Kisah gadis di rumah Perlindungan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah

Sunday, October 27, 2013

Kisah gadis di Raudhatus Sakinah

Remaja semuda 12 tahun ini merupakan antara penghuni Pusat Bimbingan dan Perlindungan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah cawangan Selangor.

Dengan hanya beranggapan bapanya lebih menyayangi abang-abangnya, Ummi (bukan nama sebenar) menjadi seorang anak gadis liar dan kurang ajar.

Pada kedua-dua ibu bapanya pernah dihamburkan kata-kata kesat serta makian.

Namun itu semua cerita dahulu kena Ummi kini telah menyedari kesilapannya dan berusaha mencari jalan hidup yang lebih lurus.

Memahami situasi anak gadis tersebut, Ummi seperti remaja-remaja lain turut 'menuntut' kasih sayang daripada kedua ibu bapanya.

Walaupun anak tunggal perempuan dalam keluarga, Ummi mendakwa dirinya tidak disayangi apatah lagi mendapat perhatian yang sewajarnya daripada kedua orang tuanya.

"Mak dan ayah sentiasa sibuk, mereka berdua tidak penah mempunyai masa untuk saya serta kedua-dua abang saya.

"Apa sahaja kemahuan kami akan diberikan tanpa banyak soal. Tetapi mengapa saya ditempatkan di sini? Kerana saya dapat rasakan yang kedua ibu bapa saya lebih memberi perhatian dan kasih sayang kepada kedua abang-abang saya.

"Ini dapat dilihat apabila mereka (abang) meminta wang ayah akan memberi beratus ringgit tetapi jika saya yang memintanya tidak pernah dapat lebih daripada RM50," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Mungkin masih muda serta inginkan perhatian lebih, Ummi mendapatkan kesemuanya melalui rakan-rakan.

Memberitahu dia lebih senang dan selesa apabila berada dalam kelompok rakan-rakannya. Ummi tidak menafikan akibat daripada pergaulan bebasnya itu dia juga sudah mengenali apa itu rokok dan arak.

Menafikan pernah menjalinkan hubungan ranjang dengan mana-mana rakan lelaki yang lain, Ummi memberitahu dirinya hanya menyentuh rokok dan arak serta sesekali mengambil dadah.

Mengakui apa yang dilakukan adalah pengaruh daripada rakan-rakannya, Ummi kini sedar akan kesalahan yang telah dilakukan terutama terhadap kedua ibu bapanya.

Ingin memohon keampunan daripada mereka sebaik sahaja tamat pemulihan di Raudhatus Sakinah, Ummi, menyatakan dia akan menebus kembali masa-masa lalu yang telah disia-siakan.

Keldai dadah

Bagi Jelita (bukan nama sebenar) pula, akibat daripada ketiadaan kedua ibu bapanya yang telah meninggal dunia sejak dia berusia sembilan tahun seterusnya dijaga oleh kakaknya, dia menjadi seorang remaja liar sehingga melahirkan anak luar nikah.

Bukan itu sahaja, Jelita juga merupakan 'keldai dadah' diupah oleh teman lelakinya yang merupakan rakyat Afrika.

Mengakui bersekedudukkan dengan teman lelakinya sejak berusia 18 tahun, Jelita yang kini berusia 21 tahun telah menghuni Raudhatus Sakinah sejak tiga tahun lalu.

Bercerita lanjut mengenai kejadian yang berlaku, Jelita memberitahu dia merupakan anak bongsu daripada 10 beradik.

Setelah ketiadaan ibu dan bapanya, dia dijaga oleh kakaknya manakala adik beradiknya yang lain tidak mengambil peduli akan dirinya.

Mengakui adik-beradiknya yang lain tidak penah menjalani suruhan Allah (kecuali abang sulungnya), Jelita berkata, kakak yang menjaganya juga tinggal serumah dengan teman lelakinya.

Akibat daripada ingin bebas serta tidak tahan sering dipukul dan dimarahi teman lelaki kakaknya, Jelita telah melarikan diri dari rumah.

"Keluarga saya berpecah-belah setelah ketiadaan mak dan ayah. Lagipun saya tidak mendapat pendidikan agama secukupnya dan adik-beradik yang lain pula tidak menunjukkan contoh yang baik. Saya juga sering tidak sependapat dengan kakak (yang tinggal bersama) menyebabkan saya mengambil keputusan melarikan diri.

"Saya lebih selesa dengan kehidupan tanpa dikelilingi adik-beradik sehinggalah kejadian ini (hamil anak luar nikah) berlaku," tambahnya lagi.

Dihantar oleh kakaknya ke rumah tersebut, Jelita kini semakin selesa dengan didikan agama serta ilmu yang diperoleh di pusat bimbingan tersebut.

Tidak terfikir untuk keluar dari pusat bimbingan tersebut, Jelita mengakui mahu menjadi penghuni tetap di situ lebih-lebih lagi apabila bekas teman lelakinya sehingga kini masih mencarinya.

Ini kerana sebelum dimasukkan ke pusat tersebut, dia serta bekas teman lelakinya telah ditangkap polis atas tuduhan disyaki memiliki dadah.

Tetapi ketika itu Jelita bernasib baik kerana semasa ditahan dadah yang dicari polis tidak ada bersama mereka.

Bagaimanapun Jelita telah bekerjasama dengan polis dengan menyalurkan maklumat mengenai bekas teman lelakinya yang memang merupakan pengedar dadah.

Akhirnya bekas teman lelaki Jelita telah ditahan dan dipenjara selama tiga tahun atas kesalahan yang dilakukan.

Apa yang diharapkan Jelita ialah penyatuan semula kesemua ahli keluarganya dan yakin dengan dirinya sendiri untuk mengharungi hari-hari mendatang.

Lahir anak di bilik air

Dalam pada itu, seorang lagi penghuni pusat tersebut, Yan (bukan nama sebenar) tersasar daripada landasan hidup bukan disebabkan kurang didikan agama mahupun perhatian daripada keluarga, sebaliknya menganggap hidupnya terlalu dikongkong keluarga.

Justeru tawaran yang diterima untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading dijadikan 'tiket' untuk hidup bebas.

Yan seperti seorang remaja yang terkena kejutan budaya. Dia menjalin hubungan dengan seorang lelaki sehingga melahirkan anak luar nikah baru-baru ini.

Dilihat begitu naif, ketika ditanya mengenai kandungannya, Yan memberitahu, dia tidak mengetahui dirinya mengandung sehinggalah melahirkan bayi di dalam bilik air di rumahnya.

Dia akhirnya dihantar ke pusat bimbingan tersebut oleh keluarga dalam usaha membawanya pulang ke pangkal jalan.

Yan menyesali apa yang telah berlaku dan berharap setelah selesai menjalani proses pemulihan di pusat tersebut dia dapat menyambung kembali pengajiannya yang tertangguh dan dapat berjasa kepada kedua ibu bapanya.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI