Keistimewaan takwa seperti dijelaskan dalam al-Quran

Wednesday, October 23, 2013

Takwa umpama sebutir permata

Dalam memperkatakan mengenai takwa, Imam al-Ghazali mengibaratkannya sebagai harta karun sangat berharga dan menguntungkan sesiapa yang mendapat dan memilikinya.

Beliau membuat gambaran berikut: "Di dalamnya terdapat permata yang sangat berharga, melimpah-ruah dengan kebaikan serta rezeki yang agung, keuntungan yang besar dan kerajaan yang luhur."

Namun, berapa ramai menyedarinya? Zahirnya ramai orang menyangka tiada apa-apa pada takwa seperti batu permata yang belum digilap dianggap tiada nilai.

Seandainya batu itu jatuh ke riba anda sekalipun, tentu anda mencampakkannya kembali kerana menyangka ia tiada harga. Selepas itu barulah anda berasa alangkah ruginya kerana memperlakukannya sedemikian rupa.

Begitu juga dengan takwa yang mempunyai pelbagai keistimewaan sehingga Imam al-Ghazali mengatakan, mereka yang berusaha mendapatkannya tidak akan kecewa, bahkan mendapat keselamatan dan kejayaan.

Menurut beliau, keistimewaan takwa seperti dijelaskan dalam al-Quran:

* Allah memuji orang bertakwa

Firman-Nya bermaksud: "...dan jika kamu bersabar dan bertakwa maka sesungguhnya yang demikian itu adalah daripada perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat." (Surah Ali-Imran, ayat 186)

* Mendapat perlindungan daripada musuh

Firman-Nya bermaksud: "...dan kalau kamu sabar dan bertakwa, (maka) tipu daya mereka tidak membahayakan kamu sedikitpun." (Surah Ali-Imran, ayat 120)

* Mendapat pertolongan Allah

Firman-Nya bermaksud: "Sesungguhnya Allah berserta orang yang bertakwa dan orang yang berusaha memperbaiki amalannya." (Surah an-Nahl, ayat 128)

* Mendapat keselamatan dan rezeki yang halal

Firman-Nya bermaksud: "...dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (daripada segala perkara yang menyusahkannya)." (Surah at-Thalaq, ayat 3)

* Kebaikan beramal

Firman-Nya dalam surah al-Ahzab, ayat 70 dan 71 bermaksud: "Wahai orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar.

"Supaya ia memberi taufik dengan menjayakan amal-amal kamu dan mengampunkan dosa-dosamu. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan."

* Mendapat keampunan Allah

Firman-Nya bermaksud: "Katakanlah: Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah Ali-Imran, ayat 31)

* Cinta Allah

Firman-Nya bermaksud: "Bahkan (mereka berdosa memakan hak orang kerana) sesiapa yang menyempurnakan janjinya (mengenai hak orang lain) dan bertakwa, maka sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertakwa." (Surah Ali-Imran, ayat 76)

* Diterima amalan

Firman-Nya bermaksud: "...lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Haabiil) dan tidak diterima dari yang lain (Qaabiil). Berkata (Qaabiil): Sesungguhnya aku akan membunuhmu! Haabiil menjawab: Hanyasanya Allah menerima korban daripada orang yang bertakwa." (Surah al-Maidah, ayat 27)

* Kemuliaan dan kehormatan

Firman-Nya pada surah al-Hujurat, ayat 13: "...Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antaramu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya."

* Khabar gembira

Firman-Nya bermaksud: "(Iaitu) orang yang beriman dan mereka pula sentiasa bertakwa. Untuk mereka sahajalah kegembiraan di dunia dan di akhirat; tidak ada perubahan pada janji-janji Allah; yang demikian itulah kejayaan yang besar." (Surah Yunus, ayat 63 dan 64)

* Terhindar daripada neraka

Firman-Nya dalam surah Maryam, ayat 72 bermaksud: "Kemudian Kami akan selamatkan orang yang bertakwa dan Kami akan biarkan orang yang zalim tinggal berlutut di dalam neraka itu."

* Kekal di syurga

Firman-Nya dalam surah Ali-Imran, ayat 133: "Dan segeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhan kamu serta syurga yang luasnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang yang bertakwa."

Selepas mengetahui betapa bernilainya takwa, tidakkah tergerak hati anda untuk mendapatkannya atau terus percaya kepada sangkaan dan mensia-siakannya?

Oleh Idris Musa
Penulis ialah Penolong Pengarang Rencana, Harian Metro



0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI