Buah ceri pilihan rakyat Malaysia

Wednesday, October 09, 2013

Khasiat buah-buahan

Hasil tinjau selidik Yes! Fruits MBG di seluruh negara ke atas 3,763 individu, ceri terpilih sebagai buah paling digemari rakyat Malaysia. Kajian selama dua bulan itu diumumkan ketika perayaan Hari Satu Malaysia sempena Bulan Buah dan Sayur: Lebih Banyak, Lebih Baik untuk mencerminkan penyertaan negara secara kolektif dalam tinjau selidik kesihatan ini.

Menurut Pengarah Urusan MBG, Adnan Lee, selain mencerminkan pandangan rakyat Malaysia mengenai amalan mengambil buah-buahan, tinjau selidik itu bertujuan mengukur kefahaman individu mengenai buah-buahan biasa berbanding buah yang kurang dikenali dan diterima tetapi kaya khasiat yang turut dikenali sebagai buah-buahan unggul.

Umumnya, 63 peratus rakyat Malaysia makan buah-buahan setiap hari dan 37 peratus lagi makan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu manakala 75 peratus menyedari konsep buah-buahan unggul dan kelebihannya.

Daripada tinjauan ini didapati ada tujuh buah-buahan unggul yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia iaitu ceri (51 peratus), manggis (48 peratus), buah naga (45 peratus), pic (39 peratus), pisang kaki (35 peratus), avokado (34 peratus) dan delima (31 peratus).

Buah-buahan lain dalam kategori ini adalah beri biru, durian belanda, lemon, tomato ceri, nektarin, limau gedang, plum dan kurma.

Lebih 80 peratus daripada mereka percaya buah-buahan unggul memberi lebih banyak khasiat berbanding buah-buahan biasa. Malah kebaikan buah-buahan unggul turut diakui profesional kesihatan dan separuhnya terbukti dari segi saintifik kerana kaya serat dan zat galian, terutama antioksidan berbanding buah-buahan popular yang lain.

Hampir 90 peratus antara mereka juga memahami kelebihan antioksidan yang banyak terdapat dalam buah-buahan unggul yang bukan saja baik untuk kesihatan mental dan fizikal juga kecantikan wajah.

Lebih 30 peratus menyatakan mereka tidak menganggap tomato ceri, lemon dan kurma sebagai buah-buahan disebabkan saiz yang kecil. Ini menyebabkan buah-buahan ini digunakan sebagai hiasan dalam salad atau makanan snek saja.

Sesetengah buah-buahan seperti limau gedang kurang menjadi pilihan kerana ia hanya digemari individu yang sukakan rasa masam.

Durian belanda, nektarin dan plum pula dianggap mahal dan sukar didapati kerana bermusim. Namun apa yang penting, tidak ramai menyedari khasiat serta kebaikan buah-buahan ini kepada kesihatan.

Ceri dianggap sebagai raja buah-buahan unggul disebabkan warna merah delima yang menarik, rasanya lazat dan kandungan antioksidannya tinggi.

Di Malaysia, ceri termasuk dalam kategori buah premium kerana hanya boleh dinikmati dua kali setahun. Ini menyebabkan keinginan pengguna untuk menikmati kelazatannya begitu tinggi apabila tiba musimnya.

"Oleh kerana itu, MBG mencatat pertumbuhan 20 peratus dalam jualan ceri setiap tahun kerana pendedahan mengenai kebaikan buah ini serta menunjukkan ceri semakin digemari rakyat Malaysia," kata Adnan.

Hasil kajian baru-baru ini turut mendedahkan keistimewaan manggis. Kandungan antioksidan polifenolnya tinggi dan kandungan vitamin C, vitamin E dan karetonoid juga lebih kuat. Ia membantu mencegah kerosakan sel akibat radikal bebas dan menguatkan daya tahan menjauhkan penyakit.

Penyelidikan menunjukkan kulit manggis kaya nutrien semula jadi dinamakan xanthone yang berpontesi menangani kanser, masalah pernafasan, menguatkan sistem imun dan menjaga kesihatan usus. Kulit manggis boleh dijadikan diet sihat dengan dikisar dan diminum setiap hari.

Rasa manis dan rupa menarik menjadikan buah naga merah lebih popular berbanding putih selain kandungan antioksidan yang tinggi. Tidak hairanlah buah ini menduduki tempat ketiga dan menjadi pilihan rakyat Malaysia.

Ini diakui pakar sains Jerman dalam jurnal kajian 2007 yang menunjukkan kandungan antioksidan dalam buah naga merah kundang lebih tinggi berbanding buah putih.

Sungguhpun harganya mahal, disebabkan rasanya yang lazat, pic menduduki tempat keempat menjadikan buah ini sebagai snek, bahan smoothie dan buah tangan popular untuk Tahun Baru Cina.

Pisang kaki berada di tempat kelima kerana rasanya yang unik dan manis, tekstur yang rangup serta berkhasiat. Pisang kaki umumnya diimport dari Australia, New Zealand dan Korea (paling popular).

Tempat keenam dan ketujuh dikuasai avokado dan delima yang kaya antioksidan dan khasiat pemakanan. Bukan itu saja, kedua-dua buah ini memerlukan cara yang unik untuk mengupas kulitnya.

Bagaimanapun, dengan hasil penyelidikan dan pendidikan kesihatan yang semakin meluas, pengguna mulai belajar menikmatinya.

Oleh itu, permintaan bagi dua buah ini semakin meningkat kerana ia dijadikan ramuan dalam produk penjagaan kesihatan, digunakan secara meluas dalam jus minuman dan makanan, menu masakan dan produk penjagaan kulit.

Namun hanya dua daripada buah-buahan unggul ini adalah buah-buahan tropika manakala selebihnya diimport. Sebab utama ialah negara seperti Amerika Syarikat, New Zealand, Australia dan Korea mengembangkan perniagaan buah-buahan sebagai satu industri.

Mereka banyak melabur dalam teknologi perladangan, penjenamaan dan kemudahan eksport. Lama-kelamaan, langkah ini menambah baik kualiti buah-buahan dan meningkatkan kesedaran mengenai kebaikannya.

"MBG menjangka kecenderungan terhadap buah-buahan unggul ini akan meningkat kerana pengguna Malaysia semakin mengutamakan kesihatan memandangkan perbelanjaan perubatan yang semakin tinggi.

Permintaan bagi buah-buahan unggul akan meningkat terutama dalam kalangan rakyat Malaysia yang arif memilih dan berpegang pada prinsip mencegah adalah lebih baik daripada mengubati," kata Adnan.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI