Pertandingan Rumah Idaman 2009 tidak hanya menyediakan ganjaran lumayan kepada pemenang hadiah utama, tiga kedudukan terbaik dan pemenang mingguan, tetapi turut memastikan peserta yang mempunyai bakat menghias, imaginasi tinggi dan memiliki kesungguhan mengindahkan kediaman, tidak pulang dengan tangan kosong.
Meskipun tidak berjaya meloloskan diri di antara kedudukan terbaik, bakat istimewa tidak dipinggirkan tetapi diberi perhatian dan dipertimbangkan bagi pengiktirafan Hadiah Khas Juri.
Ditanya kriteria yang memungkinkan peserta dipilih memenangi anugerah berkenaan, Ketua Juri merangkap Pensyarah Kanan Reka Bentuk dan Seni Bina Dalaman, Fakulti Seni Bina Universiti Teknologi Mara (UiTM), Hamidon Abdullah berkata, peluang serta nasib mereka dinilai dan ditentukan melalui keupayaan melakukan kelainan dalam hiasan dalaman. “Saya dan panel juri bersetuju membuka laluan kepada bukan pemenang mingguan membolot anugerah ini. Selain gaya penataan lain dari biasa, penghargaan mengambil kira kemahiran peserta memanfaatkan sumber alam dalam hiasan dalaman, berkebolehan menggarap ruang mengambil inspirasi hobi serta koleksi selain mempersembahkan teori dan praktikal sewaktu mengadun sudut kediaman,” katanya.
Kenyataan dan penjelasan Hamidon dipersetujui Pensyarah Reka Bentuk Dalaman di Fakulti Seni Bina dan Persekitaran Binaan Universiti UCSI, Ariff Budiman Mohamad; Pengarang Berita Minggu, Azhar Abu Samah; Ketua Unit Grafik Berita Harian(BH), Mohd Zohri Sukimi dan Pengarang XY, Shamsul Azree Samshir selaku juri bersama sepanjang pertandingan berlangsung.
Bahkan, bermatlamat mengangkat bakat dan kreativiti, juri membuatkan keputusan menghimpunkan golongan profesional termasuk arkitek, pereka hiasan dalaman, pensyarah serta pelajar terbabit secara langsung dalam hiasan dalaman bertanding dalam kategori ini.
Empat peserta terpilih merebut Hadiah Khas Juri ialah usahawan perabot bambu dan seni taman Sunda, Mohd Ramadhan Abdul Hamid dari Batu 9, Cheras, Selangor; peniaga barangan antik, Khalid Rashid menetap di Kampung Baru, Kuala Lumpur; Eksekutif Pentadbiran, Azrina Salman dari Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan dan pereka dalaman, Salina Mat Ali dari Taman Prima Saujana, Kajang.
Pemenang bertuah bakal membawa pulang satu set sofa daripada Fella Design. Anugerah berkenaan antara hadiah menarik berjumlah RM300,000 yang ditawarkan dalam pertandingan ini seperti wang tunai cat, perabot dan perkakasan elektrik sumbangan penaja utama, ICI Paints (Malaysia) Sdn Bhd (ICI Paints) dan penaja lain iaitu LG Electronics (M) Sdn Bhd dan Fella Sales and Services Sdn Bhd yang turut mengetengahkan perabot daripada American Accents, Urban Culture dan Morph.
Selama tiga bulan pertandingan berlangsung, sesi penjurian mingguan berjaya menghimpunkan 48 kediaman memikat untuk merebut tempat serta hadiah lumayan ditawarkan. Semua pemenang berkenaan menerima produk hawa pendingin hawa LG ICE10R bernilai RM1,259 sumbangan LG Electronics Sdn Bhd (LG).
Keunikan kediaman Mohd Ramadhan yang menjadikan bahan semula jadi buluh sebagai tema kemasan, perabot serta perhiasannya melayakkan beliau bertanding merebut Hadiah Khas Juri. Kediaman berkenaan yang pada asalnya dipertandingkan bagi kediaman Eksklusif diubah kategori kepada anugerah Khas Juri setelah hakim teruja dengan kebijaksanaan pemiliknya mengeksploitasi sumber buluh sebagai sebahagian unsur hiasan rumah membabitkan struktur ruang, kemasan dinding, perabot serta perhiasan.
“Kebolehan Mohd Ramadhan menjadikan buluh teraju utama penataan sangat dikagumi kerana membabitkan pengeluaran skala bahan itu secara besar-besaran, menuntut usaha serta perbelanjaan tinggi selain berjaya membuktikan tiada yang mustahil dilakukan andai berani mengambil risiko meneroka ilham baru,” kata Hamidon.
Kata-kata Hamidon disokong Ariff yang menyifatkan Mohd Ramadhan mempunyai kesungguhan luar biasa mengetengahkan pembaharuan.
Kediaman Khalid ditunjangi gaya hiasan klasik dan antik turut menarik perhatian juri. Kecintaan beliau terhadap barangan antik dan pusaka keluarga yang dipamerkan di kabinet hiasan, dinding, ceruk serta sudut kediaman di samping pilihan perabot juga kemasan klasik menggamit juri mengubah kategori asalnya, Teres kepada Hadiah Khas Juri.
“Khalid menterjemahkan minat mendalamnya terhadap barangan lama kepada elemen penataan rumah. Bagusnya, meskipun antik dimiliki tidak terkira jumlahnya, kediaman Khalid tidak pula nampak semak dan berserabut, sebaliknya, segenap ruang tampil istimewa, tersusun selain seolah-olah mewakili perwatakan pemiliknya,” kata Ariff Budiman.
Manakala, baik Azrina mahupun Salina, biarpun keduanya mendokong gaya penataan moden kontemporari, juri berpendapat masing-masing berjaya menyerlahkan sentuhan dan daya kreativiti mengagumkan.
Mengenainya, Hamidon berkata:“Sungguh pun bermodalkan gaya penataan moden, kediaman Salina diadun dengan perasaan, selesa, bersahaja dan praktikal. Sementara, kediaman Salina mewah dan nampak ekslusif menerusi gabungan warna dramatik dan keperluan ruang dimanfaatkan sebaik mungkin. Apapun, keistimewaan serta keunikan ditawarkan empat peserta ini berupaya mengangkat martabat hiasan dalaman tempatan. Sememangnya, kriteria inilah yang kita buru dan cari dalam pertandingan kali ini.
INFO: Hadiah Khas Juri Rumah Idaman 2009
* Ditawarkan kepada bukan pemenang mingguan.
* Terbuka kepada golongan profesional seperti arkitek, pereka hiasan dalaman dan usahawan bidang ini.
* Juri menilai aspek kreativiti, bakat menghias, imaginasi tinggi dan memiliki kesungguhan mengindahkan kediaman.
Hadiah Khas Juri Rumah Idaman 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment