Malam Puisi Riong BH-Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)-Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Perlis (JKKN)

Monday, October 07, 2013

Malam Puisi Riong BH-Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)-Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Perlis (JKKN), yang bakal belangsung di Dewan 2020, Kangar, pada 11 Oktober ini, diharap dapat menghangatkan semangat penyair, deklamator serta peminat puisi di negeri paling utara itu.

Apatah lagi penganjuran malam puisi itu bertepatan dengan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2013 dan Kembara Bahasa 2013 sekali gus menyemarakkan semangat memartabatkan bahasa dan sastera pada satu pentas.

Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2007, Datuk Rahman Shaari, berkata penganjuran malam puisi itu dapat menyemarakkan minat rakyat kepada puisi termasuk puisi tradisional yang ada dalam lipatan sejarah negara ini.

"Malam Puisi Riong BH-DBP lebih besar dan meriah berbanding sambutan acara apresiasi puisi yang diadakan sebelum ini. Ia dapat menonjolkan kembali penyair dan penulis kelahiran Indera Kayangan di pentas puisi di negeri mereka sendiri, selain menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat," katanya kepada Sastera BH di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dua puisi pendek

Rahman berkata, beliau memilih dua puisi pendek, Bakti dan Gurindam Baris Hadapan yang disesuaikan dengan tema malam puisi iaitu 1 Bahasa, 1 Bangsa dan 1 Negara.

"Bakti membawa mesej keperluan menyemai keikhlasan dan tidak mengharapkan balasan orang lain ketika berbudi, manakala Gurindam Baris Hadapan menekankan kepentingan budaya membaca untuk kemajuan. Dua puisi itu pendek, tetapi saya harap ia dapat menghiburkan penonton dan serentak itu mendidik mereka," katanya.

Timbalan Yang Dipertua Persatuan Melayu Negeri Perlis (PEMANIS), Rejab Ismail atau lebih dikenali sebagai Rejab FI, berkata jemputan yang meluas kepada masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat memeriahkan malam puisi berkenaan.

"Rakyat biasa dan ahli NGO sebenarnya berminat dengan seni dan budaya, tetapi mungkin tidak banyak acara yang menyasarkan kehadiran mereka. Justeru, Malam Puisi Riong BH-DBP-JKKN Perlis dapat menyajikan persembahan yang puitis kepada masyarakat sekali gus menyemarakkan kegiatan seni di negeri ini," katanya.

Bahasaku

Rejab FI berkata, puisi yang akan dideklamasikan ialah Bahasaku yang bertepatan dengan Bulan Bahasa Kebangsaan yang bertujuan menegakkan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu kita.

"Melalui puisi itu, saya menyorot sejarah perkembangan dan kegemilangan bahasa kita, sekali gus membandingkannya dengan keadaan pada masa kini," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan dan Kesusasteraan PEMANIS.

Malam Puisi Riong BHDBPJKKN Perlis itu turut disemarakkan bacaan puisi oleh Ketua Dua Persatuan Penulis Perlis (3P), Nasir Ali dan Naib Yang Dipertua Angkatan Sasterawan Indera Perlis (AKSARA), Mokhtar AK, selain peserta Kembara Bahasa DBP 2013.

Menteri Besar Perlis, Azlan Man; Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Seri Dr Md Salleh Yaapar; Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr Awang Sariyan; mantan Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abd Aziz, Pengarah JKKN Perlis, Rahmat Md Noh dan Timbalan Pengarang Kumpulan BH, Mafhar Ali, akan hadir pada acara terbabit.

Acara itu turut dimeriahkan dengan penceritaan Awang Batil dan persembahan lagu puisi oleh Aris Ariwatan, Azlan Typewriter serta Ainan Tasneem.

Jelajah itu menjadi destinasi keempat acara Malam Puisi Riong, yang sebelum ini diadakan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Islam (KPI), Bangi; Laman Budaya Shah Alam dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu.


0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI