Ulama dalam pentadbiran negara

Friday, October 11, 2013

Ulama dalam pentadbiran negara


Mutakhir ini, fungsi golongan ulama dalam politik dan pemerintahan negara semakin aktif sama ada di negara kita atau peringkat antarabangsa. Di Mesir misalnya, Shaykh Yusuf al-Qardhawi dilihat memberikan sokongan penuh kepada Ikhwanul Muslim sebagaimana terkandung dalam bukunya '25 Yanair Sanah 2011, Thaurah Sha'ab'. Beliau juga mengeluarkan fatwa wajib menentang pemerintahan Basyar Assad kerana keganasan terhadap rakyatnya di Syria.

Di negara kita terdapat juga golongan ulama menyertai politik. Persoalan yang sering timbul sejauh mana mereka boleh berfungsi dalam konteks politik semasa? Bolehkah mereka mengekalkan imej ulama sebagai orang yang alim dalam hal ehwal agama dan bergerak aktif dalam politik kepartian?

Satu perkara yang pasti, menjadi seorang ulama dalam politik bukan satu perkara mudah. Kerana dalam keadaan tertentu mereka terpaksa menghadapi dua pilihan sukar, iaitu memilih kepentingan politik dan kebenaran atau kepentingan agama. Dalam keadaan ini, apa yang mereka perlu utamakan? Adakah kepentingan parti melebihi kepentingan agama atau sebaliknya?

Pewaris nabi

Apabila Rasulullah SAW diutuskan, Allah berfirman 'dan Aku tidak akan utuskan kamu ya Muhammad, melainkan sebagai satu rahmat bagi sekalian alam (al-Anbiya, 107). Jelas di sini fungsi Rasulullah universal sifatnya, iaitu dia diutuskan untuk membawa rahmat dan bimbingan bagi seluruh alam. Bukan untuk kelompok tertentu. Sehubungan itu juga, Rasulullah menyebut tugas ulama ini sebagai pewaris nabi, al ulama warathatul anbiya, yang bermaksud ulama pewaris nabi dari segi tugasan dan tanggungjawab mereka (Riwayat al-Tarmizi).

Justeru, apabila ulama berada dalam lapangan politik, terutama politik kepartian yang wujud zaman kita ini, sejauh mana mereka boleh bergerak aktif. Kerana politik kepartian menuntut kita berwala atau taat setia kepada pucuk kepimpinan parti dan mengutamakan kepentingannya. Keadaan ini menyebabkan ulama mengalami kekangan untuk berperanan sebagaimana yang diperlukan oleh tugasan pewaris nabi itu.

Ini juga menyebabkan sesetengah ulama mengambil jalan mengutamakan kepentingan politik dan parti dan menangguhkan kepentingan agama dan umat. Tindakan menyebabkan timbulnya kecelaruan kepada masyarakat.

Pemikiran salah

Juga berlaku apabila seseorang ulama atau orang agama seperti mufti memberikan sesuatu pandangan yang selari dengan pandangan pemerintah. Dia dituduh sebagai ulama kerajaan atau lebih teruk ulama ussu atau ulama yang jahat kerana bersekongkol dengan rejim pemerintah. Begitu juga sebaliknya. Ini satu pemikiran salah dan tidak Islamik, kerana kita seolah-olah meletakkan kebenaran itu berdasarkan kepada parti, bukan kepada hakikat kebenaran yang disampaikan oleh seseorang itu. Sedangkan kebenaran itu melangkaui sempadan parti politik dan kelompok.

Meskipun begitu, penyertaan ulama dalam politik dan pemerintahan negara satu perkara amat baik bagi negara, terutama pemerintah. Ini disebabkan umara atau pemerintah memerlukan nasihat dan bimbingan daripada orang agama misalnya dalam proses membuat dasar negara. Imam Ghazali membahagikan siyasah itu kepada empat kategori iaitu siyasah al-anbiya, siyasah al-muluk wal khulafa wal salatin, siyasah ulama dan siyasah al wu'az (Al-Ghazali, Mizan al-Amal, Kaherah: al-Matba'ah al-Arabiyyah, 1342, m.s. 28).

Rasional pembahagian ini kerana agak sukar untuk kita mencari seorang pemimpin yang pandai mengurus negara dengan baik dan pada masa sama seorang yang alim dan faqih. Kita manusia biasa, bukan nabi dan rasul yang maksum dan dibimbing oleh wahyu secara langsung oleh Allah. Bahkan zaman kita ini penyebaran Islam makin luas dan pemeluk Islam mencapai ratusan juta orang. Tidak mungkin seorang manusia mampu mengurus negara seorang diri. Dia memerlukan kepakaran orang lain juga. Oleh itu, kepakaran ulama amat diperlukan untuk menasihati umara atau pemerintah dalam hal ehwal agama dan pembuatan dasar negara berkaitan dengan kepakaran mereka. Umara pula mengurus negara dengan cekap, amanah, adil dan berkesan. Gabungan kepakaran ini boleh mewujudkan negara yang adil, makmur dan stabil.

Dengan itu, ulama tidak seharusnya mengelak diri daripada politik. Sekiranya berpeluang, wajib bagi ulama dan ahli ilmu itu memberikan sumbangan idea dan nasihat sesuai dengan kepakaran dan ilmunya.

Ahli politik pula perlu mendekati golongan ulama dan mendapat bimbingan daripada mereka. Alhamdulillah, sekarang ini ahli politik sudah mula mendekati golongan ulama dan golongan cendekiawan. Mereka juga diberi peluang yang sebaiknya dalam sistem pemerintahan negara. Dasar mesra ulama ini sedikit sebanyak berjaya mengulamakan sesetengah ahli politik.

Perlu juga diingatkan bahawa menasihati umara bukan satu tugas yang mudah. Sebab itulah apabila Nabi Musa AS diutuskan oleh Allah untuk berjumpa Firaun, Allah mengingatkan Musa 'Dan berbicaralah kamu berdua kepada Firaun dengan tutur kata yang lembut (qawlan layyinan). Mudah-mudahan dia ingat atau takut' (Thaha, 44).

Dalam misi dakwah ke Taif, Rasulullah pernah dibaling batu hingga berdarah tetapi baginda tidak mengeluarkan kata-kata kesat pada umatnya. Bahkan baginda berdoa 'Ya Allah berikanlah petunjuk kepada umatku, sesungguhnya mereka tidak tahu.' Dalam ayat lain, Allah berfirman 'Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-Mu dengan hikmah dan pengajaran yang baik dan berhujahlah dengan mereka dengan cara yang baik' (al-Nahl, 125).

Oleh itu, dari segi pendekatan dakwah, tidak wajar misalnya kalau kita menyindir golongan yang sibuk berzikir, berjubah, berselawat dan berdoa untuk pemimpin negara, semata-mata kerana terdapat beberapa kecacatan dalam sistem pemerintahan negara.

Oleh Ahmad El-Muhammady
Penulis sedang melanjutkan pengajian pada peringkat PhD di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC)

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI