Menyesal gelojoh kahwin, akhirnya ditinggalkan suami tahi judi internet

Monday, October 07, 2013

"Saya menyesal kerana gelojoh mahu kahwin pada usia muda. Kesudahannya saya ditinggalkan suami yang kini menjadi hantu judi Internet," luah Siti Hajar Abd Halim, 22, yang kini bergelar janda muda dan terpaksa pulang menagih simpati keluarganya selepas diceraikan dengan talak satu, dua bulan lalu.

Lebih menyedihkan apabila tindakannya enggan menyambung pelajaran ke sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2009 membuatkan dia kini semakin menyesal.

Menurutnya, campur tangan keluarga suami terutama ibu mentuanya menyebabkan rumah tangga yang dibina kerap bergolak sebelum berakhir dengan penceraian.

"Kami mula bercinta lima tahun lalu ketika saya masih menuntut dalam tingkatan tiga. Ketika itu semuanya indah belaka walau menyedari hubungan kami tidak direstui ibu ketika itu.

"Ibu menyuruh saya fokus pada pelajaran dan menyambung pengajian hingga ke IPT bagi membantu tiga adik yang masih bersekolah. Namun, saya degil dan ikutkan hati muda," katanya.

Hajar yang berasal dari Tapah memberitahu gelora cinta dihadapi menyebabkannya hilang pertimbangan dan kerap lari dari rumah untuk tidur di rumah sewa teman lelakinya di Buntong atau rumah ibu teman lelakinya itu di Manjoi, di sini.

"Entah apa yang merasuk kepala saya hingga sanggup melawan cakap ibu yang ketika itu terpaksa menyara kami adik-beradik dengan bekerja sebagai pengasuh di taska.

"Ibu kerap menghubungi telefon bimbit dan merayu saya pulang setiap kali saya meninggalkan rumah sehingga berhari-hari lamanya.

"Namun, pujuk rayu teman lelaki ketika itu membuat saya derhaka kepada ibu," katanya.

Atas campur tangan bekas keluarga mentuanya, dia dan teman lelakinya akhirnya dinikahkan dalam majlis serba sederhana selepas didesak banyak pihak pada Jun 2011.

Ditanya wartawan sama ada dia pernah terlanjur sebelum bernikah, Hajar hanya tersenyum pahit sambil memberitahu ia berpunca daripada kebodohannya sendiri.

"Saya bernasib baik tidak mengandung anak luar nikah. Saya menafikan perbuatan itu setiap kali ditanya ibu sebaliknya hanya mengaku melakukan perbuatan 'ringan-ringan' saja.

"Selepas berkahwin, saya tinggal serumah dengan mentua bersama enam abang dan adik ipar.

"Perkahwinan yang diharap indah sebaliknya bertukar pahit apabila suami semakin jarang lekat di rumah," katanya.

Menurutnya, suaminya yang melakukan pelbagai pekerjaan antaranya mekanik bengkel motosikal dan membantu rakannya menjual burger mula tunjuk perangai apabila selalu pulang lewat malam selain mengabaikan nafkah.

"Kami kerap bergaduh tidak sampai tiga bulan selepas berkahwin berikutan sikapnya yang lebih gemar menghabiskan masa di luar rumah bersama rakannya.

"Usianya yang masih muda dan belum sedia memikul tanggungjawab menyebabkannya ambil mudah dan hanya pulang jika mahu melakukan hubungan kelamin," katanya.

Menurutnya, dia bertambah tertekan apabila ibu mentuanya kerap mengeluarkan kata-kata hinaan mendakwa kewujudannya di rumah itu hanya menambahkan beban keluarga.

"Saya dikeji dengan pelbagai kata-kata termasuk dituduh mandul dan malas bekerja. Malah, sikap suami yang tidak rapat dengan ibunya menyebabkan saya tambah tertekan.

"Saya lebih sakit hati apabila mengetahui daripada rakan bahawa suami gemar bermain judi Internet hingga awal pagi. Duit gaji diperoleh habis dipertaruhkan untuk judi bersama rakan seangkatan," katanya.

Hajar yang tidak tahan didera emosi suami dan mentua akhirnya meminta dilepaskan sebelum suaminya bersetuju menceraikan dengan talak satu.

"Saya menyesal tak sudah kerana hilang masa depan. Saya akan cuba menyambung kembali pelajaran dan mahu melupakan memori hitam ini," katanya.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI