Isu Kewangan: Hidup dalam kemampuan

Thursday, October 31, 2013

Kita sering mendengar keluh kesah segelintir individu yang sering mengadu gaji diperoleh tidak mencukupi.

Gaji bulanan sebanyak RM4,000 mungkin sudah mewah bagi segelintir individu terutama dalam kalangan masyarakat luar bandar yang berasakan jumlah itu terlalu mencukupi untuk menampung keperluan hidup sebulan.

Namun, dengan kos sara hidup tinggi di kota besar seperti Kuala Lumpur atau Pulau Pinang, jumlah ini ternyata bukanlah angka ideal memandangkan pelbagai aspek perlu diambil kira seperti sewa rumah, makanan dan perbelanjaan berkaitan yang pastinya lebih mahal.

Semua ini belum lagi mengambil kira perbelanjaan pengangkutan khususnya kenderaan sendiri terutama peruntukan untuk petrol, bayaran parkir dan tol perlu diambil kira setiap hari selain ansuran bulanan pinjaman kenderaan. Inilah dilema kebanyakan mereka yang bekerja di bandar besar.

Mengakui tersepit dengan beban kewangan ditanggung akibat hutang, eksekutif sumber manusia di sebuah syarikat multinasional di ibu kota yang hanya mahu dikenali sebagai Nadia, 30, tidak lagi merasai nikmat gaji besar disebabkan terlalu taasub membeli-belah dan berhibur.

Mula bekerja secara tetap pada 2006, Nadia turut mengakui menggunakan lebih separuh daripada pendapatannya untuk menjelaskan hutang khususnya ansuran kereta, kad kredit dan pinjaman peribadi selain bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menurut Nadia, dia menerima tawaran pihak bank untuk memiliki kad kredit beberapa bulan selepas mula bekerja sebelum mengambil pinjaman peribadi tahun lalu kononnya untuk menjelaskan baki hutang kad kredit dan menamatkannya.

Bagaimanapun, lain pula berlaku apabila wang pinjaman itu digunakan untuk melancong bersama rakan ke luar negara sementara bakinya dibelanjakan bagi membeli telefon pintar terbaru serta diberikan kepada adik lelaki yang ingin melangsungkan perkahwinan ketika itu.

"Memang tipulah kalau saya kata saya tidak menyesal. Kalaulah masa boleh diundur, kad kredit dan pinjaman peribadi adalah dua benda yang tidak akan sesekali saya jebakkan diri kerana ia sebenarnya bukanlah keperluan saya pun, namun saya terus dibebani dengan faedahnya yang terlalu tinggi sehingga ke hari ini.

"Malah, saya juga sedikit menyesal kerana membeli kereta yang saya guna sekarang. Mungkin saya sepatutnya sekadar beli kereta yang lebih murah serta jimat minyak. Sekarang harga minyak pun dah naik tapi apa boleh buat.

"Mujurlah saya tinggal di rumah orang tua jadi komitmen sewa rumah setiap bulan tiada. Kalaulah ini pun saya perlu bayar, makan mi segeralah agaknya," katanya.

Menurut Nadia, beberapa bulan lalu, dia mengemukakan permohonan pinjaman perumahan dengan beberapa bank untuk pembelian unit apartmen di pinggir Kuala Lumpur, namun tidak diluluskan atas faktor komitmen kewangan terlalu tinggi.

Kejadian menimpa Nadia seakan-akan serupa seperti dialami ibu tunggal yang hanya mahu dikenali sebagai Sandra yang 10 tahun `menderita' masalah kewangan.

Ibu kepada kanak-kanak berusia lapan tahun ini mengakui sikap ingin menunjuk-nunjuk kepada keluarga kononnya dia berpendapatan tinggi dan hidup mewah membawa kepada belenggu masalah terbabit.

Sandra berkata, semua masalah itu berpunca daripada ketidakpuasan hati akibat keretakan rumah tangga yang dihadapi sebelum bercerai secara sah pada 2005.

Susulan kejadian itu, Sandra memutuskan untuk berhenti kerja sebagai pembantu peribadi kepada seorang pengarah urusan sebuah syarikat awam terkemuka sebelum menceburkan diri secara sepenuh masa dalam jualan langsung dengan beranggapan akan memperoleh keuntungan lebih besar.

"Pada masa sama, saya masih berbelanja secara berlebih-lebihan tanpa mengawal penggunaan wang sehingga saya mula menerima surat daripada bank yang menawarkan perkhidmatan kad kredit. Ketika itu, saya menanggung hutang daripada lima jenis kad kredit berbeza dengan had kredit melebihi RM70,000," katanya.

Ternyata, apa yang dialami Nadia dan Sandra berkait rapat dengan gaya hidup yang tidak selari dengan pendapatan. Gaya hidup di luar kemampuan akan membawa kepada bebanan hutang tidak terkawal akibat berbelanja secara berlebihan.

Disebabkan kegagalan mengawal hawa nafsu, kebanyakan individu pada hari ini mudah terikut-ikut dan terpengaruh dengan gaya hidup di luar kemampuan sehingga memudaratkan mereka. Ini termasuk membeli-belah ketika musim jualan murah yang menawarkan diskaun dan pelbagai promosi yang menarik ditambah dengan kehadiran teknologi membolehkan barangan dibeli secara atas talian tanpa perlu keluar dari rumah.

Selain itu, sudah menjadi trend membawa keluarga makan di luar atau di restoran mahal, percutian terutama di luar negara, memakai telefon pintar dan gajet serta menukar perkakasan rumah dan perabot setiap kali musim perayaan mendorong masalah ini.

Tidak dinafikan kos sara hidup tinggi mempengaruhi perbelanjaan bulanan seseorang. Namun, semuanya berbalik kepada individu itu sendiri kerana mereka seharusnya tahu cara pengurusan wang yang bijak. Langkah yang salah dalam hal ini dan kurang pengetahuan mengenai pengurusan kewangan menjerumuskan seseorang itu ke dalam perangkap muflis.

Amat penting untuk kita memiliki perancangan kewangan yang baik, berbelanja dengan bijak dan berhemah agar ia menjamin kebahagiaan individu dan keluarga.

Kisah Nadia dan Sandra perlu dijadikan pengajaran supaya mana-mana individu yang belum sampai di tahap ini berfikir sedalam mungkin mudarat yang bakal ditempuhi jika terjerat dengan kecuaian sendiri dalam pengurusan kewangan.

Bagi mereka yang punya masalah berkaitan pengurusan kewangan seumpama ini, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menawarkan tiga jenis perkhidmatan percuma untuk membantu individu menguruskan kewangan secara lebih baik iaitu program pendidikan kewangan, kaunseling dan program pengurusan kredit.

Untuk maklumat lanjut, hubungi AKPK di talian 1800-88-2575 atau layari www.akpk.org.my

Oleh Rosyahaida Abdullah

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI