Penghujung Ahli Fiqir

Monday, April 12, 2010

Liriknya cukup puitis. Ada kala ia mencerminkan maksud yang mendalam hingga melangkaui tahap pemahaman pendengar. Jika diamati dengan mata hati, pasti dapat kita membaca terjemahan yang tersirat.



Melodinya yang berbeza sering dilengkapi lirik yang bisa memperli dan sarat dengan bidalan membina. Seni kata Angguk Angguk Geleng Geleng, 2 Kali 5 dan Samseng umpamanya mampu mengundang pelbagai persepsi.

Siapa mampu menjangka hari esok. Sangkaan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Walaupun empayar muzik mereka sudah kuat selari dengan semangat anggotanya, mereka terpaksa meleraikan ikatan untuk membawa haluan sendiri.

Kecewa dan sedih tidak usah dibicara lagi. Namun gerak hati untuk meneruskan perjalanan masing-masing perlu diutamakan. Rasa hiba atas pengunduran seorang ahlinya, Samsol Nahar Sibenget atau lebih dikenali sebagai Tukang Kata, penghujung tahun lalu, belum lagi hilang. Kini tiga lagi ahlinya iaitu Fadali Mohd Darif (Dali), Ceza Mutyara (DJ Cza) dan Nurhidayati Mohd Yusop (Mawar Berduri) juga ada rencana sendiri.

Mahu atau tidak, hidup perlu diteruskan. Menyangkal istilah ‘berpecah’ berulang kali, Mawar enggan menyifatkan keputusan ini sebagai penghujung kepada segala-galanya.

“Sampai masanya untuk kami membawa haluan diri. Namun untuk mengatakan kami berpecah adalah agak kasar kerana hubungan kami terlalu erat sebagai teman dan keluarga.

“Mungkin kami lebih melihat keputusan ini sebagai tempoh berehat. Maklumlah, saya sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki, Adam Harris Imran yang kini berusia setahun setengah. Walaupun suami mengizinkan saya untuk terus aktif, ini satu inisiatif sendiri bagi menumpukan perhatian pada keluarga.


“Jika saya terlepas untuk mencipta nama sebagai penyanyi, ruang untuk berpatah balik sentiasa ada. Namun jika tertinggal masa membesarkan anak, pasti tiada ruang untuk saya mengundur masa. Saya tidak mahu menyesal atau rasa ralat akan tanggungjawab sendiri,” katanya yang berkahwin dengan jurutera berusia 33 tahun, Imran Harith Fazillah.


Hadir dalam bentuk muzik hip hop moden, Ahli Fiqir berjaya menerajui tiga album dan beberapa pengiktirafan, termasuk Artis Singapura Terbaik dan Album Singapura Terbaik di Anugerah Planet Muzik 2006. Malah, segala pengalaman bersama cukup kuat untuk melepaskan anggota yang lain bergerak solo.


Bagaimanapun cabaran itu disahut Dali yang banyak menyumbang lirik dan melodi. Mungkin keputusan mereka untuk membawa haluan sendiri bakal membuka ruang padanya bagi memperkenalkan muziknya sendiri.


“Janggal pasti ada, namun perjuangan saya sebagai pemuzik perlu diteruskan. Saya memahami akan keadaan Mawar yang sudah berkeluarga dan DJ Cza yang mahu menumpukan pada perniagaan keluarganya.


“Betul juga, sampai bila kami ingin terus begini kerana usia semakin meningkat dan perubahan dalam arena muzik makin pesat membangun.

“Insya-Allah saya akan tampil dengan projek solo selepas ini dan segala proses ke arah itu dalam perancangan. Saya cuba tampilkan sentuhan sendiri tanpa Ahli Fiqir dan jika diberi peluang yang baik, saya yakin peminat setia muzik kami selama ini dapat mengikut rentak muzik saya selepas ini,” katanya yang sebelum ini pernah tampil bersama Maliq dan Yassin menerusi lagu Alhamdulillah.


Pemuda berusia 27 tahun kelahiran Medan, Indonesia, DJ Cza hanya memandang keputusan bergerak sendiri ini sebagai pemangkin kerjaya mereka.


Tidak mahu melihat ia sebagai masalah, sebaliknya bagi DJ Cza yang juga bekerja sebagai pemutar muzik di sebuah kelab di ibu kota, yang lebih penting adalah keserasian antara mereka tidak mustahil membawa pertembungan semula kemudian hari.


“Kami sangat serasi dan rapat. Malah kami sudah menjadi keluarga selain berkongsi minat sama. Justeru, tidak mustahil jika satu hari ini kami akan bersatu kembali untuk merakam sebuah album bersama.


“Setakat ini sejak album pertama hingga yang terbaru, saya bersama anggota kumpulan yang lain sentiasa gembira dengan sambutan diberi. Malah saya bersyukur kerana peminat dapat menerima kami seadanya,” katanya.


Ahli Fiqir bagaimanapun akan melancarkan single ketiga, Biarkan daripada album ketiga terbitan Warner Music Malaysia selepas Fikir-Fikir dan Derita Merindu. Lagu Jangan Pergi Mawar akan menyusur kemudian.

Oleh MURSHID EUNOS

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI