Raja Ular Kelantan

Monday, April 12, 2010

Raja Ular Kelantan, 600 Kali Digigit Ular Hanya Tiga Kali Ke Hospital

Setiap hari, anak muda ini seperti tidak menang tangan menjawab panggilan telefon dari serata penduduk bukan sahaja dari Kelantan malahan penduduk di negeri-negeri luar.

Mencecah usia 24 tahun, anak jati Kelantan yang belajar setakat tingkatan tiga dan menetap di pedalaman Kelantan ini, mungkin kelihatan biasa-biasa sahaja tanpa sebarang keistimewaan tetapi kesibukan beliau saban hari seringkali mengundang tanda tanya.

Berperwatakan agak pendiam, siapa sahaja pasti tidak menyangka, Mohd Hamdan Mahadi, 24, begitu hebat kerana bukan sahaja memiliki teman-teman manusia tetapi juga 'bersahabat baik' dengan haiwan yang sangat digeruni manusia.

Digelar sebagai Raja Ular Kelantan, Mohd Hamdan berkata, kegerunan terhadap ular, haiwan reptilia itu mungkin tidak dapat dipisahkan dari benak setiap manusia.

"Ular seringkali disifatkan sebagai musuh kerana sifatnya yang ganas dan boleh mengundang maut kepada manusia menyebabkan sesiapa pun takut untuk melihat apatah lagi memegangnya.

"Tetapi bagi saya, ular juga seperti haiwan lain, jika kena caranya, tidak mustahil ular mampu menjadi sahabat kepada manusia," katanya kepada Bernama.

TANGKAP ULAR SEAWAL USIA LIMA TAHUN

Anak jati Kampung Guchil 1, Kuala Krai ini berkata, minatnya terhadap ular bermula sedari kecil apabila beliau tidak pernah merasa cuak dengan kehadiran haiwan terbabit.

Bahkan, seawal usia lima tahun, jika terlihat kelibat haiwan berkenaan, beliau dengan selamba akan mengejar dan berusaha menangkap haiwan itu.

"Saya pun tidak perasan tentang keistimewaan itu kerana bagi saya ianya bukan satu keistimewaan sebenarnya, mungkin kerana minat dan keberanian saya terhadap ular menyebabkan saya tidak takut terhadapnya.

"Minat pada ular datang sendiri dan tidak pernah dipupuk keluarga atau saudara mara kerana tiada seorang pun ahli keluarga saya sama ada ayah atau datuk yang meminati ular seperti saya," katanya.

Beliau berkata, menetap di kawasan perkampungan, kelibat haiwan terbabit bukan lagi satu perkara asing baginya dan sekiranya penduduk kampung yang ketakutan melihat haiwan terbabit berada di dalam rumah, beliaulah yang akan segera menawarkan diri untuk menangkap ular terbabit.

"Mula-mula menawarkan diri itu takut-takut juga, tetapi sebab minat mahu mencuba saya beranikan diri dan bila dapat tangkap, tidaklah susah pula rasanya. Sejak itu bila ada sahaja ditemui ular di rumah penduduk kampung atau di mana sahaja, mereka akan memanggil saya untuk menangkapnya," katanya.

Beliau berkata, ular pertama yang ditangkapnya adalah ular tedung sepanjang 22 kaki di kampung berhampiran.

HAMDAN SI RAJA ULAR

Anak sulung dari sembilan adik beradik itu berkata, sejak itulah beliau mula dikenali dan digelar sebagai 'Raja Ular' oleh penduduk di kampungnya dan kampung berhampiran.

Meskipun mendapat tentangan daripada kedua ibu bapanya, Mohd Hamdan berkata, ia tidak mampu mematahkan semangat untuk terus menangkap ular.

"Biasalah ibu bapa, mereka bimbang jika saya tercedera ketika menangkap ular kerana ular adalah haiwan yang berbahaya tetapi kerana terlalu suka dengan 'kerja' yang saya lakukan itu, mereka akhirnya terpaksa menerima dan sentiasa menasihati saya supaya menjaga diri," katanya.

Mohd Hamdan berkata, sebaik menamatkan persekolahan di tingkatan tiga, beliau semakin serius melakukan kerja menangkap ular di serata tempat.

MINAT MENJADI PEKERJAAN

Bermula dari minat, Mohd Hamdan kini sepenuh masa melakukan pekerjaan menangkap ular.

Beliau berkata, bagaikan memiliki rangkaian perniagaan di serata tempat, begitulah juga dirinya apabila setiap hari sibuk menjelajah ke serata negeri Kelantan untuk memenuhi permintaan daripada orang ramai yang memerlukan bantuan untuk menangkap haiwan terbabit.

Bahkan beliau kini bertambah sibuk apabila bantuan menangkap ular bukan sahaja diperlukan di negeri kelahirannya malahan negeri-negeri luar.

"Saya seringkali menerima panggilan daripada penduduk di beberapa negeri seperti Terengganu, Kedah, Pahang, Johor, Pulau Pinang dan Perak semata-mata untuk menangkap ular dan saya tidak menolaknya, jika ada kelapangan, saya akan pergi untuk membantu mereka," katanya.

Lebih mengagumkan, anak muda ini langsung tidak mengejar kemewahan, meskipun berdepan risiko besar untuk melakukan pekerjaan terbabit, beliau langsung tidak meminta bayaran upah sebaliknya hanya mengenakan bayaran kos perjalanan ke tempat yang dituju.

"Kalau dalam Kelantan, biasanya saya caj minyak motor sahaja, saya akan pergi ke mana-mana daerah pun tetapi sekiranya ke negeri luar, saya akan caj RM50 sehari untuk menampung tambang perjalanan dan makan minum saya," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, sikap prihatin dan pemurah rakyat di negara ini menyebabkan beliau sentiasa diberi upah sebagai menghargai kesusahan dan risiko yang ditanggung beliau untuk menangkap ular.

LEBIH 600 KALI DIPATUK ULAR

Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula haiwan bahaya, Mohd Hamdan berkata, sebaik-baik 'sahabat' haiwannya itu, beliau tidak terlepas daripada dipatuk ular meskipun ramai yang beranggapan orang yang mahir tidak sesekali akan dipatuk.

Sepanjang pembabitan beliau sebagai penangkap ular, sudah lebih 600 kali beliau dipatuk haiwan terbabit.

"Dipatuk itu sudah satu kemestian, minggu ini pun sudah tiga kali saya dipatuk ular, kalau tidak pernah dipatuk mesti saya sudah mengamalkan ilmu tertentu, tetapi mujurlah sistem ketahanan badan saya seperti sudah sebati dengan bisa ular menyebabkan saya tidak mengalami kecederaan yang teruk, " katanya sambil menunjukkan satu daripada jari telunjuknya yang sehingga kini masih bertanda parut patukan ular.

Ular yang paling berbisa pernah mematuknya ialah ular tedung yang menyebabkan beliau dimasukkan ke wad dan ditahan selama beberapa hari.

Bagaimanapun, sepanjang lebih 600 kali beliau dipatuk ular hanya tiga kali dimasukkan ke hospital manakala selebihnya hanya membuat rawatan sendiri.

AIR PUTIH DAN BAYGON

Alah bisa tegal biasa, Mohd Hamdan berkata, tiada sebarang petua yang diamalkan sekiranya dipatuk ular sebaliknya hanya melakukan rawatan dengan memastikan beliau segera minum air putih sebanyak mungkin selepas dipatuk haiwan terbabit.

Beliau berkata, bisa ular adalah panas dan boleh menyerang jantung manusia menyebabkan jantung manusia menjadi panas dan air putih dapat membantu melambatkan proses penyerapan bisa terbabit.

"Apapun ianya hanya merupakan langkah awal dan segera jika dipatuk ular, selepas itu perlu segera ke hospital untuk dapatkan rawatan," katanya.

Bagaimanapun lebih menarik, Mohd Hamdan berkata, penyembur serangga berjenama Baygon sebenarnya mampu membunuh ular.

Beliau berkata, Baygon merupakan alatan penting yang diperlukannya untuk menangkap ular terutama ular yang berada dalam lubang.

"Banyak kali jugalah saya berdepan dengan kes ular berada dalam lubang dan tidak mahu keluar, masa inilah diperlukan Baygon. Baygon itu akan disembur ke dalam lubang terbabit dan ular akan dengan mudahnya keluar kerana lemas dengan semburan itu.

"Tetapi jika dalam tempoh 15 hingga 20 minit ular itu tidak keluar dari lubang, berkemungkinan besar ia mati dalam lubang itu, apa yang penting gunakan penyembur Baygon yang khas untuk lipas, bukannya nyamuk, ia pasti berkesan untuk ular," katanya sambil tersenyum.

ULAR JADI HAIWAN PELIHARAAN

Mohd Hamdan yang memiliki lesen daripada Jabatan Perhilitan berkata, kebanyakan ular yang ditangkapnya bukan sahaja diberi kepada jabatan berkaitan atau dilepaskan di hutan simpan sebaliknya beliau akan memelihara ular itu sebagai haiwan peliharaan.

Beliau yang kini memiliki lapan ekor ular jenis tedung, sawa dan senduk itu berkata, sekiranya ada di antara ular yang ditangkapnya itu agak menarik jenis dan bentuknya, beliau akan memelihara ular itu untuk digunakan ketika persembahan ular yang diadakannya di Tanah Merah pada setiap hari Sabtu.

"Kalau ular yang ditangkap itu biasa-biasa sahaja dan saya tidak berhasrat untuk memeliharanya, kebiasaannya saya akan simpan ular selama seminggu hingga dua minggu selepas ditangkap sebelum ia dilepaskan semula kerana tidak mahu ular itu kembali ke tempat ketika ia ditangkap," katanya.

Sekiranya tidak dilepaskan semula dan ada di antara rakan-rakannya yang menjual ubat dan berhasrat untuk menggunakan haiwan terbabit untuk tujuan perubatan, beliau akan memberikannya kepada rakan-rakan.

Bukan itu sahaja, kini, selain sibuk memenuhi permintaan orang ramai yang memerlukan bantuan menangkap ular dari serata negeri, Mohd Hamdan berkata, beliau juga seringkali membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat di beberapa daerah di Kelantan dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk menjalankan tugas menangkap ular.

Menurutnya, bagi penduduk Kelantan yang tidak mengenalinya, mereka akan menghubungi balai Bomba atau JPA untuk meminta bantuan menangkap ular manakala pihak jabatan terbabit akan menghubunginya untuk membantu pihaknya melakukan tugas terbabit.

BAKAL BUKA TAMAN ULAR

Meskipun adakalanya dipandang serong sesetengah masyarakat yang menganggap pekerjaan menangkap ular yang dilakukannya hanya membuang masa kerana tidak memberi keuntungan sebagaimana pekerjaan lain, Mohd Hamdan berkata, kata-kata itu hanya dianggap kata-kata kosong yang tidak mampu menjejaskan minatnya terhadap pekerjaan yang dilakukan.

Beliau berkata, apa yang paling penting adalah kepuasan membantu orang ramai yang memerlukan bantuan selain secara tidak langsung memenuhi minatnya terhadap ular.

Bahkan, kata anak muda ini, masih banyak perancangan di benaknya untuk terus memastikan beliau sentiasa bertemu dan bekerja bersama 'sahabat' kesayangannya itu setiap hari.

Justeru itu katanya, dalam masa terdekat ini beliau dijangka akan membuka sebuah taman ular di daerah Kuala Krai.

"Insyaallah... sebelum penghujung tahun ini saya akan buka sebuah taman ular dengan berbekalkan modal dari seorang individu berbangsa Cina yang sangat minat terhadap haiwan itu dan mahu saya membuka sebuah taman khas untuk haiwan terbabit.

"Jika taman itu direalisasi, ianya akan dijadikan tempat saya menempatkan ular peliharaan saya, mengadakan pameran ular dan pertunjukan ular setiap hari yang sebelum ini saya adakan di daerah Tanah Merah," katanya.

SEDIA DIHUBUNGI BILA-BILA MASA

Selain itu anak muda yang masih bujang ini berkata, beliau bersedia dihubungi bila-bila masa sahaja untuk membantu orang ramai yang memerlukan bantuan.

Menurutnya, orang ramai yang memerlukan bantuan menangkap ular boleh menghubungi beliau di talian 012-9619443.

"Sekiranya ada kelapangan saya akan berusaha membantu orang ramai tidak kira di mana pun anda berada, Raja Ular akan tiba seberapa segera," katanya sambil tersenyum.

-- BERNAMA

Oleh Noor Adila Ali

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI