“Saya seorang yang keras kepala dan tidak akan mengalah untuk memperjuangkan nasib saya dalam bidang seni,” kata pelakon drama bersiri Anak Pontianak, Zarina An-Julie Fahizul, 23, ketika ditanya sama ada dia mahu bersara daripada industri hiburan selepas beberapa kali ditimpa kontroversi.
Malah, katanya, tiada istilah bersara dalam kamus hidupnya walaupun pelbagai tohmahan diterima sehingga mengganggu emosinya.
“Peminat saya tidak putus-putus memberi sokongan dan semangat, malah saya menganggap apa yang berlaku sebelum ini sebagai satu kesilapan sebagai manusia biasa.
“Saya anggap apabila seorang mengutuk saya, sepuluh akan tetap menyokong. Ramai memberi sokongan kepada saya terutama di laman Facebook supaya tidak mengalah terhadap tohmahan yang dilemparkan,” katanya yang dihubungi di sini, baru-baru ini.
Zarina berkata, dia juga dalam perancangan membuat single pertama tidak lama lagi untuk menceritakan luahan perasaannya terhadap semua perkara yang menimpanya sebelum ini.
Mengenai penyertaan dalam aktiviti Masyarakat Wanita Antidadah (Mawadah) kendalian Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Zarina berkata, ia bertujuan berkongsi pengalamannya dengan peserta lain.
Menurutnya, dia juga mengikuti aktiviti kaunseling bersama AADK untuk memberi kesedaran dan nasihat kepada individu yang terbabit dengan dadah.
“Baru-baru ini saya mengikuti satu program kaunseling bersama AADK untuk memberi kesedaran kepada golongan terbabit supaya mereka tidak berputus asa.
“Bila saya sertai program sebegini, barulah saya tahu ada orang lain lebih menderita dan tertekan daripada saya,” katanya.
Pada 12 Februari lalu, pelakon terbabit ditahan anggota AADK dalam operasi berhampiran Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) dan dia disahkan positif dadah berdasarkan keputusan ujian air kencing saringan yang dijalaninya. Walaupun pada awalnya ujian berkenaan positif, namun keputusan sebenar pembabitannya hanya dapat dijalankan dalam ujian patologi dan pengesahan doktor perubatan. Akhbar pada 31 Mac lalu melaporkan Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sepang, Syaiful Asfar A Rahman, mengesahkan ujian air kencing pelakon terbabit negatif selepas ujian makmal kimia Jabatan Patologi.
0 Komen:
Post a Comment