabbana dan Louis Vuitton. Mereka juga menjadi menghiasi muka depan majalah Vogue, GQ, Harper’s Bazaar, Elle, Purple Magazine, Details dan banyak lagi.
Menyelami peribadi lima daripada 50 model terhangat dunia seperti yang disenaraikan laman web model.com. Glamor. Penuh kemasyhuran dan mewah - itulah realiti mewakili lima jejaka ini.
1. Baptiste Giabiconi
MENDAPAT jolokan supermodel Gisele Bundchen versi lelaki, Baptiste Giabiconi layak menduduki carta teratas senarai model terhangat dunia. Ini dibuktikan daripada tawaran yang diterima model kelahiran Perancis ini dalam menjayakan minggu fesyen antarabangsa.
Wajah kacak dan eksotik Giabiconi dikesan beberapa tahun lalu, lantas segera diikat agensi model DNA Models yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat (AS).
Bagai pisang goreng panas, begitulah pantasnya kemasyhuran dikecapi model berusia 20 tahun ini hingga segera menjadi rebutan rumah fesyen antarabangsa dalam sekelip mata.
Rupa paras dan pakej sempurna Giabiconi turut dicemburui supermodel Naomi Campbell apabila beliau dikatakan menyebut, “Ini tidak adil, kami semua memiliki kecacatan, sedangkan anda tidak ada,” kata Campbell ketika menemui Giabiconi di Moscow, tahun lalu.
Bukan saja Naomi mengagumi Giabiconi, pereka fesyen tersohor kelahiran Jerman, Karl Lagerfeld turut memuji tubuh kurus berotot model itu yang begitu menonjol apabila beraksi di depan kamera.
Selain menjadi antara model kegemaran Lagerfeld, si kacak ini turut gah menghiasi kempen fesyen Chanel dan Fendi serta menghiasi kulit depan majalah Vogue Jerman, Harper’s Bazaar, Vogue Jepun, Elle, Numero Homme, Purple Magazine dan banyak lagi.
Profil
Nama: Baptiste Giabiconi
Umur: 20 tahun (1990)
Tempat lahir: Perancis
Warna rambut: hitam
Warna mata: coklat
Tinggi: 188 sentimeter (sm)
Saiz kasut: 10
2. Sean O'Pry
SEBELUM mengecapi kemasyhuran sebagai model terhebat dunia hari ini, Sean O’Pry tidak yakin dengan kemampuannya sendiri. O’Pry bertemu jurugambar Bert Hamilton yang bersungguh-sungguh memintanya mencuba nasib dalam dunia perniagaan. Hanya selepas didesak barulah O’Pry mula mengatur langkah kira-kira empat tahun lalu.
Itupun selepas wajah eksotik O’Pry dikesan di Myspace oleh ikon fesyen dan pencari model, Nole Marin yang memperkenalkan dirinya ke lapangan fesyen.
Model AS tidak menunggu lama untuk mengecapi kemasyhuran apabila pantas menjadi pilihan banyak jenama fesyen terkenal dunia seperti Calvin Klein, Giorgio Armani, Gianfranco Ferré, H&M dan Lacoste, selain menghiasi muka depan majalah GQ, V, Details, Numero Homme dan Arena.
Pada Jun tahun lalu, O’Pry disenaraikan sebagai model lelaki paling berjaya di dunia oleh majalah Forbes. Kedudukannya meningkat daripada tangga kelapan pada 2008. Bibir mungil dan mata biru Sean menjadi daya penarik yang melengkapi pakej istimewa model berusia 21 tahun ini.
Profil
Nama: Sean O’Pry
Umur: 21 tahun (5 Julai 1989)
Tempat lahir: Kennesaw, Georgia AS
Warna rambut: perang
Warna mata: biru
3. Jamie Dornan
DUA kali bergandingan dengan Kate Moss untuk kempen CK Jeans, sudah cukup memberi impak besar dalam karier modeling Jamie Dornan. Tubuh badan tegap dengan seraut wajah eksotik sudah cukup memberi kelebihan buat model kelahiran Ireland Utara ini.
Seperti anak emas jenama Calvin Klein, model berusia 28 tahun ini cukup matang untuk mewakili jenama fesyen terkenal dunia itu apabila terpilih menjayakan kempen seluar dalam CK untuk beberapa musim.
Dornan juga menceburi dunia muzik dengan menganggotai band Sons od Jim serta membintangi filem Sofia Coppola, Marie-Antoinette pada 2006.
Selain kempen Calvin Klein (bergandingan bersama Kate Moss dan Eva Mendes), si bujang kacak ini turut menjayakan kempen fesyen Dior, Aquascutum, Dolce and Gabbana, Levi's dan Armani.
Profil
Nama: Jamie Dornan
Umur: 28 tahun (1 Mei 1982)
Tempat lahir: Belfast, Ireland Utara
Tinggi: 183 sm
Warna rambut: Coklat
Warna mata: biru
Saiz kasut: 9
4. Lars Burmeister
SIAPA sangka, bekas mekanik Lars Burmeister ini menggegar dunia fesyen antarabangsa dan sering muncul di pentas fesyen Milan, Paris dan New York bagi menggayakan fesyen D&G, Dolce & Gabbana, Frankie Morello, Gianfranco Ferre, Trussardi, Valentino dan Versace .
Seperti Sean O’Pry, Burmeister juga tidak yakin dengan kebolehan diri sehinggalah kakaknya menghantar gambar Burmeister kepada agensi modeling Mega Models yang berpangkalan di Hamburg. Sebaik melihat foto si jejaka ini, agensi model itu pantas menerbangkan Burmeister ke Milan untuk mencuba nasib.
Sejak 2004, bakat peragaan Burmeister terserlah di bawah tunjuk ajar jurugambar Craig McDean. Beliau muncul model pilihan Hugo Boss bagi kempen iklan jenama itu pada 2005 yang meletakkan dirinya sebagai model lelaki Jerman terbaik yang pernah dilahirkan.
Pada masa yang sama, kelibat jejaka ini turut menjadi buruan majalah terkenal antarabangsa apabila dipilih menghiasi majalah Vogue, GQ, Cosmopolitan dan banyak lagi. Hingga kini, Burmeister mewakili pelbagai agensi model termasuk Ford Models, New York; Models1 Company (London); Mega Models (Jerman) dan Next Company (Austria).
Profil
Nama: Lars Burmeister
Umur: 29 tahun (26 April 1981)
Tempat lahir: Hamburg, Jerman
Tinggi: 186sm
Warna rambut: coklat
Warna mata: biru
Saiz kasut: 11
5. Simon Nessman
BIBIR seksi dengan rambut kerinting cukup membezakan Simon Nessman dengan model seangkatan yang lain. Kelebihan itulah menjadi tarikan jenama fesyen antarabangsa untuk menggunakan khidmat model kelahiran Kanada ini sebagai pelaris kempen fesyen terbaru mereka.
Wajah eksotik Nessman mendorong kakak kepada rakannya menghantar foto peribadi Nessman kepada agensi model Mode Models yang berpangkalan di Calgary Alberta. Lantas, wajah dan bakatnya terus digilap agensi model Major Management.
Tidak lama selepas itu, buat pertama kali pada 7 Mei 2007, Model.com menyiarkan artikel mengenai Nessman dalam kolum model minggu ini sekali gus membuka lebih banyak ruang untuk Nessman memperkenalkan diri.
Kredibiliti Nessman sebagai model baru terhangat mencuri tumpuan apabila banyak memenuhi undangan untuk iklan D&G dan Lord & Taylor serta banyak lagi jenama terkenal antarabangsa seperti Louis Vuitton, Roberto Cavvali, kempen seluar dalam John Galliano dan peragaan fesyen Tommy Hilfiger di New York.
Wajah Nessman juga dapat dilihat dalam semua majalah terkenal dunia seperti Vogue Perancis, Details, L'Uomo Vogue, Qvest dan Vogue Itali.
Permulaan 2010 sudah cukup menggembirakan dirinya apabila memperbaharui kontrak bersama jenama Givency serta menjadi wajah baru Versace.
Profil
Nama: Simon Nessman
Umur: 20 tahun
Tempat lahir: Kanada
Tinggi: 186sm
Warna rambut: coklat
Warna mata: coklat cerah
Oleh Fairuz Zaidan
0 Komen:
Post a Comment