Hati Iqram Dinzly

Monday, April 12, 2010

Memang masih hijau warnanya di pentas hiburan tanah air. Belum lagi berjaya mengait sebarang pencapaian atau pengiktirafan peribadi. Namun pengalaman yang ada bukan calang-calang.


Enam tahun mengheret status selebriti bukan sesuatu yang mudah bagi anak muda kelahiran Ipoh, Muhammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin. Elemen populariti dan publisiti mungkin banyak mewarnai pahit-maung sepanjang bergelar pelakon.

Perspektif hidup sebagai anak seni bagi pelakon drama yang kini rancak menerusi siri rantaian, Na-O-Mei ini punya geraknya tersendiri.

"Orang kata, kalau takut dilambung ombak, usah berumah di tepi pantai. Frasa itu yang saya pimpin selama ini kerana saya membina sebuah kerjaya yang boleh diibaratkan bagai rumah di dalam industri.


"Mahu atau tidak, ombak yang mampu melambung setinggi bukit itu perlu saya gagahi. Mustahil untuk saya berpatah balik.

"Hidup dengan jenama Iqram ada baik buruknya. Ada pahit manisnya. Bila sesekali datang bau hapak seperti kontroversi, spekulasi negatif atau apa saja kritikan berunsur hentaman, tidak sesekali saya melenting. Sebaliknya perlu sentiasa ingat yang wangian itu akan datang menyusur jika kebenaran di pihak kita.


"Sepanjang menjadi anak seni secara serius sejurus tamat pengajian di Fakulti Seni Artistik Universiti Teknologi Mara, banyak cerita kurang enak ditabur.


"Saya pernah diselar sombong, berlagak, lupa daratan, berangan dan ada juga yang menyifatkan saya sebagai hero lembik," katanya.


Pernah dia terduduk apabila dicop kaki perempuan apabila sering bergandingan dengan pelakon wanita. Bertambah pedih, dia dituduh homoseksual hanya kerana rapat dengan beberapa selebriti lelaki dan latar belakangnya yang aktif dalam seni tarian sebelum terjebak dalam kancah glamor ini.


Kata Iqram, kadangkala dia bertanya diri sendiri, apa lagi yang perlu dilakukan untuk menutup mulut orang? Apa lagi yang perlu diubah bagi menghentikan segala bisikan jahat seperti itu?

"Tidak sekali saya berniat untuk menghentam, jauh untuk bertindak bijak, namun yang ingin saya luahkan adalah peranan pihak media yang besar pengaruhnya dalam pembangunan sesebuah kerjaya artis.


"Takut juga sesekali ingin mempersoalkan perihal ini, namun inilah isi hati Iqram Dinzly. Menyedihkan sekali apabila fungsi pihak media ada kalanya tersasar daripada objektif dan etika seseorang pengamal penyampai bahan berita itu.


"Bayangkan, segelintir pihak media sanggup menggadaikan kerjaya saya atau teman artis yang lain semata-mata untuk melariskan bahan berita mereka.

"Reputasi dan nama baik kerjaya artis kadangkala bagai digadai apabila isu membabitkan kami diperbesarkan dan dicipta sebagai masalah besar, sedangkan banyak alternatif lain yang masih boleh dirujuk bagi mendapatkan jawapan.


"Nasib saya ibarat berada di hujung mata pena media. Andaian mereka diterjemah dalam satu lembaran sehingga membuatkan pembaca atau penonton percaya.


"Malangnya, peminat atau mereka yang sering mengikuti perkembangan kerjaya saya mula bertanya sendiri akan kebenaran sesuatu cerita yang disiarkan. Kesannya, persepsi atau pandangan mula wujud di benak fikiran mereka.

"Percaya atau tidak, jika kisah negatif berkaitan seseorang selebriti dijadikan berita utama, tawaran dan layanan yang akan diterima daripada pelbagai pihak termasuk produksi, teman gelanggang, peminat dan penggiat seni lain akan mula berubah. Ada kalanya artis yang dilabel kontroversi atau dipinggirkan daripada publisiti akan hilang tawaran.

"Bohong untuk saya nafikan kepentingan media untuk kami yang mencari rezeki dalam bidang seni ini. Benar peranan media sangat penting. Namun alangkah baiknya jika pihak media dan artis dapat menyemai rasa hormat, rasional dan bertolak-ansur sesama sendiri.

"Tidak perlu terus memijak hingga tenggelam seseorang artis itu atau langsung tidak berpeluang bagi bernafas meskipun benar kesilapannya tidak mampu lagi dibendung. Sesungguhnya saya percaya, tiada siapa terlepas daripada melakukan kesilapan," lebar penerangannya.


Bagaimanapun, Iqram tidak menafikan kejengkelan gelagat sesetengah artis tempatan sehingga mencemar reputasi kerjaya artis keseluruhan, sekali gus menambah lagi persepsi serong masyarakat terhadap anak seni.


"Dosa besar jika saya menidakkan perangai segelintir artis yang kadangkala melampaui batas. Ia berlaku dan perlu diberi hukuman sewajarnya.


"Fakta tidak sesekali boleh diubah, cuma jika kritikan atau teguran itu disulam dalam satu rencana yang seimbang, pasti tiada siapa mula terasa hati atau cuba berdendam antara sendiri.


"Hipokrit, plastik, musuh dalam selimut dan hasad dengki menjadi 'makanan' saya dalam gelanggang dunia hiburan. Tidak termampu saya membendung penyakit ini, sebaliknya yang boleh saya lakukan adalah membina tembok besar dengan manusia bersifat jahat seperti itu. Saya hanya jauhkan diri dan cuba mengelak untuk bergaul.


"Tidak sesekali saya mengatakan diri saya sempurna atau baik, namun alhamdulillah saya tidak sekeji itu. Pastinya kehidupan sebagai anak teruna yang masih dirantai keluarga, saya memelihara tingkah laku seharian.


"Jika saya bencikan sifat-sifat seperti itu, tentu saya akan mencampak jauh virus itu sebelum melekat pada saya," katanya usai sesi fotografi Selebriti di jeti tasik Hotel Pullman, Putrajaya baru-baru ini.


Tiga elemen yang sudah lama dijadikan kiblat buat anak muda ini yang bakal mengintai usia 29 tahun pada Oktober depan adalah sedar diri, sedar ruang dan sedar masa.


Sentiasa bersederhana supaya tidak sesekali melupai asal usul, sedar keadaan sekeliling diri untuk tidak beraksi melampaui batas dan selalu akur kepada kepentingan masa bagi mendapatkan rasa hormat daripada pihak lain.

Sandaran populariti untuk seseorang selebriti tidak hanya memberi keselesaan, sebaliknya ia satu tanggungjawab kerana peminat melihat peribadi artis kegemaran mereka sebagai idola, inspirasi dan ikon.

Justeru, tidak mudah bagi pelakon yang pernah mewarnai filem Dunia Baru The Movie, Evolusi KL Drift dan 1957 Hati Malaya ini untuk terus bersih daripada cerita negatif dan sempurna di mata peminatnya.

Menyulam segala cerita dan pengalamannya, sesekali senyuman terukir di wajah pelakon yang popular menerusi beberapa drama rantaian termasuk Bella, Cinta Medik, Graduan, Mentari Jingga, Rempit vs Impak Maksima The Series dan La Dolce Amira ini. Bingkas menyuntik lebih semangat untuk terus bercerita dan berkongsi rasa.


"Saya bersyukur kerana laluan saya sentiasa menampakkan sinarnya meskipun tidak melalui satu kaedah pembelajaran seperti bintang program realiti sekarang. Yang saya usahakan pasti ada jalan mencapainya walaupun terpaksa berdepan seribu dugaan.


"UiTM benar-benar memberi pendedahan kepada saya untuk terus mencari tapak dalam bidang ini. Pengalaman sepanjang menyertai Persatuan Anak Seni Kampus atau PESKA banyak membuka lebih sikap berani dan menyingkap transisi bakat saya secara lebih menyeluruh. Itu yang cuba saya manfaatkan untuk dijadikan sumber pendapatan bagi diri sendiri dan membantu keluarga.


"Alhamdulillah, rezeki tidak pernah putus setakat ini. Saya percaya jika ada keikhlasan dan kesungguhan, tiada yang mustahil untuk dicapai. Bidang lakonan sudah saya terokai, dan saya bersyukur kerana ada juga pihak nampak kebolehan saya untuk mengacarakan program televisyen.


"Walaupun ia tidak seberapa, namun jauh dalam hati saya, mengacara program Gegar U (Musim 2) di Astro dan Chop! di TV9 membuktikan kehadiran saya bukan sekadar satu hobi atau tempelan," katanya yang mengagumi Datuk Siti Nurhaliza sebagai ikon seni terbaik.


Menyingkap kisah cinta jejaka peramah ini tidak sukar, namun untuk mencelah isi hatinya tidak semudah perwatakannya.


"Saya masih bersendirian tanpa wanita bergelar kekasih. Yang lebih utama adalah kerjaya dan mengimbangi segala tawaran yang sampai ke tangan.

"Bagaimanapun, saya mengaku ramai salah faham keintiman saya dengan Fouziah Gous, sedangkan realitinya kami pasangan sahabat yang rapat dan sentiasa memahami antara satu sama lain.

"Saya mengimpikan kebahagiaan sebuah keluarga. Itu harapan dan impian saya. Biar apa saja tanggapan orang luar terhadap saya. Namun untuk mengalah atau mengenangkan nasib hingga membazir air mata adalah tidak mungkin.

"Keluarga dan teman mempercayai saya. Yang penting, saya sentiasa percaya akan nama dan diri sendiri," katanya.

Oleh MURSHID EUNOS

1 Komen:

Anonymous said...

whatever dyorang nk kata ape tentang awk...
janji 2 bukan realiti hidup awk sebenar...
awk buat kerja sendiri..diam2 sudah...
lme2 mulut2 yng mngata awk 2 akan senyap...
wish u success selalu k...
wsallam.....

Post a Comment

 

ZONFINITI