Maksiat di Taman Tasik Shah Alam

Saturday, October 05, 2013

Kegiatan maksiat di Taman Tasik Shah Alam

Tak tahu malu. Mungkin itu ungkapan paling sesuai bagi menggambarkan tindakan segelintir pengunjung Taman Tasik Shah Alam, di sini, yang melakukan adegan maksiat bersama pasangan masing-masing di kawasan terbuka sekitar tasik berkenaan.

Tindakan itu dilakukan tanpa rasa bersalah terhadap tanggapan pengunjung lain yang turut membawa anak kecil, sekali gus memberi gambaran yang tidak baik.

Tambah menjengkelkan, pasangan terutama remaja itu terus melakukan perbuatan kurang sopan seperti berpelukan serta bermanja walaupun perbuatan mereka mengundang rasa kurang senang pengunjung.

Tinjauan Metroplus ke taman tasik berkenaan mendapati, pasangan remaja akan memilih kawasan yang agak tersorok sebagai 'port' untuk bermesra selain bimbang perbuatan mereka diperhatikan pengunjung lain.

Difahamkan, taman tasik berkenaan akan mula dipenuhi pasangan remaja berkenaan pada waktu petang sehingga menjelang malam.

Pengunjung, Halimah Muda, 49, ketika ditemui berkata, tindakan segelintir pasangan remaja yang membuat aksi 'ringan-ringan' di kawasan tasik berkenaan sememangnya mengundang rasa tidak senang pengunjung lain.

Menurutnya, kawasan tasik yang sepatutnya digunakan untuk aktiviti beriadah bersama keluarga kini seakan 'tercemar' dengan adegan yang kurang sopan pasangan remaja berkenaan.

"Saya sering membawa cucu berusia empat tahun untuk beriadah di kawasan tasik ini setiap hujung minggu. Namun, kehadiran pasangan yang melakukan aksi kurang sopan di kawasan tasik menjadikan saya tidak selesa.

"Pasangan remaja sepatutnya mengetahui sensitiviti pengunjung lain dan tidak sepatutnya melakukan perbuatan itu khususnya di tempat awam kerana ia boleh memberikan imej yang negatif kepada golongan berkenaan," katanya kepada Metroplus.

Seorang lagi pengunjung, Salina Leman, 28, berkata, dia menyedari perbuatan sumbang ini lazimnya dilakukan pasangan muda walaupun jarang ke taman berkenaan.

"Tindakan mesra yang ditunjukkan pasangan berkenaan akan memberi pengaruh yang tidak baik terutamanya kepada kanak-kanak.

"Saya sarankan supaya pihak bertanggungjawab dapat menjalankan pemantauan lebih kerap di kawasan tasik ini pada setiap masa bagi mengelakkan pasangan remaja dari terus melakukan perbuatan yang tidak elok ini di tempat awam," katanya.

Dia berkata, golongan remaja juga perlu sedar bahawa perbuatan mereka itu sebenarnya hanya akan mendatangkan masalah sosial kepada golongan berkenaan jika tidak dibendung lebih awal.

Timbalan Pengarah Komunikasi Korporat MBSA Shahrin Ahmad berkata, pemantauan akan dijalankan MBSA bagi mengelakkan kejadian sama berulang dan menimbulkan rasa kurang senang pengunjung lain.

Menurutnya, pengunjung dinasihatkan menjadikan taman tasik berkenaan sebagai tempat untuk beriadah dan melakukan aktiviti berfaedah.

"Kita akan menjalankan rondaan dengan lebih kerap bagi memastikan tindakan pengunjung yang melakukan perbuatan kurang sopan dapat dihindarkan sekali gus memulihkan imej taman tasik berkenaan," katanya ketika dihubungi Metroplus.

Katanya, MBSA juga mempunyai Unit Renjer Taman yang sentiasa melakukan rondaan di sekitar taman tasik berkenaan.

"Unit ini akan memantau aktiviti di sekitar tasik itu dan pemasangan papan tanda peringatan bagi mengingatkan pengunjung menjaga tingkah laku juga disediakan.

"Jika ada pengunjung yang melakukan aktiviti kurang sopan, anggota berkaitan akan menegur mereka supaya mereka (pengunjung) menjaga tingkah laku," katanya.

Jelasnya lagi, taman tasik Shah Alam sepatutnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengunjung untuk beriadah, bukannya untuk melakukan tingkah laku tidak sopan. ~ Metro

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI