Presiden Poland terbunuh dalam nahas pesawat

Sunday, April 11, 2010

Presiden Poland Lech Kaczynski dan isterinya, Maria, terbunuh bersama 128 penumpang lain apabila pesawat mereka terhempas ketika hampir mendarat di barat Russia kira-kira jam 11 pagi waktu tempatan (kira-kira 3 petang waktu Malaysia), semalam.

Turut terbunuh Ketua Turus Tentera Poland, Jeneral Franciszek Gagor; Presiden Bank Nasional Slawomir Skrzypek dan Timbalan Menteri Luar, Andrzej Kremer.


Presiden bersama rombongannya dalam perjalanan ke Russia bagi menghadiri upacara memperingati ulang tahun ke-70 kematian 22,000 pegawai Poland yang menjadi mangsa pembunuhan polis rahsia Soviet di Hutan Katyn dan tempat lain di Russia dan Ukraine pada Perang Dunia Kedua.

Gabenor rantau Smolensk, di mana kemalangan itu berlaku, Sergei Anufriev, berkata tiada siapa terselamat dalam nahas terbabit.

“Pesawat Presiden Poland gagal mendarat di atas landasan. Penemuan awal menunjukkan ia melanggar bahagian atas pokok dan berkecai,” katanya kepada saluran televisyen tempatan Rossiya-24.
Rakaman dari tempat kemalangan menunjukkan serpihan pesawat berselerak di tengah hutan dan kebakaran berlaku di kawasan belukar.

Punca kemalangan tidak jelas, namun laporan berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika kabus tebal.

Kementerian Luar Poland mengesahkan Kaczynski dan isterinya berada di dalam pesawat Tupolev TU154M buatan Soviet yang berusia kira-kira 20 tahun itu.

Ketua Badan Siasatan Russia, Sergei Markin, berkata, ada 130 penumpang dalam pesawat Tu-154 berkenaan.

Sementara itu, Speaker Dewan Rendah Parlimen atau Sejm Poland, Bronislaw Komorowski akan mengambil alih tugas jawatan Presiden.

Pejabatnya mengumumkan, Bronislaw Komorowski, Ketua Sejm dalam perjalanan ke Warsaw dari bandar utara Gdansk untuk mengambil alih tugas.

Di Warsaw, Perdana Menteri, Donald Tusk memanggil mesyuarat luar biasa barisan Kabinetnya.

Jurucakap kerajaan, Pawel Gras, berkata berikutan kejadian itu, pilihan raya presiden akan disegerakan.

Kaczynski, 60, memegang jawatan Presiden sejak Disember 2005 selepas mengalahkan Tusk pada pemilihan presiden tahun itu.

Ahli politik konservatif nasionalis itu adalah abang kembar kepada pemimpin pembangkang Poland, bekas Perdana Menteri Jaroslaw Kaczynski.

Kaczynski sebelum ini berkata, beliau akan mengintai peluang bertanding bagi penggal kedua pada pemilihan musim luruh ini. Beliau dijangka berdepan tentangan sengit daripada Speaker dewan rendah Parlimen, Bronislaw Komorowski, calon pemimpin parti Civic Platform yang diketuai Tusk.

Maria, adalah seorang pakar ekonomi. Mereka mempunyai seorang anak perempuan, Marta dan dua cucu. – AP

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI