Baju Merah cetus korban berdarah

Monday, April 12, 2010

Penunjuk perasaan antikerajaan hari ini mempertahankan kedudukan mereka di serata Bangkok dan menolak rundingan dengan kerajaan, selepas konfrontasi selama sebulan mencetuskan pertempuran yang meragut 21 nyawa dalam keganasan politik terburuk di Thailand sejak hampir dua dekad lalu.

Kelongsong peluru, batu dan tompokan darah ditemui di jalan-jalan berhampiran satu kawasan pelancongan utama di mana askar cuba menyuraikan penunjuk perasaan Baju Merah yang menuntut Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva membubarkan Parlimen dan mengatur pilihan raya awal.

Kerajaan-kerajaan asing mengeluarkan amaran kepada rakyat masing-masing supaya menangguhkan lawatan ke negara ini, di mana pelancongan merupakan satu industri utama.

Penunjuk perasaan hari ini menunjukkan sejumlah senjata yang mereka rampas daripada askar, termasuk raifal dan peluru mesingan berkaliber besar. Aktivis turut menawan beberapa askar Thai tetapi membebaskan mereka kemudian.

Seorang pemimpin Baju Merah, Jatuporn Prompan berkata, tangan Abhisit kini 'berlumuran darah'.

"Tidak ada rundingan lagi kerana Baju Merah tidak akan berunding dengan pembunuh. Sungguhpun jalannya penuh liku, kewajipan kita adalah untuk memuliakan mereka yang terbunuh dengan membawa demokrasi ke negara ini," kata Jatuporn dari pentas yang didirikan sementara.

Seorang lagi pemimpin protes, Nattawut Saikua memberitahu wartawan, upacara pengebumian untuk 14 penunjuk perasaan yang terkorban dijadual diadakan malam ini di lokasi mereka gugur, dan mayat mereka akan diarak di serata Bangkok esok. Tiada demonstrasi dirancang untuk hari ini.

Pasukan keselamatan malam tadi memasuki kawasan yang diduduki penunjuk perasaan di sekitar Monumen Demokrasi Bangkok, dekat Khao San Road yang menjadi tumpuan pelancong bajet.

Tindakan tersebut sebaliknya mencetuskan pertempuran dan bunyi tembakan dan letupan bom petrol kedengaran selama lebih dua jam.

Jurucakap tentera, Kolonel Sansern Kaewkamnerd menuduh penunjuk perasaan membaling bom tangan dan melepaskan tembakan peluru hidup. Seorang jurucakap APTN melihat dua pengawal keselamatan Baju Merah membawa raifal penggempur.

Seorang jurucakap kerajaan pula menafikan askar menggunakan tembakan peluru hidup untuk menyuraikan penunjuk perasaan.

"Tidak ada tembakan peluru hidup dilepaskan ke arah penunjuk perasaan," kata Panitan Wattanayagorn pada sidang media yang disiarkan ke seluruh negara.

Empat askar dan 17 orang awam termasuk seorang jurukamera Jepun yang bertugas untuk Reuters terbunuh dalam keganasan itu, manakala lebih 800 lagi cedera. - AP/AFP

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI