Mayat remaja perempuan dalam beg pakaian

Wednesday, October 23, 2013

Mayat gadis dalam beg pakaian

Polis menemui mayat seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang oleh keluarganya sejak semalam, di tepi Jalan Kebun Nenas 1A/KS7, di sini, kira-kira 9 malam tadi.

Mayat mangsa ditemui dalam sebuah beg pakaian dipercayai dibuang pembunuhnya di lokasi berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Rahim Jaafar, berkata mayat mangsa ditemui selepas suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya oleh seorang lelaki, kira-kira 6.30 petang tadi.

Menurutnya, hasil soal siasat terhadap suspek berusia 23 tahun itu membawa polis ke tempat mayat mangsa dibuang..

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan luka dan pendarahan di bahagian kepala dan tangan mangsa.

"Soal siasat mendapati mangsa dibunuh di rumah suspek di Kelana Jaya, lebih 12 jam, berdasarkan keadaan mayat yang sudah berbau," katanya ditemui di lokasi kejadian, malam tadi.

Katanya, sebelum mayatnya ditemui, mangsa dilaporkan keluar dari rumahnya kira-kira jam 11 pagi semalam.

Mangsa kemudiannya dilaporkan tidak pulang ke rumah sehingga jam 12 tengah malam.

Beliau berkata, ibu mangsa yang bimbangkan keselamatan mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Salak Selatan kira-kira jam 1.30 pagi semalam.

Menurutnya, suspek bekerja sebagai operator mesin dan mangsa yang baru selesai menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) itu adalah kenalan dan dikatakan mengenali antara satu sama lain melalui internet beberapa bulan lalu.

Abdul Rahim berkata, mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya untuk bedah siasat.

Menurutnya, polis masih menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui sama ada mangsa dirogol suspek atau sebaliknya.

"Polis akan memohon perintah tahanan reman terhadap suspek esok (hari ini) bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan bagi mengetahui motif sebenar pembunuhan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh," katanya.


0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI