Tukang karut dan pemidato politik, sama-sama memerlukan kebolehan, kepetahan berbicara. Jika tukang karut disamakan dengan pemidato politik, ada ahli politik yang tersinggung. Rasa tersinggung itu bersandarkan perasaan atau penilaian bahawa pidato politik lebih berprestij daripada nyanyian tukang karut.
Sebenarnya, tidak demikian. Dalam sesetengah hal, tukang karutlah yang patut tersinggung. Tukang karut mempunyai kecekapan memelihara rima dan rentak dalam persembahan mereka. Ahli politik berucap dengan bahasa yang bebas lepas, tanpa terikat pada rima dan rentak.
Apabila Tan Sri Mohd Isa Samad mengatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim tukang karut hebat (Sinar Harian, 10 April), saya berasakan itu ialah pujian, bukan sindiran. Saya selama ini berfikir, Anwar memerlukan masa untuk belajar menjadi tukang karut. Bahkan Isa sendiri, atau Datuk Ibrahim Ali yang sentiasa berbicara garang itu – pun perlu belajar, kerana untuk mencapai tahap tukang karut handal, latihan sehari dua tidak memadai.
Jika seseorang hendak menyampaikan sesuatu idea tentang IMalaysia melalui gaya tukang karut, dia hendaklah mahir menguasai rima. Ini ialah satu contoh:
1Malaysia disebut-sebut
Sudah dijelaskan tetap berkabut
Slogan ini dah jadi ribut
Dalam Parlimen pun berserabut.
Tukang karut dapat menyatakan keadaan seperti di atas dengan mengulang-ulang bunyi ‘but’: sebut, berkabut, ribut dan berserabut. Anwar, mahupun Isa, saya fikir memerlukan masa untuk menguasainya, iaitu menguasai rima dan rentak secara spontan.
Saya kemukakan rangkap lain bagi membuktikan tukang karut memerlukan kecekapan memelihara rima dan rentak:
Anwar Ibrahim sungguhlah hebat
Cekap bermadah pandai berdebat
Setiap isu tak pernah terlambat
1Malaysia juga disebat.
Anwar Ibrahim tak mudah menyerah
Konon Israel Najib terarah
Siapa mendengar hati berdarah
Umpama tertikam dan luka parah.
Jika kita menyokong kuat konsep 1Malaysia, mestilah berhujah dengan baik bagi mempertahankannya. Rangkap di bawah menyatakan kebaikan 1Malaysia.
Janganlah ikut perangai bohsia
Gadis moden bebas sia-sia
Jika nak maju inilah rahsia
Ikutlah prinsip 1Malaysia.
Sebenarnya rangkap di atas tidak bagus. Susah untuk saya cari kata-kata yang berakhiran ‘sia’ bagi menyampaikan kebagusan 1Malaysia. Oleh sebab susah, maka kisah ‘bohsia’ pun saya masukkan. Tidak mengapa, nama jawatan ini ialah ‘tukang karut’. Jika sesak, maka saya fikir pasti saya diizinkan untuk ‘mengarut’ dengan kata-kata sedemikian.
Rakyat Malaysia disaran bersatu padu, dan perkara ini mungkin dapat dilukiskan dengan menggunakan rangkap di bawah:
Bagai pengantin dah tutup pintu
Rakyat Malaysia mesti bersatu
Mesti gunakan tilam bermutu
Jika di lantai belakang berkematu.
Imej ‘rakyat bersatu’ dan ‘pengantin dah tutup pintu’, walaupun asing bunyinya, tetap sesuai. Persoalan rumah tangga serasi dengan persoalan rakyat dalam negara. Jumlah rakyat akan bertambah hanya dengan sikap ingin terus bersatu. Persatuan suami-isteri yang baik akan menghasilkan rakyat bermutu. Belakang isteri janganlah berkematu. Untuk itu, pilihlah tilam bermutu.
Dalam tulisan lepas, saya nyatakan Isa dan Anwar, kuat di kawasan mereka, laksana Tun Mahathir dan Tengku Razaleigh di kawasan masing-masing. Keempat-empat memiliki kawasan yang tidak boleh diganggu-gugat. Jika Mahathir masih mahu, beliau tetap wakil rakyat di Kubang Pasu. Saya tidak pasti dengan Ibrahim, dengan andaian tanpa bantuan Pas, adakah beliau kuat di kawasannya? Mungkin Perkasa memperkukuh kedudukannya.
Anwar sudah buktikan kawasannya, jika mahu dipindah wakil, hanya dapat dipindahkan kepada isterinya, dan kemudian balik kepadanya. Itu baru hanya dalam keadaan beliau ‘bergantung pada pidato’. Bayangkan jika Anwar menjadi tukang karut yang setulen-tulennya.
Namun, apabila diperhatikan, Isa berupaya lebih cepat maju dalam bidang ini. Melalui pertimbangan khusus, yang terkebelakang sedikit daripada Isa ialah Ibrahim. Saya kemukakan satu lagi:
Siapa mengumpat siapa diumpat,
Ibrahim Ali faham cepat.
Siapa melompat ke mana melompat,
Ibrahim Ali tetap bertempat.
Oleh - Rahman Shaari
Pemidato, tukang karut dalam politik
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment