Love You Mr Arrogant Sinopsis Drama Bersiri TV3

Tuesday, October 01, 2013

Love You Mr Arrogant

Drama siri terbaru, Love You Mr Arrogant bermula 25 September 2013 di TV3.

Drama siri yang diadaptasi daripada novel hasil karya seni, Aliesha Kirana ini diterbitkan Primeworks Studios dan diarahkan Eoon Shuhaini manakala skripnya gabungan Chinta Nadeepha, Lee Chonz serta Mahbob.

Drama berantai 26 episod ini membariskan pelakon yang mampu menjiwai watak dengan berkesan seperti Azlee Khairi, Zara Zya, Hanez Suraya, Keith Foo, Anzalna Nasir, Norish Karman, Mustapha Kamal, Fadilah Mansor, Alex Yanz dan Aishah Illias.

Mengisahkan Zaara yang mempunyai impian yang sama seperti gadis lain iaitu membina rumah tangga yang bahagia bersama insan yang dicintainya.

Namun, impiannya musnah sebaik saja terjerat di dalam perangkap lamaran paksa dari seorang jejaka yang begitu asing dalam hidupnya, Irham.

Disebabkan ingin terlepas daripada genggaman Sherry, bakal menantu pilihan ibunya, Irham memaksa Zaara menjadi isterinya dengan menjadikan sebuah janji sebagai modal.

Tambahan pula, Irham turut diarah oleh bapanya, Tan Sri Zahir untuk berkahwin dalam masa terdekat jika tidak mahu syarikat Irham Holdings jatuh ke tangan sepupunya, Hadry.

Irham sememangnya tidak mahu syarikat yang dibangunkan keluarganya itu jatuh ke tangan orang lain dan sanggup melakukan apa saja demi mempertahankannya.

Demi sebuah janji, Zaara reda menerima kehendak Ilahi. Biarpun tanpa cinta, Zaara rela demi menjaga maruah diri dan keluarganya daripada dipijak jejaka bongkak itu sewenangwenangnya.

Namun Zaara tidak menyangka, keputusannya itu membuatkan hidupnya kacau- bilau melayan kerenah Irham yang berhati kering dan tinggi egonya.

Ujian perkahwinan

Malam pertama pernikahannya, dia diuji apabila Irham tidak membenarkan Zaara tidur sekatil dengannya.

Zaara juga terpaksa akur berdepan dengan layanan kurang mesra daripada Puan Sri Maryam, ibu mentuanya manakala Sherry turut membenci dirinya.

Tanpa sedar Zaara mula jatuh cinta pada suaminya biarpun dia masih tidak dilayan seperti seorang wanita yang bergelar isteri.

Keadaan bertambah rumit apabila Faisal, rakan sepejabat Zaara yang psiko dan menggilai Zaara sanggup menggunakan tipu helah jahat demi mendapatkan Zaara. Malah, Hadry juga mula sukakan Zaara dan sentiasa berusaha mendekatinya.

Ini membuatkan Irham cemburu dan dihimpit tekanan untuk mempertahankan rumah tangganya.

Irham juga mendapat berita Puan Sri Maryam disahkan mengalami masalah jantung yang agak teruk.

Puan Sri Maryam meminta Irham menunaikan hajatnya dengan mengahwini Sherry.

Mengenangkan kesihatan Puan Sri Maryam yang semakin tenat, Zaara mengizinkan Irham untuk berkahwin dengan Sherry. Irham tersepit dengan keadaan yang menghimpit dirinya.

Adakah Irham akan menurut hajat terakhir emaknya atau mempertahankan rumah tangga bersama isteri yang baru dicintainya itu? Saksikan drama siri terbaru slot Akasia, Love You Mr Arrogant setiap hari Isnin hingga Khamis jam 7 malam di TV3.


0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI