Shaheizy Sam enggan ulas pengakuan Fazura

Monday, January 05, 2015

Shaheizy Sam enggan ulas pengakuan Fazura

Aktor Shaheizy Sam Abdul Samad atau Sam, 32, cukup jarang dilanda kontroversi hangat. Bagaimanapun, baru-baru ini nama Sam menjadi sebutan gara-gara pengakuan secara terbuka aktres Nur Fazura Sharifuddin di dalam program realiti televisyen miliknya, Facing Up To Fazura menerusi saluran E! yang mendedahkan, Sam merupakan bekas kekasihnya.

Dia menyatakan, mereka pernah bercinta sekitar tahun 2013, yang bibit percintaannya dimulai sewaktu sama-sama terbabit di dalam filem Manisnya Cinta di Cappadocia.


Walaupun pengakuan itu tentang kisah lampaunya, namun ia telah menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat yang menonton program tersebut kerana sebelum ini baik Sam atau aktres itu tidak pernah membuat pengakuan bercinta atau dilihat secara terbuka sebagai pasangan kekasih.

Kosmo! menghubungi ibu Sam, Khaty Fauziah untuk mendapatkan pengesahan lanjut. Beliau tidak menafikan anaknya berkawan dengan aktres itu, namun sebagai ibu, beliau tidak tahu sejauh mana hubungan mereka sama ada sebagai kekasih ataupun sekadar rakan artis biasa.

Akui Khaty, beliau tidak pernah memaksa Sam untuk berkahwin segera atau menentukan jodoh anak bongsunya itu. Jika ditakdirkan Sam bertemu jodoh dengan orang seni, beliau tidak menolaknya. Katanya, jika anaknya sudah suka dengan seorang wanita, sebagai ibu, beliau turutkan sahaja demi kebahagiaan anaknya itu.

Kosmo! juga menghubungi tuan punya badan iaitu Sam bagi mendapatkan pengesahan daripada mulutnya sendiri tentang cinta lampau dengan aktres tersebut.

Kosmo!: Selamat tahun baharu. Awal tahun, nama Sam sudah hangat gara-gara pengakuan Fazura yang mengaku Sam sebagai bekas kekasihnya. Adakah berita ini benar?

Sam: Saya rasa tidak berminat untuk menjawab tentang perkara ini. Ketika penggambaran filem Manisnya Cinta di Cappadocia, saya keluar dengan Megan Fox (ketawa).

Adakah anda tahu tentang pengakuan Fazura di sebuah program realiti televisyen?

Sejak menjadi pelakon, saya terlalu sibuk dan tidak ada masa untuk tonton televisyen. Ada rakan beritahu kepada saya tentang pengakuan itu tetapi saya tidak tahu secara terperinci kerana tidak tonton program tersebut.

Jadi, saya tidak pasti apakah jawapan yang tepat harus saya berikan. Jadi, lebih baik saya tidak perlu jawab.

Selama ini anda tidak pernah membuat sebarang pengesahan hubungan cinta dengan mana-mana wanita meskipun pernah dikaitkan dengan beberapa orang anak seni. Adakah anda terkejut apabila aktres itu membuat pengakuan secara terbuka?

Entahlah, saya tidak tahu ingin beri reaksi yang bagaimana kerana saya sendiri pun tidak pasti dengan isu ini. Apa yang boleh saya katakan, memang saya seorang yang enggan berkongsi kisah peribadi dengan semua orang kerana saya seorang yang perahsia.

Saya bebas berkawan dengan sesiapa sahaja tetapi selagi hubungan itu tidak sampai ke tahap serius iaitu tahap memang itulah wanita yang akan saya nikahi, selagi itu saya tidak kongsikan bersama peminat atau sesiapa. Jika bercakap tentang kahwin, dua tahun lepas saya sudah terasa ingin berkahwin tetapi jodoh saya agak lambat (ketawa).

Selepas ini, adakah anda masih akan bekerjasama dengannya selepas hubungan cinta kalian terputus?

Saya dan dia berkawan dan saya mengaku hubungan kami rapat. Kami tidak ada sebarang masalah jika bertemu dalam set penggambaran atau bekerjasama pada masa depan.

Khabarnya, anda kini mengembangkan wang anda dengan pelaburan, boleh kongsi bersama Kosmo!?

Jika tidak berlakon, saya akan meninjau mana-mana perniagaan yang dirasakan berpotensi untuk saya buat pelaburan. Saya berterima kasih kepada David Teo kerana dia yang banyak mengajar saya untuk menguruskan kewangan dengan betul secara konsisten supaya masa depan lebih terjamin. Bagi saya, pelaburan lebih sesuai untuk saya berbanding ada perniagaan sendiri. Jika saya buka perniagaan dengan kesibukan jadual penggambaran, saya tidak akan ada masa untuk menguruskan perniagaan tersebut.

Apakah perkembangan aktiviti seni anda pada tahun 2015?

Tahun ini saya tidak aktif seperti dahulu yang mana saya sapu sahaja semua tawaran yang datang, janji ada kerja. Sebaliknya, tahun ini saya akan lebih memilih skrip yang mampu mengguris emosi saya sebagai pelakon. Maknanya, skrip yang bagus dan mampu membuat profil lakonan saya lebih baik daripada sebelum ini.

~ KOSMO

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI