QZ8501: Lebih banyak mayat di bangkai pesawat

Monday, January 05, 2015

QZ8501: Lebih banyak mayat di bangkai pesawat

Surabaya: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Indonesia percaya lebih banyak mayat penumpang dan kru akan ditemui jika bangkai pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 diangkat ke daratan.

Pasukan berkenaan kini menumpukan untuk mendapatkan lima objek besar berukuran 18 meter panjang dan 5.4 meter lebar dan dipercayai fiuslaj pesawat.

Difahamkan, sehingga semalam seramai 34 mayat penumpang dan kru pesawat itu sudah ditemui dan bakinya diyakini dapat ditemui terperangkap dalam bangkai pesawat itu.

Pengarah Operasi Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) Suryadi B Supriyadi berkata, pasukan penyelam masih meneruskan percubaan untuk mendekati 'objek besar' di dasar laut yang dipercayai bangkai pesawat malang itu.

“Sekurang-kurangnya lima kapal dilengkapi peralatan yang boleh mengesan kotak hitam pesawat dikerah ke kawasan perairan berkenaan.

“Sekiranya ia tidak boleh dilakukan oleh penyelam, kami akan menggunakan peralatan canggih dengan kemampuan mengesan objek di dasar sebelum kerja mengangkat dilakukan," katanya.

Katanya, pasukan penyelamat percaya lebih ramai penumpang dan kru akan ditemui terperangkap di dalam pesawat dan disebabkan itu pencarian bangkai pesawat adalah perkara terpenting buat masa ini.

“Bagaimanapun, hari ini misi mencari masih berjalan dan sekali lagi ia bergantung kepada keadaan cuaca.

“Penyelam cuba sampai ke lokasi bangkai semalam, namun ombak besar menghalang misi berkenaan termasuk jarak penglihatan yang terhad,” katanya. - AP

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI