Buang mayat bayi dalam tong sampah

Monday, April 12, 2010

Masih tidak berkesudahan apabila manusia berhati syaitan sanggup membunuh zuriat sendiri dengan memilih tong sampah sebagai ‘kubur’ insan cilik ini.


Sungguh menyayat hati apabila bayi lelaki dipercayai dilahirkan dalam tempoh 24 jam lalu ditemui mati dengan berbalut empat beg plastik sebelum dibuang dalam tong sampah di Kampung Tanjung, dekat Sungai Choh, di sini, semalam.

Bayi sempurna sihat dengan kesan berdarah ditemui Mohd Kamil Enoh, 44, yang juga pekerja syarikat kutipan sampah swasta Hulu Selangor, jam 8 pagi.

Menurutnya, ketika mengambil sampah yang terdapat dalam dua tong, dia terkejut menemui satu bungkusan berat dibalut beg plastik cerah yang terdapat dalam tong sampah itu.

Katanya, ketika itu dia cemas, namun memberanikan diri membuka bungkusan itu.

“Mulanya saya nampak kaki bayi. Selepas dibuka keseluruhan pembalut itu sangkaan awal bayi dibuang memang benar sekali.

“Saya sebak dan menggigil. Bayi itu masih bertali pusat dibuang bersama urinya yang masih baru dilahirkan kerana terdapat beberapa tompokan darah padanya,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, dia mendapatkan bantuan peniaga gerai nasi ayam bersebelahan tempat kejadian bagi menghubungi polis memaklumkan perkara itu.

Katanya, pengalaman itu cukup menyentuh hatinya selepas tujuh tahun bekerja mengutip sampah di beberapa kampung di Sungai Choh itu. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, polis menerima laporan mengenai penemuan bayi berkenaan dan sedang menjalankan siasatan lanjut.

“Mayat dihantar ke Rumah Mayat Hospital Kuala Kubu Bharu, jam 9.15 pagi untuk bedah siasat.

“Sehingga kini tidak ada sebarang tangkapan dilakukan berhubung kejadian itu,” katanya.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI