Pengamal sihir berdosa besar, wajib diqisas

Wednesday, October 02, 2013

Pengamal sihir berdosa besar, wajib diqisas

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke-33 yang bersidang pada Oktober 1993 membincangkan amalan ilmu hitam atau sihir dan memutuskan seperti berikut:

* Perbuatan sihir adalah dosa besar dan boleh membawa kepada syirik dan hukum mempelajarinya adalah haram.

* Pengamal sihir yang mendatangkan mudarat kepada manusia adalah berdosa besar dan sebagai pelaku jenayah, wajib dihukum qisas atau hudud.

* Pihak berkaitan hendaklah menyediakan peruntukan undang-undang bagi menghukum pengamal yang sabit melakukan sihir.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke-79 yang bersidang pada September 2007 membincangkan mengenai had berpaling dibenarkan dari arah kiblat (had al-tahawwul 'ani al-qiblat).

Muzakarah berpandangan bahawa arah kiblat adalah perkara ijtihadi dan zanni. Penentuan had tidak melebihi tiga peratus bagi pesongan mihrab yang dibenarkan tidak perlu ditetapkan.

Oleh itu, muzakarah memutuskan had berpaling yang dibenarkan dari arah kiblat tidak perlu difatwakan, tetapi boleh dijadikan sebagai garis panduan dalam pembinaan masjid dan surau baru.

Persidangan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ketiga yang bersidang pada Januari 1971 membincangkan wang faedah dan memutuskan bahawa:

* Faedah diperoleh daripada wang simpanan yang dibuat oleh institusi Islam, perniagaan atau badan kebajikan yang dianggotai orang Islam dalam mana-mana bank harus diterima badan itu atas alasan kecemasan ekonomi orang Islam pada masa ini.

* Faedah yang diperoleh daripada wang simpanan seseorang Muslim dalam mana-mana bank harus diterima olehnya atas alasan kerana kecemasan itu juga, tetapi wang faedah itu hendaklah dimasukkan dalam Baitulmal atau untuk kegunaan maslahat umum.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke-19 yang bersidang pada Oktober 1987 membincangkan lilitan hitam di lengan bagi umat Islam dan memutuskan seperti berikut:

* Memandangkan lilitan kain hitam di lengan baju adalah suatu adat kebudayaan orang kafir, maka kelakuan itu hukumnya haram dan dilarang sama sekali kepada umat Islam.

* Setiap bentuk pakaian bagi tujuan sosial atau sebagainya yang dipakai oleh orang Islam hendaklah tidak membabitkan unsur khusus dengan adat atau keagamaan bagi agama lain.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke-68 yang bersidang pada April 2005 membincangkan hukum menukar status jantina di MyKad dan memutuskan bahawa:

* Menukar status jantina dalam MyKad bagi pemilik yang menjalani pembedahan jantina yang diharuskan oleh syarak adalah harus.

* Menukar status jantina dalam MyKad bagi pemilik yang menjalani pembedahan jantina yang tidak dibenarkan oleh syarak adalah haram.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke-56 yang bersidang pada Mai 2003 memutuskan bahawa hukum solat Jumaat ke atas banduan di penjara dan seumpamanya adalah wajib.

Justeru, Jabatan Penjara Malaysia hendaklah membenarkan banduan menunaikan solat berkenaan, kecuali bagi mereka yang didapati boleh menimbulkan ancaman seperti ancaman keselamatan, sosial dan sebagainya.

Mengenai solat Jumaat bagi polis dan tentera yang bertugas, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke-14 yang bersidang pada Oktober 1985 memutuskan adalah harus bagi mereka meninggalkan solat berkenaan.

Hal ini kerana mereka terpaksa menjalankan tugas keselamatan yang dikira sebagai uzur syarie, dengan syarat mereka tidak meninggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI