Akibat jatuh cinta dengan negro (Love Scam), wanita rugi RM500,000

Saturday, November 30, 2013 0 Komen

Love Scam : wanita rugi RM500,000

Polis menahan lima lelaki warga Afrika di sebuah apartmen mewah di Bukit Serdang yang dipercayai terbabit sindiket penipuan internet dikenali  love scam.

Penahanan dibuat selepas polis menerima laporan daripada seorang wanita yang mendakwa mengalami kerugian hampir RM500,000 diperdaya seorang lelaki warga Afrika.

Bertindak atas laporan, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields menyerbu sebuah rumah dan menahan suspek berusia lingkungan 20 hingga 30-an itu kira-kira jam 2 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah berkata, lokasi persembunyian suspek diperoleh hasil maklumat dan risikan dilakukan pihaknya.

Beliau berkata kelima-lima lelaki yang menghuni rumah itu ditahan untuk pemeriksaan.

Siasatan lanjut akan dijalankan untuk mengetahui sama suspek mempunyai kaitan dengan mana-mana kes penipuan internet pernah dilaporkan sebelum ini.

“Pemeriksaan termasuk status pasport dan ujian air kencing turut dilaksanakan,” katanya.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

4 Fakta Menarik Tentang Jepun

Saturday, November 30, 2013 0 Komen

4 Fakta Menarik Tentang Jepun

Adakah anda tahu bahawa tempoh purata kereta api tergendala di Jepun adalah kira-kira tujuh saat setiap tahun! Mereka menghargai nilai masa dengan mengutamakan setiap minit dan saat.

Orang Jepun jarang menggunakan tandatangan untuk keperluan rasmi seperti menandatangani dokumen. Tandatangan biasanya digantikan dengan cop yang perlu didaftarkan di bank.

Siaran TV di Jepun didominasi siaran masakan namun ia bertukar menjadi genre seram apabila tiba musim panas.

Bunga sakura adalah bunga istimewa negara Matahari Terbit kerana ia hanya berbunga dua minggu saja dalam setahun. Ketika berbunga, bunganya akan memenuhi keseluruhan pohon tanpa daun. Setelah dua minggu, bunga sakura akan gugur dan yang tinggal hanyalah daun hijau tanpa bunga.

Pesuruhjaya Tinggi yakin Siti Aishah warga Malaysia

Saturday, November 30, 2013 0 Komen

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Datuk Seri Zakaria Sulong yakin, Siti Aishah adalah warganegara Malaysia namun, berharap beliau masih mempunyai dokumen pengenalan diri bagi memudahkan proses mengenal pasti identiti kewarganegaraan.

Antaranya, pasport, kad pengenalan diri atau sijil kelahiran.

Jelas beliau, status Siti Aishah masa sekarang, mungkin tergolong sebagai individu yang menetap melebihi tempoh dan dokumen serta visanya telah tamat tempoh sejak sekian lama.

Menurut Zakaria, sepanjang pertemuan Siti Aishah dan kakaknya, Kamarmahtum Abdul Wahab yang disaksikan wakil Suruhanjaya Tinggi Malaysia, tiada perbincangan menyentuh isu kewarganegaraan dibangkitkan.

Ini kerana, pertemuan di lokasi rahsia itu lebih merupakan penyatuan dua beradik yang telah lama terpisah dan penuh emosi.

Zakaria berkata, pihaknya akan meneliti keperluan tersebut dan memberi bantuan sewajarnya kepada Siti Aishah.

Empat ditahan kes pukul hingga mati lelaki Melayu di DUKE

Saturday, November 30, 2013 0 Komen

Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menahan empat lelaki berusia antara 22 hingga 37 tahun bagi membantu siasatan kes membabitkan seorang lelaki Melayu berusia 32 tahun yang dipukul hingga mati di susur ke Lebuhraya DUKE pada Khamis.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, ACP Khairi Ahrasa berkata kejadian yang berlaku lebih kurang pukul 7.50 petang dilaporkan seorang anggota Polis yang kebetulan melalui tempat kejadian.

Katanya, pengadu telah melihat seramai lebih kurang 15 orang ramai sedang mengelilingi serta memukul seorang lelaki Melayu yang membawa sebuah kereta Honda Civic yang dipercayai dicuri.

"Pengadu telah bertindak memperkenalkan diri sebagai anggota polis, untuk meleraikan orang ramai dari terus menyerang dan memukul lelaki melayu berkenaan.

"Sebaliknya orang ramai terus menyerang dan memukul lelaki berkenaan tanpa menghiraukan kehadiran anggota polis," katanya dalam satu kenyataan media.

Jelas beliau pengadu berkenaan kemudiannya mendapatkan bantuan anggota polis lain dan membawa lelaki yang dipukul ke Balai Polis Sentul.

Sebaik tiba di perkarangan Balai Polis Sentul, lelaki berkenaan didapati tidak sedarkan diri dan diberikan bantuan kecemasan.

Namun lelaki berkenaan telah meningal sebelum sempat dibawa ke Hospital dan pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan di kepala.

"Mayat lelaki berkenaan telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut dan bedah siasat," katanya.

Hasil siasatan polis mendapati kejadian bermula apabila rakan pemilik kereta yang dicuri mendapat maklumat kenderaan tersebut terperangkap dalam kesesakan lalulintas di Lebuhraya DUKE.

Rakan-rakan pemilik kereta tersebut cuba menahan dua lelaki yang berada dalam kereta tersebut namun keduanya cuba melarikan diri.

Salah seorang darinya berjaya ditangkap oleh orang ramai yang berada di tempat kejadian yang turut menyerang dan memukul lelaki berkenaan.

Siasatan masih dijalankan dan polis meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat dan menyaksikan kejadian tersebut diminta tampil memberi maklumat kepada pegawai penyiasat ASP Wan Abdullah Wan Said melalui telefon nombor 03-62562280 atau 03-62562307.

Teater Kesaktian Anak Raja Gondang, Istana Budaya + Sinopsis

Saturday, November 30, 2013 0 Komen


Saksikan Teater “KESAKTIAN ANAK RAJA GONDANG”
29 November – 2 Disember 2013
8.30 malam
Panggung Sari, Istana Budaya
Tiket: http://redtix.airasia.com/Events/KesaktianGondang/

Sinopsis Teater Kesaktian Anak Raja Gondang
Kesaktian Anak Raja Gondang mengisahkan pengembaraan dan penjelajahan Raja Gondang ke negara luar untuk meluaskan lagi pengetahuan serta pengalaman dalam kehidupannya.

Sebelum Raja Gondang memulakan hasratnya itu, dia telah menyuarakan pesanan kepada bondanya, Puteri Gak Petera. Sekiranya pohon selasih yang ditanam di dalam pasu tiang seri istananya itu layu pada sebelah kiri ertinya dia berada dalam kesusahan.

Jika pohon itu segar maknanya dia berada dalam kesenangan. Apakah kesudahannya?

Tiket bagi menyaksikan naskhah yang dijadualkan dipentaskan dari 29 November hingga 2 Disember ini dijual pada harga dari RM33 hingga RM253.

Untuk maklumat lanjut tentang teater ini, sila hubungi Istana Budaya, Jalan Tun Razak menerusi talian 03-4026 5555 atau layari laman sesawang www.istanabudaya.gov.my.


Persembahan Mak Yong Kesaktian Anak Raja Gondang menampilkan keunikan selain mempunyai tarikan tersendiri yang mampu menghiburkan penonton dalam pementasannya yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, semalam.

Pentas panggung yang dibuka dengan tarian Rebab tepat pukul 9 malam selama 20 minit oleh Rosnan Rahman yang memainkan watak sebagai Pak Yong.

Menurut Pengarahnya, Fatimah Abdullah, secara keseluruhan persembahan pada malam pratonton ini berjalan lancar seperti yang dirancang.

Namun, penggunaan bahasa dengan dialek Kelantan agak menyukarkan penonton yang tidak memahami bahasa negeri tersebut.

Secara keseluruhan persembahan adalah lancar dan menghiburkan.

Teater ini membariskan pelakon terkenal tanah air yang terdiri daripada Rosnan Rahman, Vanida Imran, Datin Sofea Jane, Sabri Yunus dan Isey Fazlisham.

Pementasan bermula pada 29 November hingga 1 Disember ini di Panggung Sari, Istana Budaya.

Kerajaan Pulau Pinang naikkan elaun ADUN mulai 1 Jan 2013

Saturday, November 30, 2013 0 Komen

Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan kenaikan elaun Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kepada RM6,000 sebulan berkuat kuasa 1 Jan ini.

Ketua Menteri Lim Guan Eng ketika membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan 2014 di persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini, berkata elaun ketua pembangkang juga dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM2,000 sebulan.

"Kerajaan negeri sedar bahawa elaun anggota dewan undangan negeri sebanyak RM4,112.79 sebulan tidak berubah sejak Januari 2004 dan jumlah ini tidak setimpal dengan beban tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada anggota-anggota dewan undangan negeri.

"Oleh yang demikian kerajaan negeri telah bersetuju untuk meminda Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Saraan)(Pindaan) 2005 supaya kadar elaun bulanan ditambah kepada RM6,000 yang akan dibayar pada 1 Jan 2014," katanya.

Pulau Pinang mempunyai 40 Adun dan 10 daripadanya adalah Adun BN yang diwakili oleh UMNO.

Lim yang ditemui pemberita kemudian enggan mengulas sama ada gaji ketua menteri dan exco juga akan turut dinaikkan.

"Saya hanya sebut apa yang saya sebut dalam Dewan," katanya.

Dalam pembentangan bajet negeri itu Lim turut mengumumkan pemberian bonus setengah bulan gaji dengan minimum RM700 kepada penjawat awam negeri yang akan dibayar pada bulan depan.

"Keseluruhannya, pemberian bonus kerajaan negeri kepada perkhidmatan awam dalam tahun 2013 ialah satu bulan gaji. Guru-guru dan penyelia Kafa (Kelas Agama dan Fardu Ain) juga akan diberi sebanyak RM400 seorang," katanya.

Mawar Putih Tanda Perpisahan menang drama terbaik Anugerah Skrin 2013 (ASK 2013)

Saturday, November 30, 2013 0 Komen

Pemenang Anugerah Skrin 2013 (ASK 2013)


Drama Mawar Putih Tanda Perpisahan terbitan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd telah dinobatkan sebagai Drama Terbaik dalam Anugerah Skrin 2013 (ASK2013) yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam malam tadi.

Drama lakonan Dato` Rosyam Nor dan Nad Zainal itu berjaya menewaskan beberapa buah drama lain yang turut memberi saingan hebat seperti Aku Bukan Malaikat, Di Bawah Langit Mu, Fatihah Untuk Abah dan Neraka Abah.

Selain merangkul anugerah Drama Terbaik, Mawar Putih Tanda Perpisahan turut merangkul dua lagi anugerah iaitu Videografi Terbaik (Mohd. Faizal Mohd. Ali) dan Lakon TV Terbaik (Mazlan Manan).

Sebuah lagi drama yang turut memberi saingan hebat, Aku Bukan Malaikat pula berjaya merangkul dua anugerah untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik menerusi Datin Paduka Umie Aida dan Pengarah Terbaik (Erma Fatima).

Sementara itu, dalam kategori filem pula KIL terbitan Grand Brilliance telah memenangi empat daripada tujuh anugerah utama yang dipertandingkan termasuk bagi kategori Filem Terbaik.

Filem berkenaan turut memenangi anugerah untuk kategori Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Terbaik menerusi Nik Amir Mustapha serta Pelakon Wanita Terbaik (Cristina Suzanne).

Aktor popular, Shaheizy Sam pula telah memenangi Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem Saya Amat Mencintaimu, manakala Khir Rahman dan Miera Liyana pula masing-masing muncul pemenang untuk kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Rock Oo) dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Miera Liyana).

Berikut ialah keputusan penuh ASK 2013:

Kategori Drama

Drama Terbaik - Mawar Putih Tanda Perpisahan (Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd)

Pelakon Lelaki Terbaik - Wan Hanafi Su (Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman)

Pelakon Wanita Terbaik - Datin Paduka Umie Aida (Aku Bukan Malaikat)

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik - Hasnol Rahmat (Tunggu Sekejap)

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik - Izreen Azminda (Perempuan Itu Ibuku)

Pengarah Terbaik - Erma Fatima (Aku Bukan Malaikat)

Videografi Terbaik - Mohd. Faizal Mohd. Ali (Mawar Putih Tanda Perpisahan)

Artis Harapan Pantene - Shasha Al Khred (Kawan)

Lakon TV Terbaik - Mazlan Manan (Mawar Putih Tanda Perpisahan)

Drama Rantaian Terbaik - Surat Dari Langit Biru (Rashbir Media Sdn. Bhd)

Drama Komedi Terbaik - Mentua Vs Mentua (Primeworks Studios)

Kategori Filem

Filem Terbaik - KIL (Grand Brilliance)

Lakon Layar Terbaik - Nik Amir Mustapha (KIL)

Pengarah Terbaik - Nik Amir Mustapha (KIL)

Pelakon Wanita Terbaik - Cristina Suzanne (KIL)

Pelakon Lelaki Terbaik - Shaheizy Sam (Saya Amat Mencintaimu)

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik - Miera Liyana (Pecah)

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik - Khir Rahman (Rock Oo)



Ubat murah punca pondan suka bereksperimen

Friday, November 29, 2013 0 Komen

Bekalan ubat murah serta mudah diperoleh antara faktor mendorong golongan 'mak nyah' atau pondan ghairah bereksperimen demi mengubah penampilan mereka setanding wanita sejati.

Bekas mak nyah, Mohd Khariri Ramli, 36, atau lebih mesra dipanggil Erin berkata pil hormon seperti Marvelon dan Mercilon yang digunakan golongan itu untuk membesarkan payudara hanya berharga sekitar RM9 hingga RM10, serta mudah dibeli di kebanyakan farmasi di negara ini.

"Selain pil hormon, suntikan kolagen, implan, hormon, vitamin C dan B boleh didapati dengan harga serendah RM20 dan lebih cepat kesannya... kalau kita pelanggan tetap boleh pula dapat harga istimewa," katanya ketika ditemui pemberita Bernama selepas forum 'Dulu Mak Nyah Kini Berubah' di kampus Universiti Sains Malaysia, di sini pada Khamis.

Beliau menyarankan pengeluaran produk sedemikian dikawal, selain penjualannya dihadkan kepada golongan tertentu sahaja bagi mengelakkan bahan itu disalah guna untuk kegiatan tidak bermoral.

Bernama melaporkan, Mohd Khariri yang bergelumang dalam dunia mak nyah selama 17 tahun mengaku pernah mengambil pelbagai suntikan serta ubat-ubatan dan tidak lokek membelanjakan ratusan ribu ringgit bagi membiayai beberapa pembedahan pada wajah dan tubuhnya untuk kelihatan cantik.

Guru sebuah sekolah di Klang, Selangor itu, akhirnya bertekad kembali ke pangkal jalan selepas jauh menyimpang dalam kehidupan songsang yang penuh kepura-puraan dan keseronokan palsu.

Mengimbas perjalanan hitam dalam hidupnya, Mohd Khariri berkata beliau menjalani rutin sebagai guru lelaki pada sebelah siang dan bertukar watak menjadi seorang wanita pada sebelah malamnya.

Bagaimanapun, selepas menempuh pengalaman pahit 'bercinta' dengan beberapa lelaki, beliau tekad untuk menjalani hidup normal.

"Saya pernah terkena ilmu hitam, dibelasah teman lelaki dan duit gaji saya setiap bulan habis dikaut oleh lelaki yang hanya tahu mengambil kesempatan dan tidak ikhlas menyayangi saya," katanya.

Beliau juga mengambil keputusan membuang kolagen dan implan yang disuntik ke dalam tubuhnya ekoran kesihatannya sering terganggu akibat ketidakseimbangan hormon selain kerap mengalami kekejangan otot.

"Azabnya hanya Tuhan saja yang tahu, semasa pembedahan itu saya dapat rasa doktor toreh kulit dan koyak bahagian dagu hingga menampakkan tulang sebelum kikis kolagen yang sudah menjadi lemak. Saya ibaratkan itulah hukuman yang perlu diterima kerana cuba mengubah ciptaan-Nya," katanya.

Beliau kini aktif menyampaikan mesej kesedaran kepada pelajar sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi mengenai bahaya transgender dan giat membantu golongan itu kembali ke pangkal jalan.

Nama Sembilan Ahli MT Umno Yang Baru Dilantik

Friday, November 29, 2013 0 Komen


Ustaz Kazim Elias Antara Sembilan Ahli MT Umno Yang Baru Dilantik

Barisan ahli Majlis Tertinggi Umno kini lengkap dengan lantikan sembilan lagi anggota baru oleh Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak, termasuklah pendakwah terkenal Kazim Elias.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata pelantikan dibuat atas kuasa presiden parti dan ia terkandung dalam Perlembagaan Umno Fasal 9.2.8.

Tengku Adnan berkata surat pelantikan akan diedarkan kepada mereka pada Jumaat dan mereka dijangka mengangkat sumpah pada 4 Disember ini.

"Status mereka adalah sama dengan MT yang dipilih perwakilan," katanya.

Berikut adalah sembilan nama ahli MT yang baru dilantik:

1. Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz

2. Datuk Hamzah Zainudin

3. Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin

4. Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin

5. Datuk Irmohizam Ibrahim

6. Datuk Johari Abdul Ghani

7. Tan Sri Prof. Dr. Ibrahim Abu Shah

8. Dr. Asyraf Wajdi Dasuki

9. Mohammad Kazim Elias

Pada mesyuarat MT Umno baru-baru ini, Najib mengumumkan empat ahli MT tambahan iaitu Naib Ketua Wanita, Datuk Azizah Mohd Dun, Penolong Setiausaha Wanita Umno, Datuk Rosni Sohar, Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun dan Naib Ketua Puteri Zahida Zarik Khan.

Lebih 145,000 perwakilan telah memilih barisan 25 anggota MT Umno pada pemilihan 19 Oktober lalu.

Pelantikan terbaru ini menjadikan jumlah ahli MT Umno keseluruhan seramai 38 orang.

Latar belakang ahli MT yang baru

Nama Mohamed Nazri bukanlah asing dalam Umno kerana beliau sebelum ini pernah memegang jawatan Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia dan pernah memangku jawatan Ketua Pemuda ketika era Tan Sri Rahim Thamby Chik mengetuai pergerakan itu pada tahun 1994-1995.

Beliau yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dilantik sebagai Menteri Pelancongan dan Kebudayaan selepas PRU-13.

Sementara itu, Hamzah Zainudin pula merupakan bekas Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Larut kini dilantik sebagai Timbalan Menteri Luar.

Mohd. Sharkar Shamsudin pula merupakan Adun Lanchang dan Ketua Umno Bahagian Temerloh, Pahang.

Beliau juga baru-baru ini dilantik sebagai Timbalan Ketua Perhubungan Umno Pahang adalah juga Exco Pelancongan Negeri.

Sharkar pernah dilantik sebagai setiausaha kerja Pergerakan Pemuda Umno Malaysia pada tahun 1994 semasa Rahim menjadi ketua pemuda.

Seperti Mohamed Nazri, nama Raja Nong Chik juga tidak asing dalam politik Umno.

Beliau merupakan bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar dan bekas senator.

Bagaimanapun pada pilihan raya yang lalu beliau tewas kepada Nurul Izzah Anwar di Parlimen Lembah Pantai.

Pelantikan Irmohizam Ibrahim pula dilihat tepat dalam usaha meremajakan parti.

Beliau merupakan pegawai khas kepada perdana menteri dan merupakan anggota Lembaga Pemegang Amanah iM4U.

Pada pilihan raya lalu, beliau menewaskan calon terkenal PAS, Dr Dzulkefli Ahmad di Parlimen Kuala Selangor.

Sementara itu, Johari Ghani pula merupakan seorang usahawan Bumiputera yang terkenal dan kini merupakan ahli Parlimen Titiwangsa dan juga Pengerusi UDA Holdings Bhd yang baru.

Beliau adalah juga Ketua Umno Bahagian Titiwangsa.

Pelantikan Prof. Dr Ibrahim Abu Shah dilihat melengkapkan barisan kepimpinan parti kerana beliau merupakan seorang ahli akademik dan nasionalis terkenal.

Merupakan bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), beliau pernah menjawat beberapa jawatan dalam Umno termasuk menjadi pengasas dan Pengerusi Kelab Umno Carbondale, Amerika Syarikat pada 1983.

Dr Asyraf Wajdi Dasuki pula merupakan bekas Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan baru-baru ini dilantik sebagai Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Beliau merupakan bekas pelajar terbaik Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan pemegang ijazah dan sarjana dalam bidang perakaunan dan juga perbankan Islam.

Asyraf adalah anak kepada seorang pendakwah terkenal iaitu Datuk Dasuki Ahmad.

Manakala Mohammad Kazim Elias merupakan seorang tokoh agama dan penceramah terkenal di negara ini.

Pelantikannya bagaimanapun sudah pastinya mengejutkan ramai pihak termasuklah para pemerhati politik.

 

Siti Aishah akhirnya dipertemukan dengan kakak, Kamarmahtum

Friday, November 29, 2013 0 Komen

Siti Aishah akhirnya dipertemukan dengan kakak, Kamarmahtum

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Datuk Seri Zakaria Sulong mengesahkan Kamarmahtum Abdul Wahab telah berjumpa dengan Siti Aishah di suatu lokasi rahsia.

Perjumpaan selama setengah jam itu dilakukan di sebuah lokasi yang dirahsiakan oleh pihak Scotland Yard, dan ia merupakan perjumpaan pertama bersendirian di antara kedua-duanya.

Dalam pertemuan itu, Kamarmahtum meminta adiknya agar mengutus surat buat ahli keluarga yang masih diingatinya di Malaysia.

Dalam pada itu, Zakaria turut memberi jaminan kepada Siti Aishah bahawa pihaknya akan memberi bantuan sewajarnya kepada wanita terbabit yang menjadi hamba di London selama 30 tahun.

Zakaria turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak berkuasa Britain kerana telah memberi kerjasama dan bantuan dalam mengaturkan pertemuan kedua-dua saudara yang terpisah selama 30 tahun itu.

Kahwin kerana telah diperkosa, kata bapa remaja cerai talak tiga

Friday, November 29, 2013 0 Komen

“Saya kahwinkan dia kerana dia telah diperkosa,”

Itu kata ayah kepada remaja perempuan Nor Fazira Saad, 13 yang diceraikan talak tiga oleh suaminya, Mohd Fahmi Mohamed Alias, 20.

Ayah Nor Fazira, Saad Mustafa, 44, berkata demikian kepada akhbar The Star dalam satu laporan eksklusif ekoran kisah penceraian pasangan remaja terbabit yang tersebar luas di media.

Menurut Saad, dia mengizinkan pernikahan anaknya dengan Mohd Fahmi kerana Nor Fazira telah diperkosa oleh Mohd Fahmi dan dua kawan lelakinya empat bulan sebelum perkahwinan itu dilangsungkan.

Saad memberitahu The Star bahawa kes itu telah dilaporkan kepada polis pada 15 Julai 2012, namun dia didatangi ibu bapa Mohd Fahmi selama beberapa hari berturut-turut merayu agar laporan itu ditarik balik kerana tidak mahu Mohd Fahmi disabit kesalahan dan menerima hukuman penjara.

Ekoran rayuan itu, dia sebagai bapa memahami permohonan mereka dan bersetuju untuk menarik balik laporan polis yang dibuat serta menikahkan anaknya dengan Mohd Fahmi yang ketika itu berusia 19 tahun pada 17 November 2012.

Nor Fazira turut memberitahunya pada Oktober 2013 bahawa dia tidak tahan dengan layanan keluarga mertuanya dan memutuskan untuk meminta cerai. Saad turut berkata bahawa keluarga Mohd Fahmi memang tidak menyukai anaknya dari mula perkahwinan dan Nor Fazira juga selalu didera secara fizikal serta tidak diberi makan oleh keluarga mertuanya.

Mohd Fahmi yang ditemui oleh The Star pula menafikan dakwaan Saad dan berkata dia hanya meniduri Nor Fazira setelah mereka sah diijabkabulkan.

Memetik Mohd Fahmi sebagai berkata kepada The Star, dia menceraikan Nor Fazira kerana bekas isterinya itu mempunyai hubungan sulit dengan seorang lelaki dari Kuala Ketil.

Nor Fazira juga ujar Mohd Fahmi, biadab terhadap keluarganya dan tidak pernah memasak serta selalu keluar dari rumah sekiranya tidak puas hati.

Mohd Fahmi turut menafikan dakwaan bahawa Nor Fazira didera dan tidak diberi makan. Tambahnya lagi, keluarga mereka melayan Nor Fazira dengan baik walaupun perlakuan remaja wanita itu teruk.

Peningkatan ibu muda di Malaysia membimbangkan

Friday, November 29, 2013 0 Komen

Peningkatan ibu muda dan remaja di Malaysia membimbangkan

Jumlah ibu muda yang semakin meningkat di Malaysia menimbulkan kebimbangan pertubuhan pembangunan keluarga tempatan dan antarabangsa.

Tahun lepas sahaja, lebih 18,000 remaja melahirkan anak di negara ini, 75 peratus daripadanya oleh remaja yang berkahwin dan selebihnya akibat perbuatan sumbang.

Wakil Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNFPA) Malaysia Michelle Gyles-McDonnough berkata peningkatan jumlah ibu muda bererti semakin ramai wanita kehilangan peluang untuk mencapai potensi tertinggi masing-masing dalam kehidupan dan seterusnya meningkatkan kadar kemiskinan serta memberi kesan langsung terhadap ekonomi negara.

"Apabila seorang remaja perempuan berkahwin, ia akan mewujudkan pelbagai isu, daripada menamatkan  serta-merta peluangnya dalam pendidikan, menjejaskan peluang pekerjaan dan kerjaya pada masa akan datang, menariknya ke lembah kemiskinan dan mengehadkan kemampuannya untuk menyumbang kepada negara," kata beliau pada majlis pelancaran laporan Keadaan Penduduk Dunia 2013 "Menjadi Ibu Ketika Kanak-kanak: Menghadapi Cabaran Kehamilan Remaja" di sini pada Khamisi.

Beliau berkata oleh itu, wujud keperluan memberi pendidikan seks sewajarnya bagi mendidik masyarakat tentang pentingnya mencegah perkahwinan dan kegiatan seks ketika usia muda.

Gyles-McDonnough berkata pendidikan seperti itu terbukti dapat membimbing kanak-kanak supaya menangguhkan keinginan mereka untuk melakukan hubungan jenis dan tanggungjawab yang perlu mereka pikul akibat perbuatan masing-masing.

Katanya menyalahkan remaja perempuan bagi kehamilan yang berlaku dalam kalangan mereka sahaja tidak dapat menyelesaikan masalah kerana sebenarnya masyarakatlah yang perlu bekerjasama dengan penggubal undang-undang untuk mendidik golongan itu dan memberi peluang kepada mereka untuk memanfatkan potensi diri masing-masing dengan sepenuhnya.

Sementara itu, pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Tan Sri Napsiah Omar berharap anggota Parlimen memainkan peranan aktif dalam mendidik orang ramai supaya mencegah perkahwinan kanak-kanak di kawasan masing-masing.

Beliau berkata Malaysia perlu memberi perhatian terhadap isu ini kerana ia memberi kesan langsung terhadap masa depan negara.

"Sebagai negara membangun, isu ini perlu dibincang dan diselesaikan agar Malaysia tidak kehilangan pemimpin masa depannya," kata beliau sambil menambah bahawa penggubal undang-undang di negara ini perlu bertindak secara serius untuk mengubah persepsi rakyat Malaysia tentang perkahwinan kanak-kanak dan kehamilan remaja. ~ Bernama

Siti Aishah hanyut dalam ledakan kreativiti dan pertembungan ideologi

Friday, November 29, 2013 0 Komen

Fenomena kumpulan The Beatles dan pertembungan ideologi memuncak ketika era 60-an dan 70-an mendominasi proses pembentukan identiti golongan muda di United Kingdom ketika itu.
 
Menurut Bekas Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Tan Sri Razali Ismail, senario itu menjadi latar kepada misteri kehilangan Siti Aishah Abdul Wahab, yang didakwa menjadi hamba selama 30 tahun di London.
 
Razali turut menyifatkan senario di United Kingdom ketika itu meraikan perbezaan turut menyumbang kepada pembentukan pemikiran pelajar-pelajar Malaysia di dalam sesuatu pergerakan mahasiswa.
 
"Pada masa itu perjuangan ideologi sedang memuncak. Waktu itu adalah masa terbaik kepada mereka mendapatkan maklumat dan ilmu mengenai pelbagai ideologi. Suasana waktu itu amat hebat kepada anak-anak muda untuk bersama merasainya," kata Razali yang juga Pengerusi Gerakan Kesederhanaan Global GMM.
 
Razali berkongsi pengalamannya menceritakan senario pelajar-pelajar Malaysia di London semasa berkhidmat sebagai Kaunselor di Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di sana pada tahun 1970-1972.
 
Lanskap geo-politik dunia ketika itu menyaksikan kempen pendemokrasian sedang rancak berjalan dan sedang mengambil tempat di dalam mempengaruhi bukan sahaja hala tuju malah sistem sesebuah negara.
 
Keadaan itu sekaligus menyaksikan pertarungan sengit pelbagai ideologi terutamanya sosialisme, komunisme dan kapitalisme serta sering diperjuangkan setiap gerakan mahasiswa.
 
Razali berpendapat, apa yang berlaku kepada Siti Aishah bukanlah sesuatu yang asing di dalam proses sosialisasi anak-anak muda, terutama mereka yang aktif beraktivis.
 
"Dicampur pula dengan keghairahan fenomena muzik The Beatles, mahasiswa Malaysia ketika itu juga tidak terlepas sebaliknya bersama di dalam era itu," ujar beliau.
 
Walau bagaimanapun pada masa yang sama, beliau percaya wanita itu tidak diperhambakan seperti mana yang dibayangkan sebahagian besar masyarakat.
 
"Saya tidak percaya beliau jadi hamba dan sebagainya. Tapi saya lebih percaya ia lebih kepada pilihan sendiri. Dia juga seorang yang pintar."
 
Beliau secara umumnya melihat episod kehilangan Siti Aishah sebagai sesuatu yang menarik dan refleksi kepada senario anak muda era 70-an.

~ Awani

Panduan Dunia Pekerjaan: Jangkaan Pekerja Baru

Friday, November 29, 2013 0 Komen

Panduan Dunia Pekerjaan: Jangkaan Pekerja Baru

Jangkaan untuk dicabar

Jangan menganggap tugas yang belum difahami sebagai sesuatu yang merisaukan sebaliknya, lihatlah ia sebagai peluang untuk anda belajar. Hakikatnya, tidak ada manusia yang dilahirkan mengetahui semua perkara dalam kehidupan masingmasing sebaliknya, perlu belajar untuk memahaminya.

Walaupun sudah mempelajari banyak perkara mengenai diri sendiri, anda juga akan mengalami banyak kejutan apabila mempelajari tentang orang lain. Kehidupan di universiti hakikatnya berbeza daripada kehidupan sebenar di luar sana.

Apabila berada dalam dunia pekerjaan, anda akan lebih terdedah dan berjumpa dengan orang yang memiliki pelbagai watak dan ragam. Anda mungkin berhadapan dengan ketua yang sangat cerewet atau tegas, individu yang pentingkan diri atau sekumpulan manusia yang suka bergosip.

Namun, jangan bimbang kerana anda juga akan berjumpa dengan beberapa rakan sekerja yang baik dan boleh bekerjasama atau ketua yang suka membimbing dan menjadi mentor.

Jangkaan menerima penghargaan

Penghargaan dan ganjaran adalah pengiktirafan yang diberi organisasi kepada pekerja yang menghasilkan mutu kerja cemerlang.

Dalam konteks ini, anda tidak perlu menonjolkan diri dan mengatakan bahawa anda layak untuk mendapat anugerah cemerlang atau bonus tahunan kerana anda dinilai ketua pada akhir tahun.

Bagaimanapun, anda tidak perlu berasa malu jika mendapat penghargaan atau ganjaran daripada ketua atau majikan.

Kebiasaannya, majikan yang bijak akan mengetahui masa yang sesuai untuk memberikan pengiktirafan dan ganjaran kepada pekerja yang rajin dan berdedikasi.

Pengiktirafan itu sama ada dalam bentuk anugerah, kenaikan gaji atau kenaikan pangkat.

Namun, jika sebaliknya, jangan berasa kecewa kerana mungkin belum tiba masanya untuk anda menerima pengiktirafan itu.

Jangkaan berasa bosan

Berasa bosan adalah sesuatu yang biasa berlaku dalam kehidupan seseorang, termasuk pada awal alam kerjaya.

Antara tanda keadaan itu berlaku apabila anda kerap melihat jam dan tidak sabar menunggu waktu kerja tamat.

Persoalannya ialah apakah yang akan anda lakukan jika mengalaminya? Hakikatnya, kadangkala minda kita memerlukan rehat. Oleh itu, janganlah terlalu bimbang tentang perasaan itu.

Apa yang perlu dilakukan ialah anda berehat dengan secukupnya.

Pada hari berikut, datang ke tempat kerja seperti biasa dan bersedia untuk melalui waktu kerja yang lebih baik dengan fikiran yang positif.

Tidak dapat dinafikan bahawa kadangkala anda berasa bosan kerana melakukan tugasan yang sama.

Ini mungkin petanda bahawa anda sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab lain yang lebih mencabar.

Maka beritahu perkara itu kepada ketua dengan harapan anda mendapat tugasa n baharu yang lebih mencabar atau mencadangkan kepadanya mengenai tanggungjawab baharu yang ingin dilakukan.

Jangkaan untuk berubah

Seseorang itu dianggap bertuah jika mendapat kerja yang menjadi impian selepas bergraduat. Tentunya anda begitu berminat dan teruja dengan tugas yang diamanahkan.

Anda dianggap melakukan tindakan yang bijak jika memilih untuk terus bekerja dan mendapatkan pengalaman yang terbaik dalam kerjaya itu.

Walau bagaimanapun, jika berasa bahawa anda telah melakukan yang terbaik untuk tugas itu, mungkin anda boleh membuat jangkaan bahawa sudah sampai masanya untuk melakukan perubahan dengan berhijrah ke organisasi lain untuk mencari pengalaman baharu.

Penghijrahan itu mungkin boleh berlaku dalam jangka waktu yang singkat atau lebih lama selepas pekerjaan pertama anda.

Jangkaan memperoleh kebahagiaan

Bagi pekerja baharu, memasuki alam kerjaya adalah sebuah perjalanan yang menarik dan mempesonakan. Jika serius dengan tugas dilakukan itu, anda mampu menjadi seorang pekerja yang profesional, berkualiti dan berwibawa.

Pencapaian yang hebat itu mungkin membolehkan anda membuat jangkaan bahawa anda berasa bahagia dengan pekerjaan itu dan mungkin kekal untuk tempoh yang lama.

Kesimpulannya, anda boleh mencubanya sebagai panduan apa yang dibincangkan dalam dua siri mengenai jangkaan pekerja baharu tetapi harus mengikut kemampuan diri. Berusahalah meningkatkan pengetahuan dan kemahiran agar dapat membuat jangkaan untuk menjadi pekerja yang terbaik lagi cemerlang pada masa hadapan.

Oleh Dr Mohd Yahya Mohd Ariffin

* (Profesor Madya dan Timbalan Dekan, Fakulti Kepemimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia)

Kenaikan gaji Menteri Besar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor keterlaluan

Friday, November 29, 2013 0 Komen

Kenaikan gaji Menteri Besar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor keterlaluan

Kenaikan gaji Menteri Besar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor disifatkan sebagai keterlaluan dan tidak setimpal dengan perkhidmatan yang diberikan.

Presiden Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin berkata, pertambahan sebanyak 87 peratus hingga 373.3 peratus dilihat tidak munasabah bagi negeri yang masih mempunyai masalah dari segi infrastruktur.

"Peruntukan kewangan sepatutnya dilebihkan untuk menangani masalah-masalah yang dihadapi rakyat seperti perkhidmatan air yang tidak memuaskan, keadaan longkang tersumbat, jalan raya berlubang dan sungai terbiar.

"Kenaikan gaji tidak salah, malah menjadi keperluan. Namun biarlah dilakukan secara berhemah. Janganlah keterlaluan dalam perbelanjaan saraan ADUN tanpa mengambil kira kepentingan rakyat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor semalam meluluskan kenaikan gaji untuk kesemua 56 ADUN, berkuat kuasa 1 Januari depan, dengan Timbalan Speaker DUN mendapat kenaikan tertinggi iaitu 373.3 peratus.

Rang Undang-undang Enakmen Anggota Pentadbiran dan Anggota Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2013 juga memperuntukkan kenaikan gaji Menteri Besar Selangor, Speaker DUN dan barisan Exco kerajaan negeri.

Tambah Hamidzun, kerajaan negeri seolah-olah mengambil kesempatan terhadap kewangan yang diperoleh daripada hasil cukai yang dipungut daripada rakyat.

"Lihat sahaja dari segi pungutan cukai, lewat membayar cukai pintu, dikenakan denda sehingga RM200, lambat melunaskan cukai tanah, dikenakan denda RM100.

"Seolah-olah pihak kerajaan negeri mengambil kesempatan terhadap wang yang diperoleh daripada hasil tekanan yang dikenakan terhadap pembayar cukai," katanya.

Beliau berkata, sidang tersebut sepatutnya mengusulkan sekali kenaikan gaji kakitangan kerajaan negeri itu memandangkan mereka turut bekerja bersama pemimpin-pemimpin tersebut dalam mentadbir Selangor.

"Kenaikan kakitangan kerajaan negeri perlu setimpal dengan kenaikan gaji ADUN, sekurang-kurangnya 50 peratus atau 89 peratus," katanya.

Sementara itu, Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Prof. Datuk Seri Saharuddin Awang Yahya merasakan kenaikan gaji Menteri Besar Selangor dan ADUN berkenaan terlalu tinggi.

"Kerajaan negeri dilihat seolah-olah cuba membolot hasil negeri dan lebih mengutamakan gaji mereka daripada kebajikan rakyat.

"Sepatutnya peruntukan kewangan Selangor dilebihkan untuk kegunaan kebajikan rakyat dan usaha pembangunan infrastruktur negeri itu," katanya.

Jelasnya, banyak lagi program dan kegunaan lain yang lebih penting untuk dibiayai daripada menumpukan kenaikan wakil rakyat yang belum menunjukkan prestasi pentadbiran memuaskan.

Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia- Jepun (MJIIT) bawa ilmu dari teknologi Jepun

Friday, November 29, 2013 0 Komen

Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia- Jepun (MJIIT) bawa ilmu dari teknologi Jepun

Ditubuhkan sejak 2010 dengan matlamat untuk menyediakan pendidikan kejuruteraan Jepun di Malaysia yang berpatutan dan mudah Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia- Jepun (MJIIT) terus mengorak langkah untuk menjadi hab penyelidikan dan pembangunan terunggul. Ikuti perkembangan terkini mengenai MJIIT bersama Dekan, Prof Ir Megat Johari Megat Mohd Noor yang dikongsikan kepada wartawan, Khairunnisa Kamarudin.

S: Berapakah jumlah pelajar yang terdapat di MJIIT?

J: Sehingga kini, kira-kira 550 pelajar sedang mengikuti pengajian di MJIIT iaitu 200 program Doktor Falsafah (PhD) manakala baki 300 pelajar lagi mengikuti program ijazah sarjana muda dalam pelbagai pengkhususan. Daripada keseluruhan jumlah pelajar, kira-kira 25 peratus ialah pelajar luar negara manakala selebihnya pelajar tempatan. Namun begitu jumlah pelajar antarabangsa akan ditingkatkan lagi bagi mencapai sasaran 40 peratus kemasukan pelajar luar negara pada tahun akan datang. Kewujudan MJIIT cukup signifikan kerana menjadi lambang pengukuhan kerjasama pendidikan tinggi kerajaan Jepun dan Malaysia dalam usaha melahirkan lebih ramai graduan berkemahiran dalam bidang teknologi, selain menonjolkan Malaysia sebagai pusat pembelajaran teknikal dan pembangunan kejuruteraan terkemuka di rantau ini.

S: Keunikan MJIIT terletak kepada teknologi Jepun serta tenaga pengajar dari negara, adakah konsep pembelajarannya mempunyai perbezaan ketara dengan kursus kejuruteraan sedia ada di Universiti Teknologi Malaysia (UTM)?

J: Pembelajaran (P&P) di MJIIT tidak banyak perbezaannya tetapi pengisiannya memberi nilai tambah kepada pelajar tempatan kerana mereka mendapat pendedahan dan tunjuk ajar daripada tenaga pengajar atau pensyarah berpengalaman dari Jepun selain penerapan budaya kerja masyarakat negara matahari terbit itu.

Mereka juga berpeluang menjalani latihan praktikal sama ada penyelidikan makmal ataupun bekerja dengan industri di Jepun bagi memberi lebih banyak pendedahan mengenai pembangunan teknologi yang maju dari Jepun selain mempelajari budaya dan bahasa Jepun.

Proses P&P menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantara tetapi menggunakan sistem pembelajaran Jepun yang diguna pakai di universiti di sana. Setakat ini, MJIIT bekerjasama dengan 25 universiti terkemuka Jepun dan lima agensi kerajaan dan industri Jepun bagi menyediakan peluang kerjaya kepada pelajar.

S: Memandangkan MJIIT menyasarkan kemasukan 40 peratus pelajar luar negara bagi tahun akan datang, apakah usaha yang akan dilakukan untuk menca pai sasaran itu?

J: MJIIT akan menyediakan kemudahan pembiayaan kewangan menerusi pemberian biasiswa kepada 20 pelajar luar negara yang berminat mengikuti program di MJIIT bermula tahun depan. Kemudahan diberikan kepada pelajar yang layak bagi mengikuti program peringkat prasiswazah dan pascasiswazah.

Rangkaian kerjasama akademik pada peringkat antarabangsa turut diatur menerusi cadangan penawaran program ijazah berkembar dengan universiti Jepun seperti Shibaura Institute of Technology, Yamaguchi University, Osaka University dan Nagoya Institute of Technology.

S: Jelaskan sedikit mengenai peruntukan yang diberikan kerajaan sebanyak RM58 juta bagi pembinaan makmal baharu serta tujuan mengadakan majlis makan malam gala MJIIT baru-baru ini.

J: Peruntukan berkenaan akan dimanfaatkan bagi membina makmal kejuruteraan kimia dan alam sekitar bagi tujuan pembelajaran dan penyelidikan di MJIIT. Penyediaan pembangunan infrastruktur dan kemudahan itu penting bagi menyokong proses P&P dan memantapkan aktiviti penyelidikan yang turut menjadi keutamaan di MJIIT.

Penganjuran majlis makan malam gala yang diadakan baru-baru ini pula adalah sebagai tanda penghargaan kepada organisasi yang banyak memberikan kerjasama dan menyumbang kepada MJIIT selain mewujudkan rangkaian atau landasan perniagaan antara industri tempatan dan Jepun.

Majlis juga bermatlamat mengumpul dana bagi mengisi Tabung Biasiswa MJIIT dan saya dimaklumkan sebanyak RM300,000 berjaya dikumpulkan menerusi aktiviti penjualan meja makan malam.

Memandangkan masyarakat Jepun tidak begitu biasa dengan amalan penjualan meja, aktiviti seumpama ini akan diteruskan pada masa akan datang bagi memberi mereka pendedahan mengenainya.

S: Apakah kualiti yang diperlukan untuk calon yang berminat meneruskan pengajian di MJIIT?

J: Selain mendapat keputusan yang baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan memenuhi kriteria ditetapkan institusi, calon juga perlu menanam sikap terbuka untuk mencari peluang kerjaya di luar negara dan berani bersaing pada peringkat global.

Ketika ini, pelajar tempatan yang mengikuti program di MJIIT cukup bernasib baik kerana kebanyakan daripada mereka berjaya memperoleh mendapat biasiswa dan kelebihan itu seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin sejajar matlamat untuk melahirkan pemimpin daripada kalangan jurutera.

~ BH

Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) lindungi maklumat peribadi

Wednesday, November 27, 2013 0 Komen

Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709)

Awas kepada pengguna data yang mendedahkan maklumat peribadi individu kepada orang ketiga tanpa persetujuan pemilik untuk tujuan komersial kerana mereka boleh berdepan tindakan tegas berikutan penguatkuasaan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) pada 15 November lalu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, akta itu digunakan untuk menjamin keselamatan maklumat dan kebolehpercayaan serta keutuhan rangkaian dalam perlindungan data di negara ini.

"Menerusi akta berkenaan, mereka yang mempunyai data pengguna dari 11 sektor seperti komunikasi, insurans, perkhidmatan dan jualan langsung akan lebih bertanggungjawab dalam memberikan maklumat peribadi individu kepada pihak luar.

"Semua data peribadi yang dilindungi mengikut Akta 709 termasuk nama, alamat, nombor kad pengenalan, nombor pasport, maklumat kesihatan, e-mel, gambar, imej rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan maklumat dalam fail peribadi," katanya pada sidang media mengumumkan Pelaksanaan Penguatkuasaan Akta Perlindungan Data Peribadi Malaysia 2010 (Akta 709), semalam.

Turut hadir, Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi Malaysia Abu Hassan Ismail.

Ahmad Shabery berkata, selaras dengan penguatkuasaan akta itu, semua pihak yang dikategorikan sebagai pengguna data di bawah Perintah Golongan Pengguna Data kini diberi tempoh sehingga 15 Februari tahun depan untuk mendaftar dengan Jabatan Perlindungan Data Peribadi Malaysia (JPDPM).

"Bagi tujuan berkenaan, pendaftaran pengguna data adalah terbuka kepada individu atau organisasi yang memproses data peribadi dalam transaksi komersial seperti mana yang dinyatakan dalam perintah golongan pengguna data.

"Kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan penalti iaitu denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan memproses data peribadi tanpa perakuan pendaftaran atau selepas pendaftaran dibatalkan, serta denda tidak lebih RM200,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan tidak mematuhi notis penguatkuasaan atau kehendak Pesuruhjaya," katanya.

Menurutnya, setiap bulan Cyber Security menerima kira-kira 1,000 aduan kebocoran maklumat peribadi individu kepada pihak ketiga untuk tujuan komersial. - HM

Tazkirah: Jadilah hamba Allah yang cemerlang

Wednesday, November 27, 2013 0 Komen

Jadilah hamba Allah yang cemerlang

Kecemerlangan adalah bakat atau kualiti yang luar biasa. Ia tidak terjadi dengan sendiri, sebaliknya memerlukan usaha dan kegigihan. Tanpa dua unsur itu, keinginan tidak akan ke mana.

Semua orang boleh menjadi cemerlang, baik golongan dewasa yang bekerja di pelbagai lapangan mahupun remaja dan kanak-kanak di bangku sekolah.

Potensi itu tidak menghalangi sesiapa, termasuk mereka daripada keluarga miskin, asalkan ada tekad dan kena dengan caranya.

Kehidupan kita sebenarnya dikelilingi orang cemerlang, sama ada di tempat kerja, di sekolah, sekitar kawasan kediaman mahupun dalam keluarga masing-masing. Kita sangat mengagumi mereka, tetapi kita gagal mengikuti jejak mereka.

Contohnya, seorang murid di sebuah kelas hanya mampu melihat kegembiraan beberapa rakannya yang memperolehi markah tinggi dalam semua pelajaran. Dia tertanya-tanya, bagaimana rakannya boleh menjadi cemerlang?

Pertanyaan seperti itu bagaimanapun sering kali berlalu begitu saja. Tambahan pula jarang orang mendedahkan rahsia kejayaannya, mungkin kerana tiada sesiapa yang bertanya ataupun bimbang kecemerlangannya ditandingi orang lain.

Kebetulan, baru-baru ini penulis bersama sekumpulan rakan sekerja mengikuti kursus singkat peningkatan daya saing diri. Banyak perkara disentuh pengajar bagi mengasah bakat, kemahiran dan kreativiti peserta agar menjadi terbaik dalam kalangan yang lain.

Satu daripadanya ialah cara bertindak di luar kebiasaan. Namun, kaedah ini hanya bagi tujuan baik dan bermanfaat.

Praktik asas diberi ialah cara berpeluk tubuh. Biasanya ramai orang berpeluk tubuh meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri. Jadi, untuk menjadi luar biasa, cubalah letak tangan kiri di atas tangan kanan.

Ia ternyata membuatkan kita tidak selesa. Namun, jika terus dilatih, akan menjadi satu kebiasaan. Mereka yang dapat membiasakan diri dengan hal (yang tidak selesa) itu akan mempunyai kelebihan berbanding orang lain.

Begitulah secara ringkasnya. Dalam perjalanan hidup kita sehari-hari, kita tidak akan cemerlang, jika sekadar mengikuti tabiat biasa seharian sejak dari dulu. Bertindaklah di luar kebiasaan untuk menjadi yang terbaik.

Dalam beramal ibadat juga, seandainya kita sejak dari alam kanak-kanak hanya berpada dengan solat fardu lima kali sehari, bahkan kadangkala tertinggal, layakkah kita untuk digelar sebagai hamba Allah yang cemerlang?

Kita sama-samalah tanya diri sendiri. Namun, berdasarkan al-Quran hamba Allah yang cemerlang rajin melakukan amalan ketaatan. Cukup luar biasa amalannya, sebagaimana firman-Nya dalam surah adz-Dzariyat, ayat 15 hingga 17 maksudnya: "Sesungguhnya orang yang bertakwa ditempatkan di dalam syurga, dengan mata air terpancar.

"Mereka mengambil apa yang diberikan oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam, untuk mereka tidur."

Berdasarkan nas itu, kita dapat fahami bahawa hamba Allah yang cemerlang waktu rehatnya sedikit, tapi ibadatnya banyak. Solat fardu diselangi dengan solat sunat, seperti sunat rawatib, tahajud dan duha.

Abu Hurairah RA berkata, Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya di syurga ada pintu yang bernama baabudduha (pintu duha). Maka bila hari kiamat ada seruan; di manakah orang yang selalu tetap solat duha inilah pintumu. Maka silakan masuk ke dalamnya."

Nabi SAW juga bersabda: "Solat sunat di dalam rumah itu sebagai nur kerana itu terangilah rumahmu."

Seterusnya, bibir dan hati hamba Allah yang cemerlang sentiasa dibasahi dengan zikir. Namun, sedikit saja mampu berzikir kepada Allah. Ramai berasa berat dan canggung, sedangkan ia sebaik-baik amalan.

Nabi SAW bersabda: "Seberat-berat amal itu tiga macam; menginsafi diri sendiri; membantu saudara dengan harta dan zikir pada Allah."

Kemudian, al-Quran sangat jarang dibaca oleh kita, melainkan ketika ada yang sakit tenat, kematian dan majlis tahlil. Setiap rumah ada kitab al-Quran, namun haruskah kita berbangga jika ia tidak ditatap, bahkan hanya tersimpan di dalam almari dan dibiarkan berdebu?

Oleh Idris Musa

Cheras Sentral Mall dibuka semula

Wednesday, November 27, 2013 0 Komen

Cheras Sentral Mall yang dulunya dikenali sebagai Plaza Phoenix akan mula dibuka kepada orang ramai bermula Disember ini selepas menjalani kerja pengubahsuaian membabitkan kos sebanyak RM130 juta.

Pengarah Eksekutif Mayland Properties Sdn Bhd, Pel Loh berkata pusat beli belah berkenaan menampilkan wajah baru dengan konsep yang lebih moden dan canggih setanding dengan pusat membeli belah kosmopolitan yang lain.

"Kerja pengubahsuaian yang dijalankan membabitkan pembaikan dalam aspek akses trafik di dalam dan luar pusat beli belah berkenaan.

Ikon peruncitan

"Dengan pembukaannya, kami yakin Cheras Sentral Mall yang terletak di Lebuh raya Cheras-Kajang akan menjadi ikon peruncitan baru bagi 1.5 juta penduduk yang tinggal di sekitar kawasan Cheras dan selatan Lembah Klang," kata nya pada sidang media selepas majlis penyerahan kunci kepada penyewa di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Mayland Group, G.T Low serta Pengurus Cheras Sentral Mall, Amos Chew.

Loh berkata, pusat beli belah berkenaan menawarkan kawasan yang boleh disewa seluas 380,000 kaki persegi dengan hampir 100 penyewa terdiri daripada jenama tempatan dan antarabangsa yang terkemuka akan membuka cawangan di situ.

Jenama fesyen


"Antara jenama fesyen antarabangsa yang bakal membuka cawangan di pusat membeli belah itu termasuk Uniqlo, Cotton On, G2000, Headline Seoul serta East India Company.

"Selain jenama fesyen, Cheras Sentral Mall turut menempatkan pelbagai penyewa lain seperti Jaya Grocer, Celebrity Fitness, Moon Palace Restaurant dan TGV Cinema," katanya.

Cheras Sentral Mall juga menawarkan pelbagai pilihan cawangan kedai makan dan minuman seperti The Loaf, Starbucks, Sushi Tei, Boost Juice dan Chatime.

"Dengan aliran trafik yang selesa, Cheras Sentral Mall akan menjadi pilihan pengunjung yang mahu membeli belah dan meluangkan masa dengan keluarga dalam keadaan yang santai," kata Loh.

Remaja 13 tahun, Nor Fazira dicerai talak tiga

Wednesday, November 27, 2013 0 Komen

Kurang seminggu sebelum sempat menyambut ulangtahun pertama perkahwinan, pasangan muda Nor Fazira Saad, 13 dan Mohd Fahmi Alias, 20, disahkan bercerai dengan talak tiga pada 11 November lalu di Mahkamah Syariah Kulim.

Nor Fazira berusia 12 tahun ketika dinikahkan dengan pasangannya, Mohd Fahmi yang ketika itu berusia 20 tahun.

Memetik laporan Harian Metro, bapa Nor Fazira, Saad Mustafa, 43, berkata, beliau menerima kenyataan berkenaan walaupun pahit dan menganggap bukan jodoh anaknya untuk kekal di alam perkahwinan.

Saad turut memberitahu bahawa dia tidak mengetahui punca sebenar keretakan rumah tangga anaknya itu kerana Nor Fazira tidak banyak bercakap mengenai nasib yang menimpa dirinya.

Buat masa ini, Nor Fazira tinggal bersama bapa saudaranya di Padang Serai supaya jiwanya kembali tenang.

Harian Metro turut melaporkan kegagalan untuk menghubungi keluarga Mohd Fahmi untuk mendapatkan maklum balas.

Nor Fazira mendirikan rumah tangga dengan pasangannya pada usia 12 tahun selepas mendapat perintah mahkamah mengikut Seksyen 18 (1) (a) Enakmen Undang Undang Keluarga Islam Kedah 2008.

Majlis pernikahan pasangan itu dilangsungkan di Masjid Kampung Padang Cina dengan mas kahwin RM1,500 serta wang hantaran RM4,552 pada 17 November 2012 selepas mendapat perintah kebenaran untuk bernikah di bawah umur daripada Mahkamah Rendah Syariah Kulim pada 7 November 2012.

Berdasarkan statistik Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), terdapat kira-kira 1,165 permohonan untuk berkahwin pada 2012 dan Mahkamah Syariah telah meluluskan 1,022 daripada permohonan terbabit.

Ia merupakan peningkatan berbanding rekod 2011, iaitu kira-kira 900 perkahwinan.

Sehingga Mei tahun ini, JKSM menerima 600 permohonan perkahwinan, di mana 446 telah diluluskan.

Di Malaysia, undang-undang umur minimum perkahwinan adalah 18 tahun, tetapi 16 tahun untuk anak gadis Muslim dan mereka yang berusia di bawah 16 tahun boleh berkahwin dengan keizinan Mahkamah Syariah.

Bangi Fun Run 21 Disember 2013, cabutan bertuah RM20,000

Wednesday, November 27, 2013 0 Komen

Peminat acara larian dipelawa menyertai Bangi Fun Run anjuran Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) di Taman Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi, pada 21 Disember ini.

Yang Dipertua (YDP) MPKj, Datuk Hassan Nawawi Abd Rahman, berkata program bertemakan `Sihat dan Erat' itu bertujuan mengeratkan hubungan masyarakat pelbagai kaum, sekaligus menggalakkan rakyat hidup sihat dan cergas.

Katanya, larian sejauh 3.5 kilometer (km) itu terbahagi kepada enam kategori iaitu terbuka lelaki dan wanita remaja (17 tahun ke bawah), terbuka lelaki dan wanita (18 tahun ke atas) dan terbuka lelaki dan wanita (40 tahun ke atas).

"Tempat pertama berpeluang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100 dan piala manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima RM80 dan RM50 berserta pingat dan sijil penyertaan.

"Bagi peserta yang berjaya menamatkan larian, mereka akan menerima pingat dan sijil penyertaan sebagai tanda penghargaan," katanya, di sini.

Selain acara larian, turut disediakan ialah pertandingan memancing, mewarna, futsal dan sukaneka serta ceramah agama.

Cabutan bertuah RM20,000

Hassan berkata, bagi memeriahkan program itu, orang ramai berpeluang merebut hadiah cabutan bertuah bernilai RM20,000.

"Saya berharap orang ramai dapat menyertai acara ini dan membawa ahli keluarga beriadah bersama warga kota," katanya.

Orang ramai yang berminat menyertai larian itu boleh menghubungi talian 012-2846811, 019-6140275 atau melayari www.facebook.com/bangifunrun untuk maklumat lanjut.


Isu wanita hamba 30 tahun di London: Bekas guru percaya Siti Aishah adiknya

Wednesday, November 27, 2013 0 Komen

Sebuah keluarga di Negeri Sembilan mengesahkan wanita yang didakwa menjadi hamba selama 30 tahun di London adalah anggota keluarga mereka yang hilang selepas menyertai kumpulan Maoist di sana.

Guru pencen, Kamar Mautum Abdul Wahab dari Jelebu berkata, beliau yakin adiknya yang berumur 69 tahun, Siti Aishah Abdul Wahab adalah wanita Malaysia yang ditahan oleh pemimpin kumpulan Komunis Mao sejak 30 tahun lalu.

Kehilangan Aishah katanya menyebabkan keluarganya berasa cukup sedih. Malah ujar Kamar, ibunya telah meninggalkan wasiat supaya Aishah  dijejaki.

"Saya sangat sedih tanpa dia di sini tahun demi tahun. Dia sangat berbakat, dia juga menjadi buah hati pada emak saya. Emak menyebut namanya sebelum menutup matanya.

"Bila emak saya meninggal, dia (Aishah) tidak mahu bercakap dengan kami dan saya tidak boleh berbuat apa-apa," katanya dipetik The Daily Telegraph.

Aishah belajar di sekolah yang paling elit di Malaysia dan mendapat anugerah biasiswa Komanwel untuk belajar dalam bidang Juruukur Bahan di London.

Dia berlepas ke Britain pada tahun 1968 bersama tunangnya dan berhasrat untuk mencapai cita-cita untuk keluarga tetapi kemudiannya terlibat dengan kegiatan politik melampau yang menyebabkan dia melupakan segala-galanya untuk mengikut ajaran Maoist.

Dia terpengaruh dengan Aravindan Balakrishnan dan rakannya, Chanda, telah ditangkap minggu lalu atas dakwaan menahan tiga wanita tanpa kerelaannya melebihi tiga dekad di London.

Wanita habis pantang diterajang suami warga Mesir

Wednesday, November 27, 2013 0 Komen

Wanita habis pantang diterajang suami warga Mesir

Kuala Lumpur: Seorang wanita yang baru habis pantang bukan saja disepak dan diterajang suaminya, malah lelaki warga Mesir itu turut mengugut membunuh dua anak mereka yang berusia setahun sembilan bulan dan 90 hari.

Difahamkan, mangsa berusia 40 tahun itu berkahwin dengan lelaki warga Mesir itu tiga tahun lalu selepas mangsa berkenalan sebagai rakan perniagaan mengimport makanan dari Arab.

Sumber polis berkata, mangsa juga dipaksa melabur RM400,000 dalam syarikat lelaki berkenaan sebelum mereka berkahwin.

Katanya, suami mangsa melayannya dengan baik hingga pasangan itu mendapat anak pertama dan selepas itu mangsa sering didera lelaki berkenaan dari segi fizikal dan mental.

"Mangsa sering dipaksa bekerja daripada jam 8 pagi hingga 7 malam kerana ingin mengurangkan kos pekerja dan jika mangsa gagal menyiapkan pekerjaan seperti yang diarahkan lelaki Mesir itu, dia digelar pelacur dan anak anjing.

"Tidak cukup dengan itu, lelaki itu juga akan membelasah mangsa tanpa belas kasihan meskipun mangsa masih berpantang," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 7 malam kelmarin ketika mangsa berada di pejabat, suspek memarahi mangsa berikutan mesin pencetak di pejabat mereka kehabisan dakwat.

Katanya, mangsa ditampar dan ditendang dan suspek mengugut akan membunuh anak sulung mereka apabila mangsa menyatakan hendak pulang ke rumah ibu bapanya.

"Mangsa yang baru lepas pantang itu juga mengalami masalah anemia dan tekanan darah tinggi akibat penderaan suaminya itu dan akibat keletihan, mangsa tertidur hingga suaminya pulang kira-kira jam 2.30 pagi," katanya.

Sumber berkata, suspek cuba menerkam kedua-dua anak mangsa yang sedang tidur dan apabila mangsa cuba menghalang tindakannya, dia dibelasah hingga pengsan.

Selepas mangsa tersedar keesokannya kira-kira jam 10 pagi, beliau membuat laporan polis di Balai Polis Setapak untuk tindakan lanjut. ~ HM

Lelaki mengemis kerana kesunyian

Wednesday, November 27, 2013 0 Komen

Seorang pengemis warga emas tempatan berusia 71 tahun memberi alasan melakukannya kerana mahu menghilangkan bosan akibat kesunyian hidup.

Lelaki berkenaan yang ditahan di Taman Abad di sini, semalam juga didapati memiliki wang tunai RM187 hasil mengemis kurang sejam.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru Manayi Ibrahim berkata, siasatan mendapati lelaki terbabit pernah diselamatkan pihaknya kerana melakukan kegiatan sama.

"Operasi membanteras aktiviti mengemis ini bermula pada jam 7.30 petang hingga 9 malam semalam di dua pasar malam iaitu Taman Abad dan Kampung Melayu Majidee.

"Operasi dijalankan berdasarkan aduan ketua masyarakat di kawasan berkenaan. Hasilnya, kami menahan dua lelaki termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) warga Kemboja," katanya di lokasi kejadian.

Menurut Manayi, warga emas berketurunan Tionghua itu mendakwa dia mengemis tanpa paksaan dan melakukannya kerana bosan tinggal di rumah.

Manayi berkata, lelaki terbabit turut mempunyai keluarga dan seorang daripada anak saudaranya pernah menjaminnya ketika diselamatkan sebelum ini.

"Kami juga yakin warga Kemboja itu pula dinaungi sindiket kerana dia yang berusia 53 tahun tidak memahami bahasa Melayu atau bahasa Inggeris," katanya.

Manayi berkata, kedua-duanya ditahan mengikut Akta Orang Papa 1977 dan kini diberi perlindungan sementara oleh JKM.

"Kami akan berusaha mengesan waris kedua-duanya untuk tindakan lanjut," katanya.

~ Harian Metro

Perjuangan martabat bahasa Melayu: Audit bahasa beri kesedaran masyarakat

Wednesday, November 27, 2013 0 Komen

Menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa setanding dengan bahasa utama dunia bukan sesuatu yang mudah. Cabaran ketidakyakinan, pandangan sinis terhadap keupayaan bahasa Melayu pastinya ada. Walaupun negara ini mencapai kemerdekaan lebih 50 tahun iaitu setengah abad lamanya, isu bahasa Melayu ini masih lagi lunak kedengaran.

Kita mempunyai masalah pada diri. Kita masih lagi terbelenggu dengan sikap dan masalah untuk sayang pada bahasa sendiri. Bahasa Melayu umpama mengemis di bumi sendiri. Minta disayang dan ditatang, tetapi beberapa ramaikah yang sudi? Mengharapkan ahli politik membantu, saya tidak yakin seratus peratus.

Perjuangan martabat bahasa Melayu

Saya ingin menekankan di sini bahawa perjuangan memartabatkan bahasa Melayu bukan sahaja melibatkan orang Melayu semata-mata, tetapi melibatkan semua kaum di Malaysia ini. Saya berbangga ramai masyarakat bukan Melayu terus tegar memperjuangkan bahasa Melayu. Bukan bermakna mereka yang bukan Melayu ini lebih hebat memperjuangkan bahasa Melayu telah dimelayukan oleh kaum Melayu. Mereka tetap berbangsa Cina, mereka juga tetap berbangsa India atau seumpamanya, hati mereka telah tersemat dan berazam untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan negara tanpa meminggirkan bahasa ibunda masing-masing.

Angka 50 tahun pada perkiraan matematik sudah cukup lama, usaha untuk membangun serta mengembangkan bahasa Melayu. Setengah abad lamanya bahasa Melayu cuba diangkat kembali selepas jatuh tersungkur dek kerana penangan bahasa penjajah. Adakah kita gagal dalam usaha mengangkat kembali bahasa Melayu dan meletakkannya pada kedudukan sebenarnya? Bagi pandangan saya, kita tidak gagal dalam usaha ini, tetapi kejayaan kita hanya separuh masak, belum lagi boleh dikatakan jitu.

Malah, bahasa Melayu yang sering dihimpit dan dipandang sinis sesetengah pihak sebagai bahasa yang tidak berdaya maju, tidak mampu dikomersialkan dan bahasa yang bersifat kekampungan bukanlah sesuatu yang baharu. Stereotaip ini sering kita dengar sejak dahulu lagi dan khabar-khabar sinis ini akan terus berkumandang dari semasa ke semasa.

Cabaran martabat bahasa

Bagi seorang pejuang bahasa, 'alah biasa tegal biasa.' Halang, cabaran untuk memaju dan memartabatkan bahasa Melayu sememangnya ada dan perlu ditempuh dengan hati yang sabar serta penuh kebijaksanaan intelektual dan bukannya emosi semata-mata. Nadi perjuangan bahasa Melayu letaknya pada kekuatan ilmu pengetahuan. Perjuangan yang hanya berbekalkan semangat semata-mata tanpa disertai ilmu pengetahuan yang tinggi bagai 'tin kosong' yang tiada manfaatnya.

Di samping itu, laporan audit bahasa yang diumumkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) baru-baru ini, yang memperlihatkan kepada kita mutu penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi jabatan kerajaan masih belum mencapai tahap memuaskan. Belum lagi audit bahasa ini dijalankan dalam sektor swasta. Bagaimana pula agaknya mutu penggunaan bahasa Melayu dalam sektor terbabit?

Audit bahasa yang dilaksanakan DBP ini pada pandangan saya adalah baik kerana ia memberi kesedaran kepada kita terutama penjawat awam akan kepentingan penggunaan bahasa Melayu dengan betul. Selama ini kita tidak mengambil berat soal penggunaan bahasa Melayu dengan betul terutama hal-hal berkaitan surat-menyurat dan dokumen rasmi. Dengan adanya audit bahasa ini diharapkan penjawat awam lebih peka dalam soal penggunaan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi kerajaan. Langkah DBP melaksanakan audit bahasa ini bukan berniat menghukum mana-mana agensi yang kurang peka dalam soal penggunaan bahasa Melayu, tetapi lebih kepada kaedah menegur dan membetulkan mana-mana dikira perlu.

Mohamad Shafiq Rohaizad Buyong
Penolong Pegawai Perancang Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak


Majlis Konsultasi Negara dilancar bagi pupuk perpaduan

Monday, November 25, 2013 0 Komen

Tujuh panduan digariskan dalam usaha menjayakan perpaduan nasional dikalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Panduan itu antara lain menterjemahkan komitmen kerajaan dalam memastikan perpaduan nasional kekal selain melaksanakan sebarang dasar berlandaskan perlembagaan negara.

Mengulas lanjut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata panduan itu antara lain merangkumi mengambil gagasan 1Malaysia sebagai model prinsip keadilan sosial.

Selain itu, tujuh panduan itu juga mengambil kira model ekonomi baharu dan menjaga sensitiviti pelbagai kaum dengan rukun negara sebagai panduan.

Najib menarik perhatian, usaha mengukuhkan perpaduan nasional merupakan proses yang panjang.

"Saya sedar dan kita semua sedar cabarannya besar sebab negara kita terlalu kompleks tetapi complexity negara kita bukanlah satu penghalang kepada kita untuk mencapai perpaduan nasional, “

“Pada kesudahannya perpaduan nasional akan berpunca daripada minda kita sendiri,” katanya pada Majlis Pelancaran dan Penyampaian Watikah Pelantikan Majlis konsultasi Perpaduan Nasional, di sini.

Penubuhan Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) adalah bagi menyediakan pelan bertindak cadangan penyatuan nasional dilihat sesuatu yang boleh direalisasikan.

Panel tersebut memainkan peranan dalam mengesyorkan cadangan penyatuan nasional kepada kerajaan sebelum dibincangkan di peringkat kabinet.

Anggota MKPN dibarisi 30 tokoh masyarakat, ahli akademik, pemikir, wakil pertubuhan bukan kerajaan selain ahli politik daripada Barisan Nasional (BN) dan pembangkang.

Antaranya Datuk Dr Mujahidin Yusof Rawa, Datuk Saifudin Abdullah, Tan Sri Lee Lam Thye dan Anas Zubedy.

Sementara itu dalam sidang medianya, Najib berkata, kewujudan MKPN tidak hanya membincangkan isu semasa antara kaum tetapi lebih kepada perpaduan negara.

“Ideanya adalah untuk mewujudkan suasana yang terkawal kerana perkara yang melibatkan kaum, agama, perlembagaan dan pelbagai lagi isu dasar jika dipolitikkan akan membakar perasaan antara kaum,

“Dan itu tidak sihat untuk negara kita kerana itu kita buat perbincangan secara tertutup tetapi bersifat terbuka dalam konteks perbincangan” katanya.

Jelasnya panel tersebut akan menghantar laporan interim dalam masa enam bulan sebelum dibawa ke peringkat kabinet.

Pandelela Rinong dinobat Olahragawati Sarawak kali kedua (Anugerah Sukan Negeri Sarawak 2011/2012)

Monday, November 25, 2013 0 Komen

Ratu terjun negara Pandelela Rinong anak Pamg sekali dinobatkan sebagai Olahragawati Sarawak pada majlis Anugerah Sukan Negeri Sarawak 2011/2012 .

Kali pertama penerjun ini memenangi anugerah tersebut ialah pada tahun 2010.

Pandelela merupakan atlet wanita Malaysia pertama memenangi pingat pada temasya sukan Olimpik apabila berjaya merangkul pingat gangsa acara terjun 10 meter di Olimpik London 2012.

Upacara penyampaian anugerah itu disempurnakan Menteri Muda Perhubungan merangkap Menteri Muda Sukan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin yang mewakili Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Rakan seperjuangan Pandelela, Bryan Nickson Lomas yang juga mempamerkan prestasi cemerlang di peringkat antarabangsa dinobatkan sebagai Olahragawan 2011/2012. Masing masing menerima RM5,000, trofi dan sijil penghargaan.

Kategori Olahragawan Paralimpik dimenangi Jamery Siga dari acara renang manakala Olahragawati Paralimpik menjadi milik Nabilah Ahmad Sherif (badminton).

Kategori Olahragawan dan Olahragawati Harapan masing-masing dimenangi Mohammad Arif Zulhimi Alet (olahraga) dan Angela Chieng (renang).

Kategori Jurulatih Sukan Terbaik disandang Ling Neng Thung (olahraga), Jurulatih Sukan Paralimpik Terbaik (Awang Ismail Zamia Awang Nusi - badminton), Kepimpinan Sukan Terbaik (Moh Wung Ming – bola tampar), Pasukan Lelaki Terbaik (Skuasy), Pasukan Wanita Terbaik (Bola Tampar) dan Persatuan Sukan Terbaik (Persatuan Tenpin Bowling).

Wartawan sukan Utusan Borneo Harry Elias diisytiharkan sebagai Penulis Sukan Terbaik kategori Bahasa Malaysia, Robert Kenneth (kategori Bahasa Inggeris – akhbar The Star) dan Teo Chi Wei ( Bahasa Cina – See Hua Daily News).

Sementara itu bagi kategori khas yang diperkenalkan tahun ini, iaitu Tokoh Sukan Negeri Sarawak dianugerahkan kepada atlet Bumi Kenyalang pertama mewakili negara ke temasya sukan Olimpik Tokyo 1964, mendiang Bala Ditta (olahraga).

Langkah memperkenalkan kategori baharu itu adalah sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan Sarawak ke-50 serta menghargai sumbangan atlet dalam mengharumkan nama negara dan pembangunan sukan Sarawak.

Sebanyak 70 pencalonan daripada individu, persatuan dan pasukan sukan dari seluruh Sarawak telah disenarai pendek untuk merebut 18 kategori yang dipertandingkan pada Anugerah Sukan Negeri Sarawak 2011/2012. ~ Awani

Remaja ditahan kerana muat turun filem tanpa kebenaran

Monday, November 25, 2013 0 Komen

Tiga remaja lelaki berumur 15 hingga 18 tahun ditahan dalam serbuan di Selangor dan Pulau Pinang masing-masing pada 29 Oktober dan 8 November lepas kerana memuat turun filem tempatan tanpa kebenaran pemilik hak cipta.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Roslan Mahayudin berkata, ketiga-tiga suspek yang ditahan dalam Operasi Spyglass itu diletakkan di bawah jaminan polis, dan telah dibenarkan menduduki peperiksaan PMR dan SPM.

Katanya operasi bahagian penguatkuasaan KPDNKK yang disertai 10 pegawai termasuk dari bahagian Cybersecurity Malaysia itu turut merampas tiga unit komputer riba, satu unit broadband, dua unit router dan dua unit modem bernilai RM12,000.

Antara filem yang dimuat turun ialah "KL Gangster 2", "KL Zombie" dan "Tanda Putra" dalam laman web:www.allinoneatheremovie.blogspot.com; www.pjsenter.com dan www.piratesbytez.com., kata dalam sidang media di sini hari ini.

Mereka adalah remaja pertama ditahan di bawah Ops Spyglass dan boleh dikenakan denda sekurang-kurangnya RM2,000 dan maksimum RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika didapati bersalah di bawah Seksyen 41 1(G) Akta Hakcipta 1987.

"Walaupun di bawah umur tindakan tetap diambil di bawah undang-undang sedia ada. Serbuan dilakukan atas aduan pemilik hakcipta dan orang ramai berhubung laman web yang dijadikan sebagai portal untuk memuat-turun atau tayangan (streaming) filem-filem tempatan tanpa kebenaran pemilik hakcipta.

"Berdasarkan soal siasat ke atas suspek, mereka memaklumkan bahawa filem-filem yang disediakan di dalam laman web/blog seliaan mereka diperolehi sumbernya daripada laman/blok lain,"katanya.

Katanya antara laman web yang paling terkenal ialah www.ganool.com yang didapati beroperasi di Jawa Timur, Indonesia yang dikendali seorang remaja, selain sumber filem lain dari http://pencurimovie.sx dan http://moviepecah.blogspot.com.

Menurut Roslan bahagian penguatkuasaan KPDNKK juga akan mengeluarkan notis kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk menghalang akses laman sesawang tersebut mengikut Seksyen 263(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Roslan menasihatkan ibu bapa dan penjaga agar sentiasa mengawasi dan memantau aktiviti siber anak-anak mereka supaya mereka tidak melakukan sebarang aktiviti siber yang menyalahi undang-undang. - BERNAMA

Keluarga peragawati Cheok Hui Min akan rahsiakan kematiannya dari neneknya

Monday, November 25, 2013 0 Komen

Berita kematian peragawati sambilan Cheok Hui Min akan dirahsiahkan dari neneknya.

Ini adalah keputusan yang dibuat oleh keluarga Cheok kerana takut neneknya yang berusia 72 tahun itu,  tidak boleh menerima berita sedih itu.

Menurut laporan The Star yang memetik laporan China Press, keluarga itu bercadang untuk memberitahu neneknya bahawa Cheok telah mendapat peluang pekerjaan di luar negara dan telah berkahwin di situ.

Cheok yang dilaporkan hilang sejak 21 Nov dari rumahnya di Ampang ditemui mati di dalam longkang di Taman Seruling Jaya, Seremban oleh orang awam.

Mendiang dikebumikan di krematorium Cheras semalam.

Ayahnya dilaporkan percaya bahawa anaknya berkemungkinan dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampak ke dalam longkang tersebut kerana polis tidak menemui apa-apa dokumen pengenalan diri .

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Duit palsu RM20 berleluasa

Monday, November 25, 2013 0 Komen

Penggunaan wang kertas RM20 palsu semakin berleluasa di sekitar daerah ini yang menyebabkan beberapa peniaga kerugian dengan kejadian terbaru, penjual akhbar di pekan Kuala Kurau, dekat sini, diperdaya dua lelaki yang membeli akhbar menggunakan not RM20 palsu tengah hari kelmarin.

Mangsa yang hanya dikenali Rajoo, 61, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari apabila kedainya dikunjungi seorang lelaki berusia 20-an untuk membeli akhbar.

Katanya, lelaki terbabit datang dengan menaiki motosikal bersama seorang lagi rakannya, menyerahkan not RM20 dengan alasan tiada wang kecil.

"Pada masa itu, hanya ada beberapa pelanggan di kedai dan saya tidak mengesyaki apa-apa lalu terus mengambil wang berkenaan dan menyerahkan baki kepada lelaki itu.

"Saya hanya menyedari wang itu palsu ketika sedang membuat kira-kira sebelum menutup kedai pada jam 2.30 petang," katanya ketika ditemui di kedainya, di sini semalam.

Rajoo berkata, terdapat beberapa perbezaan sehingga menyakinkan dia not RM20 itu palsu termasuk tiada kesan kilat menunjukkan nilai RM20 manakala garisan kilat terlalu tebal.

"Saya kemudian menunjukkan wang palsu dengan nombor siri AL 2261319 kepada seorang rakan peniaga dan dia beritahu wang terbabit palsu dan pernah digunakan di sekitar Taiping.

"Wang palsu dengan nombor siri sama juga ada disiarkan di laman sosial bertujuan memberitahu orang ramai mengenai penggunaannya yang semakin berleluasa di sekitar daerah ini," katanya.



Keputusan Johor cuti Jumaat langkah produktif

Monday, November 25, 2013 0 Komen

Pengisytiharan cuti pada hari Jumaat dan Sabtu oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar memberi impak positif kepada rakyat Johor secara amnya. Langkah baginda mengisytihar cuti pada hari berkenaan amat bertepatan dengan apa yang difirmankan dalam surah Jumaat ayat 9.

Firman Allah dalam ayat itu menyebut, "Wahai orang yang beriman, apabila diseru untuk mengerjakan ibadah hari Jumaat, maka segeralah kamu mengingati Allah dan tinggallah jual-beli kerana yang demikian lebih baik jika kamu mengetahui ( hikmahnya )".

Hari Jumaat adalah penghulu segala hari. Pada hari berkenaan Allah SWT mengurniakan dan menawarkan pelbagai amal ibadat untuk hambanya.

Jika kita lihat senario pada hari ini, pekerja di sektor awam mahupun swasta terpaksa bergegas ke masjid apabila azan Zuhur berkumandang, malah ada yang tidak ke masjid untuk menunaikan solat itu dengan alasan waktu rehat yang singkat.

Di sini kita lihat, mereka kurang selesa. Begitu juga apabila selesai menunaikan solat Jumaat. Mereka terpaksa bergegas dan bersegera untuk masuk ke tempat kerja.

Apabila pengisytiharan ini dibuat, ia bukan saja memberi impak yang sangat positif kepada kebajikan pekerja Islam bahkan yang bukan Islam pun lebih selesa.

Suburkan sistem ekonomi

Langkah produktif ini sewajarnya dihargai dan dipuji kerana hikmahnya ia boleh menyuburkan lagi sistem ekonomi, pendidikan, dan pelbagai sudut di negeri tersebut.

Impak mungkin akan dilihat dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang. Masyarakat di negeri Johor pastinya akan merasai perbezaannya nanti.

Antara yang lebih jelas ialah perbezaan dari sudut masa iaitu mereka akan lebih selesa bersama keluarga di rumah. Masyarakat Islam juga lebih senang untuk membuat amal kebajikan dengan lebih tenang dan selesa.

Peniaga misalnya boleh meraih keuntungan berlipat kali ganda terutama apabila Jumaat dan Sabtu diberikan cuti mingguan kerana ketika ini rakyat negeri ini boleh keluar berbelanja, manakala Sabtu dan Ahad pula mereka menunggu pelancong dari Singapura berbelanja di kedai mereka.

Mudah-mudahan langkah produktif di negeri tersebut akan membantu Malaysia mencapai wawasan 2020 sekali gus mencapai negara maju setaraf negara lain.

Mohamad Amli Ghazali
Johor Bharu

Perbezaan Islam dan Kristian

Monday, November 25, 2013 0 Komen

Dalam al-Quran, jelas diterangkan dalam surah al-Maidah ayat ke-17 yang bermaksud: "Sesungguhnya kafirlah orang yang berkata: "Sesungguhnya Allah itu ialah al-Masih putera Maryam. Katakanlah: Maka siapakah (gerangan) yang dapat menghalangi kehendak Allah, jika Dia hendak membinasakan al-Masih putera Maryam itu berserta ibunya dan seluruh orang yang berada di bumi semuanya? Kepunyaan Allah kerajaan langit dan bumi serta apa yang ada di antara keduanya; Dia menciptakan apa yang dihehendaki-Nya. Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu."

Seterusnya, dalam ayat ke-73 surah yang sama, ditegaskan: "Sesungguhnya kafirlah orang yang menyatakan: Allah salah seorang dari yang tiga, pada hal sekali-kali tidak ada selain dari Tuhan Yang Esa."

Dua ayat di atas menerangkan dengan jelas bahawa sesiapa yang mengatakan dan menyakini Nabi Isa itu Allah, maka dirinya termasuk ke dalam golongan orang yang kafir.

Mengapakah Allah SWT mengklasifikasikan manusia yang mendakwa Nabi Isa itu tuhan sebagai kafir? Jawapannya mudah ditemui dalam al-Quran pada ayat 30 hingga 33 dalam surah Maryam yang bermaksud:

"Dia (Isa) menjawab: Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Dia memberikan kepada ku Kitab (Injil) dan Dia menjadikan aku seorang Nabi. Dia menjadikan aku seorang yang berkat di mana saja aku berada dan diperintahkan aku mengerjakan sembahyang serta memberi zakat selagi aku hidup. Serta (diperintahkan aku) taat serta berbuat baik kepada ibuku dan Dia tidak menjadikan aku seorang yang sombong takbur atau derhaka. Segala keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku dilahirkan dan pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat)."

Nabi Isa bukan Tuhan

Ayat di atas membuktikan Nabi Isa bukan Tuhan atau anak Tuhan seperti diyakini penganut Kristian, sebaliknya Baginda seorang manusia biasa yang diangkat Allah SWT menjadi Nabi serta Rasul seperti Nabi dan Rasul lain yang diutus pada kaum terdahulu.

Firman Allah SWT dalam surah berkenaan cukup jelas dan ampuh untuk mematahkan hujah penganut Kristian di Malaysia yang bersungguh-sungguh mahu menggunakan kalimah Allah sebagai merujuk bagi tuhan kepercayaan mereka.

Timbul konflik dalam hal ini kerana kalimah Allah yang digunakan orang Kristian adalah merujuk kepada `Tuhan Bapa' iaitu salah satu oknum daripada akidah triniti. Malah, kalimah Allah tidak pernah digunakan orang Kristian sebelum kedatangan Rasulullah SAW.

Selain itu, kalimah Allah juga tidak pernah disebut dalam teks bahasa Greek yang juga bahasa asal usul penulisan Bible. Perkataan Tuhan dalam bahasa Greek adalah `Theos' bukannya Allah.

Menyentuh soal ini, penceramah bebas, Ir Azman Husin menyatakan, pada prinsipnya, penganut Kristian mempercayai Allah, tetapi kesucian tauhid ini dirosakkan dengan mewujudkan keyakinan baru dengan mendakwa Isa sebagai anak Allah.

Seleweng dari sudut amalan

"Ini yang menjadi asas mengapa mereka menjadi kafir dan syirik. Mereka menyeleweng dari sudut amalan dan kepercayaan kerana mendengar keterangan pendeta dan rahib mereka serta membuat undang-undang bercanggah dengan apa yang terkandung dalam Injil yang kebetulan pula mengalami banyak perubahan.

"Ini sejarah yang berlaku kepada agama Nasrani dan ia amat dibenci serta dimurkai Allah SWT. Sebab itu dalam al-Quran menyebut jika manusia mendakwa Nabi Isa itu sebagai tuhan, mereka menjadi kafir seperti yang termaktub pada ayat 30 hingga 33 di dalam surah Maryam," katanya pada program wacana ilmu anjuran Masjid Tengku Kelana Jaya Petra (MTKJP) bertajuk `Nabi Isa Dari Pandangan Al-Quran', baru-baru ini.

Azman berkata, orang Nasrani menyeleweng dalam ajaran mereka apabila meyakini Nabi Isa atau dipanggil Yesus dalam Bible sebagai `anak Allah' atau `Tuhan Anak' sedangkan ia perkara yang amat dibenci Allah SWT.

"Ini yang membezakan orang Nasrani dengan Islam. Walaupun Nasrani percaya kepada Allah, tetapi konsep kepercayaan mereka menolak Allah yang Esa dengan menganggap Nabi Isa sebagai Tuhan sedangkan Nabi Isa itu manusia biasa.

"Baginda dilantik menjadi Nabi dan Rasul oleh Allah untuk menyampaikan risalah tauhid kepada manusia yang juga ajaran sama seperti disampaikan nabi sebelumnya seperti Nabi Musa dan Nabi Ibrahim.

"Selain itu, asal-usul agama Kristian ialah daripada ajaran Nabi Isa yang kita wajib percaya berasaskan tauhid dan enam Rukun Iman yang sama dengan Islam sekarang. Malaikat Jibril yang sama juga menurunkan wahyu kepada Isa dan Muhammad (SAW)" katanya.

Apa yang utama kata Azman, kerajaan yang berkuasa dibolehkan melarang atau menyuruh golongan Ahli Kitab dengan arahan atau larangan tertentu jika wujud maslahah membabitkan kepentingan umat Islam.

Oleh Anwar Patho Rohman

Wanita Malaysia diselamat selepas 30 tahun jadi hamba

Saturday, November 23, 2013 0 Komen

Wanita Malaysia berusia 69 tahun yang dijadikan hamba dan dikurung kira-kira 30 tahun di sebuah rumah di selatan London dikatakan mengalami strok tetapi dua suspek yang menahannya tidak membenarkan dia mendapat bantuan perubatan.

Beliau yang ditahan bersama dua lagi wanita masing-masing dari Ireland berusia 57 tahun dan rakyat negara itu berusia 30 tahun, hanya dibenarkan keluar seketika untuk menjemur pakaian atau menemani suspek membeli barang.

 Amat menyedihkan


"Tiga wanita yang dijadikan hamba di Lambeth itu tidak dibenarkan ‘menjenguk’ dunia luar dan menjalani hidup di dalam keadaan amat menyedihkan,” kata badan kebajikan yang membantu membebaskan mereka semalam.

Tempoh perhambaan mereka selama tiga dekad berakhir bulan lalu apabila seorang daripada mangsa membuat ‘panggilan memohon bantuan’ selepas seorang daripada rakannya tidak dibenar mendapatkan rawatan perubatan selepas diserang strok.

Jurucakap rasmi David Cameron berkata, Perdana Menteri menyifatkan kes itu sebagai amat menyedihkan.

Detektif Kevin Hyland, dari unit pemerdagangan manusia polis Metro, mendedahkan ketiga-tiga wanita terbabit diselamatkan selepas sekurang-kurangnya 30 tahun menjadi hamba dengan mangsa paling muda dikatakan tidak pernah melihat dunia luar.
Hubungi Freedom Charity

“Mereka dibebaskan Oktober lalu apabila seorang daripada mereka menghubungi Freedom Charity selepas menyaksikan satu dokumentari mengenai perkahwinan paksa di televisyen,” katanya yang dipetik akhbar Daily Mail.

Wanita terbabit tidak memberikan nama dan alamat beliau tetapi polis kemudian menghubungi mereka apabila berjaya mengesan nombor telefon dan menemui mereka di sebuah rumah biasa di selatan London.

Sementara itu, pengasas Freedom Charity, Aneeta Prem berkata: “Sebaik mendapat mesej, ketiga-tiga mereka berjaya diselamatkan, seluruh pusat kebajikan itu bersorak dan sebahagian mereka menitiskan air mata. Kami amat gembira dan terharu apabila mengetahui kita sudah menyelamatkan ketiga-tiga wanita itu.”

Ditahan polis

“Mereka berada dalam keadaan trauma tetapi amat lega apabila sudah bebas.

“Apabila saya bertemu mereka, ia menjadi satu pengalaman paling hebat buat saya. Mereka memeluk saya sambil menangis. Mereka berterima kasih kepada badan kebajikan ini kerana menyelamatkan nyawa mereka,” katanya.

Kedua-dua suspek, berusia 67, bukan warga Britain ditahan polis di selatan London malam kelmarin tetapi dibebaskan dengan jaminan.

AGENSI

Kertas soalan Matematik, Matematik Tambahan SPM 2013 didakwa bocor

Saturday, November 23, 2013 0 Komen

Kertas soalan Matematik, Matematik Tambahan SPM 2013 didakwa bocor  

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)  menerima aduan daripada tiga individu yang mendakwa kertas soalan Matematik dan Matematik Tambahan bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, bocor.

Mohd Husaini Jaslee, Nor Izwan Abu Bakar dan Mohd Rizuan Abd Rashid turut menyerahkan salinan yang didakwa kertas soalan bocor itu kepada pemberita pada sidang media di pejabat PPIM di sini hari ini, yang dihadiri Pengarah Latihan PPIM Dr Izham Nayan.

Mohd Husaini, 30, berkata beliau mengetahui perihal kertas soalan yang didakwa bocor itu daripada beberapa pelajar sebuah sekolah di Seksyen 5, Wangsa Maju pada 19 Nov lepas.

"Kata mereka, kertas itu diedar ketika mengikuti satu seminar SPM 2013 yang dikelola seorang guru di Masjid Mua'adz Bin Jabal, Setiawangsa pada 17 Nov lepas bermula jam 8 pagi hingga 4.30 petang.

"Selepas itu, saya ke Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) di Putrajaya pada 20 Nov untuk membuat aduan, bagaimanapun, pegawainya meminta dikemukakan bukti," katanya.

Mohd Husaini berkata bukti kebocoran soalan hanya diperoleh pada 21 Nov apabila seorang pelajar menghantar gambar Kertas 2 Matematik Tambahan berserta jawapan, yang didakwa soalan bocor, melalui aplikasi 'WhatsApp'.

"Maklumat itu mengandungi tiga gambar mengenai soalan beserta jawapan yang berkemungkinan sama dengan kertas 2 Matematik Tambahan tersebut," katanya.

Beliau berkata segala maklumat itu kemudian diserah kepada LPM untuk siasatan lanjut dan satu laporan sudah dibuat di Balai Polis Wang Maju semalam.

Mohd Husaini berkata beliau membuat pendedahan itu atas dasar tanggungjawab kerana tidak ingin melihat kemusnahan masa depan pelajar SPM.

"Saya berharap pihak LPM dapat menjalankan siasatan menyeluruh sekiranya benar perkara ini berlaku," katanya.
~ Awani

Rizab antarabangsa Bank Negara berjumlah RM445.1b

Saturday, November 23, 2013 0 Komen

Rizab antarabangsa Bank Negara

Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia berjumlah RM445.1 bilion (bersamaan dengan US$136.7 bilion) pada 15 Nov, 2013.

Bank pusat dalam satu kenyataan hari ini berkata paras rizab itu memadai untuk membiayai 9.7 bulan import tertangguh dan ialah 3.7 kali hutang luar negeri jangka pendek.

Ia berkata komponen utama rizab antarabangsa ialah rizab mata wang asing (US$123.6 bilion), rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (US$900 juta), Hak Pengeluaran Khas (SDR) (US$2.0 bilion), emas (US$1.6 bilion) dan aset rizab lain (US$8.6 bilion).

Jumlah aset Bank Negara termasuk rizab antarabangsa berjumlah RM473.64 bilion.

Aset-aset lain termasuk kertas kerajaan Malaysia (RM1.85 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM10.83 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM8.52 bilion) dan, aset-aset lain (RM7.30 bilion).

Modal dan liabilitinya terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM53.67 bilion), mata wang dalam edaran (RM68.73 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM204.60 bilion), deposit kerajaan persekutuan (RM11.81 bilion), deposit-deposit lain (RM3.07 bilion), kertas Bank Negara  (RM106.33 bilion), peruntukan SDR (RM6.731 bilion) dan liabiliti-liabiliti lain (RM18.57 bilion).

~ Awani

Padah cinta 'kekasih Facebook', rugi RM200 000

Friday, November 22, 2013 0 Komen

Kekasih Facebook kikis duit

Gara-gara terlalu percayakan seorang lelaki yang dikenali melalui Facebook, seorang ibu tunggal sanggup menyerahkan lebih RM200,000 kepada lelaki terbabit.

Bernama melaporkan bahawa wanita itu yang merupakan seorang penjawat awam, telah jatuh cinta dengan lelaki yang hanya dikenali untuk dua bulan sahaja.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu Supt Koh Ah Tiam memberitahu Bernama bahawa lelaki yang dipercayai rakyat asing itu memberitahu wanita itu dia merupakan seorang kontraktor dan mahu memindahkan wang sejumlah US$10 juta (RM31 juta) ke negara ini namun alasannya wang itu tidak dapat dipindahkan.

Wanita itu kemudian diberitahu bahawa dia perlu membuka akaun bank tempatan terlebih dahulu sebanyak RM9,000 dengan alasan sebagai menampung jumlah wang yang akan dipindahkan nanti.

“Suspek mengambil masa dan membuat mangsa jatuh cinta sebelum menyakinkan mangsa untuk memasukkan wang ke dalam akaun bank dengan memberikan pelbagai alasan.

“Selepas mangsa membuka akaun tempatan dengan jumlah diarahkan, suspek kemudian meminta RM200,000 lagi untuk dikenakan cukai,” kata Koh kepada Bernama.

Untuk mendapatkan wang RM200,000, wanita terbabit sanggup membuat pinjaman bank untuk memberikannya dengan alasan sebagai Bon Sekuriti.

Wanita yang tidak mempunyai wang sebanyak itu, kemudiannya mencagarkan rumahnya kepada pihak bank sebelum menyedari dirinya telah ditipu.

Wanita berusia 50 tahun itu kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada Rabu.

Kes-kes penipuan melalui internet atau jenayah siber makin berleluasa di negara ini.

Pada Oktober tahun lepas, seorang wanita dari Kuching ditipu sebanyak RM315,000 oleh seorang lelaki ‘Eropah’ yang dikenalinya melalui laman sosial Facebook, tetapi mungkin rugi lebih banyak jika penipuan itu tidak dikesan oleh suaminya.

Pada bulan April tahun ini, seorang wanita dlaporkan mengalami kerugian RM1,850 akibat tertipu dengan kenalan Facebook.

Mangsa yang berumur 48 tahun dan tinggal di Raub dikatakan membayar wang tersebut untuk mendapatkan hadiah dari seorang warga ''Arab'' yang dikenalinya sejak Februari.

Suhaizan dan anak Hadi dipilih terajui Pemuda PAS

Thursday, November 21, 2013 0 Komen

Suhaizan dan anak Hadi dipilih terajui Pemuda PAS

PETALING JAYA: Bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat dipilih sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) yang baharu pada Muktamar DPPM ke-54.

Suhaizan memperolehi 320 undi menewaskan pencabarnya Kamaruzaman Mohamad yang mendapat 307 undi manakala seorang lagi calon, Zulhazmi Sharif hanya mendapat tujuh undi.

Bagi jawatan Timbalan Ketua DPPM,  Mohd Khalil Abdul Hadi menewaskan pencabarnya Raja Ahmad Iskandar Raja Yaakob.

Mohd Khalil memperolehi 355 undi manakala Raja Ahmad Iskandar mendapat 282 undi.

Sementara itu untuk jawatan Naib Ketua DPPM, Mohd Khairul Nizam Khairuddin dipilih dengan memperolehi 411 undi manakala pencabarnya Ahmad Zamri Asaad Khuzaimi mendapat 226 undi.

~ Awani

Pasangan Alvivi gagal batal pertuduhan

Thursday, November 21, 2013 0 Komen

Pasangan Alvivi gagal batal pertuduhan  

Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee untuk membatalkan satu daripada tiga pertuduhan mempersenda umat Islam dan bulan Ramadan.

Hakim Kamardin Hashim membuat keputusan itu selepas berpendapat permohonan itu tidak mempunyai merit.

Dalam penghakimannya, beliau berkata pertuduhan terhadap pasangan itu mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan adalah sah, teratur dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Sepintas lalu membaca peruntukan di bawah Seksyen 298A(1)(a), mahkamah mendapati amat jelas, sejelas gelas kristal, bahawa peruntukan itu langsung tidak menyebut secara khusus bahawa ia ditujukan khas kepada penganut beragama Islam tetapi terpakai kepada penganut agama atau kepercayaan yang lain juga," katanya.

Pada 21 Ogos lepas, Alvin atau nama penuhnya Tan Jye Yee, 25, dan Vivian atau Lee May Ling, 24, memfailkan permohonan bagi membatalkan pertuduhan terhadap mereka berkaitan satu kandungan gambar dan komen bertajuk 'Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh..wangi, enak, menyelerakan !!!)' yang dimuat naik ke laman Facebook.

Mereka memohon deklarasi bahawa Seksyen 298A(1)(a) tidak konsisten dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan serta tidak boleh dikuatkuasakan terhadap mereka dan jika pertuduhan itu sah di sisi undang-undang, ia hanya terpakai kepada orang Islam.

Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa memuat naik satu kandungan gambar serta komen beserta logo halal, yang mungkin menyebabkan perasaan permusuhan dalam kalangan penganut agama berlainan, di CAF-Syed Restaurant Jalan Dang Wangi di sini antara 11 dan 12 Julai lepas.

Mereka juga didakwa memuat naik satu penerbitan menghasut di laman Facebook 'Alvin and Vivian-Alvivi' di pautan https://www.facebook.com/alvivi.swingers iaitu kandungan gambar dan komen yang sama pada tarikh sama di Kompleks Mutiara Jalan Ipoh, Batu 3 1/2 di sini mengikut Akta Hasutan 1948.

Mereka turut berdepan pertuduhan mempamer gambar lucah di http://alviviswingers.tumblr.com/ di tempat sama antara 6 dan 7 Julai lepas mengikut Akta Penapisan Filem 2002.

Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, Alvin dan Vivian sekali lagi memohon maaf atas perbuatan mereka dan berjanji tidak akan mengulanginya manakala peguam Chong Joo Tian, yang mewakili pasangan itu, berkata pihaknya akan memfailkan rayuan dan mengemukakan representasi kepada Peguam Negara.

Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 5 dan 6 Dis sebagai tarikh perbicaran kes itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Haffiza Jemali.

Sinopsis drama Ku Cinta Kau Seorang

Thursday, November 21, 2013 0 Komen

Sinopsis drama Ku Cinta Kau Seorang

Drama komedi romantik Ku Cinta Kau Seorang terbitan Global Station Sdn Bhd adalah karya terbaru Khairul Amri Khalid dan nukilan skrip oleh Shuhadatul Ain Zakaria dan menampilkan barisan pelakon seperti Remy Ishak, Amyra Rosli, Ruminah Sidek, Faradhiya, Zack XFactor, Hafizzuddin dan Bill Azali.

Ia mengisahkan mengenai Batrisya, lakonan Amyra Rosli yang dibesarkan dalam keluarga berada di mana segala permintaan dan kehendaknya dituruti bapanya, Datuk Hisham.


Suatu hari, pekerja restoran milik Datuk Hisham, Helmi (Remy Ishak) menegur sikap biadap Batrisya sehingga menyebabkan wanita itu berasa malu.

Lantas dia pergi berjumpa dengan bapanya di pejabat sematamata mahu menyuruh bapanya memberhentikan Helmi.

Bagaimanapun, Datuk Hisham enggan melepaskan Helmi kerana mengenali lelaki itu sebagai anak muda yang rajin dan tidak bermasalah dalam melaksanakan tugas.

Kecewa terhadap tindakan bapanya yang enggan memberhentikan Helmi, Batrisya bertindak lari ke luar negara selama sebulan sebagai tanda mogok terhadap sikap bapanya itu.

Perbuatan Batrisya menyebabkan Datuk Hisham runsing memikirkan dan berjumpa dengan rakan baiknya, Rahim untuk meluahkan penyesalan kerana terlalu memanjakan anaknya.

Rahim bukan sahaja seorang sahabat yang setia mendengar keluhan Datuk Hisham, dia juga memberikan pendapat yang terbaik.

Selepas puas bercuti, Batrisya pulang ke tanah air dan ketika tiba di hadapan rumahnya, dia terkejut melihat papan tanda memaparkan tulisan `Untuk Dijual' sebelum bergegas ke restoran bapanya yang didapati sudah tutup.

Batrisya kemudian berjumpa dengan Rahim yang menunjukkan surat menyatakan bapanya sudah muflis dan terpaksa melarikan diri disebabkan banyak berhutang.

Dalam surat itu juga bapa Batrisya menyuruh wanita itu untuk tinggal bersama Helmi dan neneknya yang sudah tua dan nyanyuk.

Helmi adalah anak yatim piatu, tidak dapat melanjutkan pelajaran atas faktor kewangan dan terpaksa melakukan banyak pekerjaan untuk membiayai kos perubatan neneknya yang menghidap penyakit buah pinggang.

Batrisya cuba meminta bantuan daripada dua rakan baiknya Maya dan Farah namun mereka enggan membantu dia dengan memberi pelbagai alasan. Dia juga cuba menghubungi teman lelakinya, Razman, namun hampa.

Sementara itu, Helmi menjelaskan kepada Batrisya beberapa peraturan di rumah itu dan dia juga perlu membantu menjaga neneknya jika mahu terus tinggal di situ. Apakah yang bakal berlaku kepada Batrisya seterusnya?

Ikuti drama siri Ku Cinta Kau Seorang yang boleh disaksikan menerusi laman web Tonton Premiere 48 jam sebelum ia ditayangkan di TV3 dengan bayaran sebanyak RM3 saja.

Ku Cinta Kau Seorang kini mengisi slot Lestary di TV3 setiap Selasa pada jam 9 malam.




 

ZONFINITI